Showing posts with label ibadah korban. Show all posts
Showing posts with label ibadah korban. Show all posts

Sunday, August 11, 2019

Korban: Tak perlu pertikai hak orang Islam beribadah Hormati hak agama lain tanpa melampaui batas toleransi: Firdaus Wong

tyrazalhe 
11/08/2019

BANGI, 10 Zulhijjah 1440H, Ahad – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hun mengingatkan masyarakat berlainan bangsa dan agama untuk saling menghormati antara satu sama lain tanpa melampaui batasan toleransi yang diamalkan di negara ini.

Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk tindakan segelintir pihak mempertikaikan amalan ibadah korban yang dilaksanakan umat Islam pada Hari Raya Aidiladha.

Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) itu berkata, mana-mana kaum bebas mengamalkan agama masing-masing dan tidak perlu untuk mencampuri urusan serta amalan agama Islam.

“Anda menghormati lembu seperti ibu atau ingin mempertuhankan apa sekalipun, itu adalah hak anda. Anda tidak mahu makan lembu, itu hak anda. Kami tak paksa anda makan atau sembelih lembu bersama dengan muslim pada Aidiladha.

“Soal isu berkongsi video sembelihan lembu, itu perbincangan lain. Hak masing-masing nak post apa di Facebook, selagi tidak menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Firdaus Wong berkata, sebagai muslim beliau juga tidak bersetuju jika ada mana-mana pihak yang memuat naik video dengan kenyataan menghina agama lain.

Bagaimanapun, katanya, sebagai negara yang berbilang kaum dan agama, semua pihak digesa supaya tidak mencampuri dan menghormati urusan agama orang lain, khususnya Islam.

“Anda meminta muslim menjaga sensitiviti anda yang tidak makan daging lembu kerana anda menganggapnya seperti ibu.

“Bagaimana pula dengan sensitiviti masyarakat lain melihat beratus ribu biji buah kelapa dibuang dan gambar-gambar manusia yang dicucuk sana sini ketika perayaan yang dikongsikan di media sosial? Itu hak anda dan kami tidak pertikai selagi tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata, orang Islam tidak pernah mencampuri urusan di kuil, apatah lagi mempertikaikan cara beribadah agama lain di negara ini.

“Maka hormatilah hak muslim beribadah ikut cara kami, bukan cara anda. Jagalah keharmonian negara.

“… dan mohon pihak berkuasa ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan dengan menyentuh hak mana-mana penganut agama mengamalkan agama mereka,” katanya.

Wednesday, August 22, 2018

Chee Teong bantu lapah lembu korban

MyMetro
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

WAN Chee Teong mengangkat lembu korban sempena sambutan Aidiladha bersama penduduk di perkarangan Masjid Nurul Ihsan, Taman Sri Cheras, Batu 10. FOTO Rosela Ismail

KESIBUKAN berkempen tidak menghalang calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong, untuk meraikan sambutan Aidiladha bersama penduduk Taman Sri Cheras, Batu 10.

Chee Teong sebelum itu mengadakan jelajah 'walkabout' di sekitar Taman Megah mengambil kesempatan singgah di Masjid Nurul Ihsan, yang kebetulan sedang mengadakan program ibadah korban.

Menurut Chee Teong, sambutan perayaan di Malaysia diraikan oleh pelbagai kaum dan sebagai calon yang akan bertanding pada PRK, 8 September depan, kesempatan itu digunakan dengan sebaiknya untuk mendekatkan diri dengan masyarakat terutama pengundi Melayu.

"Kehadiran saya pada pagi ini, bukan untuk berkempen semata-mata sebaliknya mahu bersama-sama meraikan sambutan Aidiladha dengan penduduk setempat

"Ini kerana sebagai masyarakat yang berbilang kaum dan agama, kita bukan sahaja menghormati satu sama lain malah turut meraikan pelbagai perayaan bersama.

"Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua, " katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, dalam kunjungan berkenaan, Chee Teong meluangkan masa hampir 40 minit beramah mesra dengan orang ramai selain turut sama membantu melapah lembu korban.

