Showing posts with label Pakatan Haraapan. Show all posts
Showing posts with label Pakatan Haraapan. Show all posts

Friday, February 7, 2025

Pemimpin DAP tidak belajar daripada kesilapan yang lalu

suaramerdeka.com.my
 7 February 2025

SELEPAS lebih dua tahun kembali menjadi kerajaan, para pemimpin DAP kini sama ada sengaja atau tidak sengaja terus melakukan kesilapan yang sama semasa mereka di dalam kerajaan Pakatan Harapan tempoh hari.

Kesilapan yang sangat fatal adalah mencampuri urusan agama Islam. Mereka bukan sahaja cuba menunggang agama Islam tetapi juga mencampuri urusan agama yang di bawah kuasa raja-raja Melayu.

Sikap mereka demikianlah menyebabkan penganut Islam majoriti menolak para pemimpin DAP.

Jika Ngar Kor Ming dianggap menghina Islam apabila cuba menggunakan ungkapan yang berkaitan Islam dan memetik hadis serta ayat al-Quran, kini Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer pula mempertikai pendakwah Zakir Naik menghadiri program di Perlis.

Perkara itu menyebabkan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kesediaannya untuk “bertempur” dengan seorang anggota parlimen DAP.

Kenyataan keras itu dikeluarkan susulan programnya di Perlis dipersoal, dipercayai merujuk kepada konvensyen agama yang melibatkan penyertaan penceramah kontroversi Zakir Naik.

“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya insya-Allah akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika ‘gemulah politik DAP’ yang lepas menjualnya,” katanya.

Sebelum ini, di bangunan parlimen, RSN Rayer mempertikaikan kemunculan semula Zakir, yang diburu pihak berkuasa di India, yang sebelum ini dilarang berceramah di Malaysia.

Polis pada Ogos 2019 mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang Zakir daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Larangan itu dikuatkuasakan selepas Zakir dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai orang Hindu dan Cina di Malaysia dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos 2019.

Terdahulu, tujuh negeri melarang ceramah Zakir, iaitu Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Dalam status di Facebook hari ini, tanpa menyebut nama secara khusus, Asri berkata dia merasakan anggota parlimen itu berhasrat untuk kembali “bertempur” dengannya.

Dia menyamakan episod baru ini seperti pertikaiannya dengan bekas pemimpin lantang DAP P Ramasamy yang digelarnya sebagai “gemulah (arwah) politik”

Ramasamy sebelum ini bertelagah dengan Asri yang mengaitkannya dengan kumpulan bersenjata Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

Asri juga mendedahkan dia berdiam diri sebelum ini, termasuk beberapa kes yang membabitkan DAP, kerana menghormati Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kestabilan negara.

Selain itu, katanya, dia juga berbuat demikian kerana terdapat juga kepimpinan DAP yang menghormati sensitiviti rakyat negara ini.

Perlis dua minggu lalu menjadi tuan rumah untuk program Konvensyen Sunah Antarabangsa Perlis yang turut melibatkan pelbagai penceramah dan sarjana luar negara.

Program bertemakan al-Quran sebagai panduan ilahi tajaan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) itu turut melibatkan Zakir yang menyampaikan ceramah berkaitan al-Quran dan sains moden.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Tiktok, Asri berkata, sebagaimana kita tidak mempersoal apa dan mengapa beliau menyapu di dahinya, begitulah ahli parlimen berkenaan tidak harus mempersoalkan tentang program anjuran MAIPs.

Menurut Asri, setiap penceramah yang dijemput dipastikan mempunyai tauliah untuk berceramah di Perlis, bahkan penganjur memastikan mereka tidak mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keresahan umum.

Katanya, jika penceramah berkenaan mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan keresahan umum barulah pemimpin DAP itu boleh masuk campur.

Saturday, January 26, 2019

Berbaju logo parti, Manogaran mohon maaf, akui 'tidak perasan'

Diterbitkan 10 minit yang lalu pada 26 January 2019
Calon PH M. Manogaran mengakui tidak perasan memakai baju berlogo parti tetapi tiada niat untuk mencabar akta SPR. 
Foto oleh Firdaus Latif

KUALA LIPIS, 26 Jan Calon Pakatan Harapan daripada DAP, M. Manogaran memohon maaf kepada semua pihak berhubung pemakaian baju berlogo parti ketika masuk ke perkarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut pagi tadi.

Manogaran, 61, mendakwa beliau tidak perasan memakai baju berlogo parti itu kerana telah menjadi kebiasaan memakai baju rasmi serta tiada niat untuk mencabar akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya minta maaf, ini bukan satu isu, kita patuhi undang-undang, saya minta maaf atas perkara yang tidak disengajakan itu.

“Saya memang tidak perasan, sebab dua minggu saya pakai macam itu. ia tidak ada maksud tertentu dan saya tidak bercakap dengan pengundi, jadi ia bukan isu,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke pusat pengundian di SK Betau petang ini.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan telah menegur Manogaran dan berkata tindakan telah diambil terhadapnya dengan menyuruh beliau keluar dari kawasan mengundi.

Mengikut peraturan mana-mana individu tidak dibenarkan memakai logo parti dalam jarak 50 meter daripada pusat mengundi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu pemberian hamper kepada pengundi di suatu kawasan malam tadi yang telah tular di media sosial, Manogaran mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai isu terbabit dan akan menyiasat perkara itu.

“Saya berada di perkampungan Orang Asli malam tadi dan hanya diberitahu pagi ini. Saya perlu mengetahui perkara sebenar sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya.

 — Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-