Pengerusi Masjid Nurul Ihsan, Ezzaldin Yahya, berkata, pihaknya terkejut dengan kunjungan Chee Teong dan tidak menyangka dia sanggup mengenepikan jadual padat untuk singgah meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha bersama penduduk.

Kata Ezzaldin, meskipun dalam cuaca yang panas namun Chee Teong tidak kelihatan kekok menolong memegang lembu ketika hendak dikorbankan selain turut membantu melapah daging lembu untuk diagihkan.

"Wakil rakyat terdahulu (mendiang Ng Tien Chee) memang cukup dikenali ramai kerana sering menyertai program bersama penduduk.

"Justeru, kunjungan Chee Teong pada pagi ini bukan sahaja dapat beramah mesra malah membantu memperkenalkan lagi dirinya kepada masyarakat setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 7:46 PM

Tuesday, September 12, 2017

Pemuda PAS gesa polis ambil tindakan terhadap Siti Kassim dan David Orok

Oleh Wartawan BO
-12/09/2017
KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Terengganu membuat satu laporan menggesa pihak polis bertindak terhadap Siti Kasim dan juga David Orok atas kenyataan yang menghina Islam.

Timbalan Ketuanya, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, mereka berdua dengan jelas telah membawa satu unsur penghinaan melibatkan Nabi Ibrahim AS dan juga Nabi Ismail AS serta ibadah korban.

“atas kenyataan yang di keluarkan (oleh mereka) dalam facebook beberapa hari yang lepas…..yng kita melihat dan membuat tanggapan secara jelas, kedua-duanya sudah membawa satu unsur penghinaan terhadap agama Islam,
“Ekoran daripada ‘posting’ yang telah dibuat oleh kedua individu tersebut, kami anak-anak muda PAS merasakan tidak sewajarnya kita mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia berkata demikian kepada pihak media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, di sini hari ini, Selasa 12 September.

Oleh kerana itu, beliau berkata, pihaknya juga mengarahkan semua Pemuda PAS Negeri membuat laporan yang sama, secara rasmi pada kelmarin dan hari ini.
Menurutnya, kecuali negeri Kedah yang menunda laporan kerana penghormatan terhadap kemangkatan Sultan, semua negeri lain telah mengambil tindakan membuat laporan.

Justeru, beliau berharap pihak penguatkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua individu terbabit.

“Tujuan laporan polis dibuat pada hari ini kita harap pihak berkuasa mengambil satu sikap yang serius bukan hanya menerima laporan tapi membuat satu tindakan yang tegas menyiasat dan memanggil individu tersebut bagi mendapatkan penjelasan,
“Dan kita telah memberikan pautan Facebook yang saya semak pada pagi tadi masih belum di padam dan kita yakin pihak Cyber Polis Di Raja Malaysia (PDRM) memiliki keupayaan untuk mengesan dan memastikan kesahihan maklumat yang telah di bawa oleh kedua individu tersebut,” jelas beliau.

ADUN Tepoh itu juga menyeru semua pihak, berharap bukan sahaja pihak polis memainkan peranan malah Jabatan Agama Islam negeri dan Jakim memainkan peranan bagi memastikan penghinaan terhadap Islam ini di hentikan.

Hadir sama ia Ketua Pemuda PAS Terengganu Ustaz Karuzaman Abdullah dan Ketua-ketua Pemuda Kawasan Kuala Terengganu serta Kemaman, Azriin Aris dan Ustaz Ramlan Mahmood

Monday, September 12, 2016

Tingkat pengorbanan sempena Aidiladha, kata Najib

Bernama

Katanya, ambil iktibar daripada peristiwa korban yang dinukilkan dalam Al-Quran yang turut menyentuh soal kecekalan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam di negara ini menjadikan Aidiladha kali ini sebagai satu titik tolak untuk terus bermotivasi dan komited dalam meningkatkan mutu serta nilai pengorbanan.

Perdana menteri berkata mereka semestinya mengambil iktibar daripada peristiwa korban yang dinukilkan dalam Al-Quran yang turut menyentuh soal kecekalan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

“Semangat inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi sebuah perjuangan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidiladha melalui catatan laman blog www.najibrazak.com.

Najib menekankan ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala tetapi ia juga meletakkan ke dalam jiwa tentang sejauh mana pengorbanan yang perlu dilakukan kepada agama Allah dalam menjalani kehidupan sehingga mampu mengetepikan kepentingan diri dan tuntutan peribadi.

“Pengorbanan memerlukan ketabahan dan ia harus bermula daripada diri sendiri. Inilah yang kita dipelajari daripada sirah Rasulullah yang memberi inspirasi dan kekuatan dalam perjuangan kita dalam membangunkan negara tercinta ini,” katanya.

Najib sekali gus mengajak masyarakat untuk bersama-sama berjuang dan berkorban untuk membina masa depan negara yang lebih maju dan progresif sebagai sebuah negara Islam berteraskan maqasid syariah.

Katanya, beliau dan keluarga berdoa supaya jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dapat mengerjakan ibadah itu dengan selamat dan dikurniakan haji mabrur.

“Bagi mereka yang lain, marilah kita menyertai para Hujjaj dengan doa restu, takbir, tahmid dan tahlil di samping melaksanakan ibadah korban dengan menghayati roh pensyariatannya.

“Tidak lupa juga marilah kita sama-sama mengambil peluang hari yang penuh barakah ini untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan yang bertambah dan berterusan bagi negara kita yang tercinta,” katanya.

Friday, October 2, 2015

Cina Singapura Buat Petisyen Minta Hentikan Sembelih Korban


BIADAP dan kurang ajar! Beginilah keadaannya apabila kebebasan bersuara digunakan tanpa batasan waima menyentuh sensitiviti penganut agama lain kononnya ia terpaksa dibangkitkan atas nama hak asasi manusia.

Bagi yang tahu kisah nasib umat Islam di Singapura, pasti tahu bagaimana peritnya apabila kaum bukan Islam menjadi pemerintah mengharamkan azan dilaungkan menerusi pembesar suara di masjid sejak awal 1970-an.

Tindakan itu diarahkan perdana menteri republik tersebut waktu itu, Lee Kuan Yew konon ia ganggu masyarakat bukan Islam dan hujah lebih dahsyat, masjid masih tetap tidak penuh jemaahnya meskipun berkumandang azan!

Terbaharu, ketika umat Islam Singapura bergembira menjalani ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha bulan lalu, seorang bukan Islam dikenali hanya sebagai Nicole L mencetuskan kontroversi di negara pulau kecil tersebut.
Wanita tempatan itu dilaporkan media sosial telah menghantar tuntutan menerusi laman petisyen terkenal antarabangsa Change.org untuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengharamkan penyembelihan korban.

Dia mendakwa kononnya aktiviti tahunan tersebut bukan sahaja kejam kepada haiwan malah tidak sesuai ditonton kanak-kanak kecil, selain bimbang kaedah sembelihan oleh penderma korban itu sebagai kurang berpengalaman.

Hujah Nicole nyata dangkal kerana semua tahu kaedah penyembelihan secara Islamlah yang paling tidak kejam dan tidak menyakitkan haiwan, bahkan ada adab-adab tertentu termasuk penggunaan pisau tajam yang bersih.

Tuduhan jahat wanita itu konon haiwan disembelih sebelah-menyebelah juga tidak berasas kerana Rasulullah SAW mendidik umatnya bersifat ihsan dengan tidak berbuat demikian seperti diamalkan kaum Arab jahiliyyah.

Baca: Insafi Kisah Nasib Umat Melayu Islam Di Singapura
Juga: Umat Islam Bertambah, Masjid Meriah Di Singapura
Lagi: Islam Bakal Agama Ke-2 Terbesar Di Singapura Atasi Kristian

Begitu juga kehadiran kanak-kanak bukan hendak mengajar mereka ‘brutal’ tetapi mengasuh agar tidak takut melihat haiwan disembelih mengikut syariat Islam sekali gus berani menjadi penyembelih apabila dewasa kelak.

Menyentuh kebimbangan konon penderma tidak tahu menyembelih haiwan, ia juga berniat jahat walhal lazimnya penyembelihan dilakukan tukang sembelih diiktiraf MUIS manakala penderma hanya datang melihat korbannya.

Entahlah kenapa Nicole membuat petisyen menerusi portal berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat itu yang diwujudkan sejak 2007 lalu dan memiliki lebih 110 juta penyokong petisyen di 196 buah negara di seluruh dunia.

Adakah dia cemburu melihat kejayaan umat Islam di Singapura walaupun kaum minoriti, namun mampu membeli 3,700 ekor haiwan korban diimport dari Australia dan Ireland pada tahun ini, iaitu angka terbesar dalam sejarah.
Lagipun aktiviti ini dilakukan secara tertutup cuma melibatkan 25 buah masjid sahaja daripada keseluruhan 71 buah rumah Allah di seluruh Singapura serta hanya ketika Hari Raya Aidiladha dan tiga hari tasyrik selepasnya.

Itupun dia tetap ‘bising’ walhal saban masa puluhan ribu ekor babi dipotong yang kaedahnya jauh lebih zalim di republik itu, tetapi umat Islam tidak pernah pun pertikai demi menjaga keharmonian masyarakat tempatan.

Mujur petisyen itu akhirnya gagal diterima kerana cuma menerima 1,392 sokongan apabila tempoh kempen ditutup, kurang 108 yang diperlukan untuk dibawa secara rasmi kepada pihak berwajib. – Mynewshub.cc/HAA

* Untuk lihat artikel petisyen, sila layari: www.change.org

Monday, September 21, 2015

Memang benar kata menteri UMNO.......Kejatuhan ringgit 'menguntungkan' rakyat

Ringgit jatuh punca harga lembu import naik

WARTAWAN SINAR HARIAN

Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan harga lembu meningkat.
KEJATUHAN nilai ringgit menyebabkan harga lembu import meningkat seterusnya menyebabkan umat Islam terpaksa berbelanja lebih tinggi bagi menjalankan ibadah korban tahun ini.

Salah seorang pengimport lembu, Aznan Abdul Rahaman mengakui harga seekor lembu pada tahun ini meningkat hampir 100 peratus berbanding tahun lalu.

“Jika tahun lalu lembu diimport daripada Thailand hanya sekitar RM2,500 seekor. Tetapi pada tahun ini harga meningkat kepada RM4,000 seekor.

“Ini banyak disumbangkan oleh nilai kadar tukaran ringgit. Contohnya tukaran di Thailand, RM1,000 ditukar kepada baht hanya sekitar RM800.

"Selain itu harga lembu akan menjadi mahal apabila dibawa masuk ke Malaysia apabila ditambah dengan kos-kos lain,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mencari jalan untuk menambah jumlah penternak lembu di negara ini bagi mengelakkan kebergantungan kepada lembu import.

Negara terpaksa mengimport lebih 700,000 ekor lembu setiap tahun membabitkan peruntukan lebih RM1.4 billion.

Sementara itu, bekas pengimport lembu, Hassan Abdullah berkata, monopoli yang berlaku dalam industri pengimportan lembu menyebabkan harga haiwan ternakan itu meningkat.

Katanya, monopoli pengimport lembu Australia di lakukan oleh sebuah syarikat ternakan yang mempunyai tiga ladang ternakan di Bidor, Perak, Air Hitam, Johor dan Perlis.

“Syarat untuk membawa masuk lembu daripada Australia ialah perlu pasang mesin sembelihan di rumah sembelihan yang diiktiraf.

“Syarikat tersebut telah memasang sebanyak 19 mesin sembelihan di pusat ternakan fidlot di Malaysia yang diiktiraf kerajaan Australia.Jadi mereka mempunyai akses untuk membawa masuk lembu dari Australia,” katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan syarikat tersebut dapat bermain dengan harga memandangkan mereka adalah pengimport tunggal lembu dari Australia.

“Salah satu cara mengelakkan perkara ini berterusan adalah menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk menternak lembu seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada lembu import,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-