Showing posts with label Pendaftar Pertubuhan (RoS). Show all posts
Showing posts with label Pendaftar Pertubuhan (RoS). Show all posts

Wednesday, June 15, 2016

DAP cuba jadikan Amanah parti penyelamat mereka - MPM

AIDCNEWS
SUNGAI BESAR Badan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendakwa DAP cuba menggunakan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai parti penyelamat sekiranya ia dikenakan tindakan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agung MPM Datuk Dr Hasan Mad berkata DAP mengambil langkah itu, selepas talian hayatnya, PAS yang sebelum ini bersetuju ‘meminjamkan logonya untuk DAP’, telah memutuskan hubungan kerjasama dengan mereka.

“Sudah tiga tahun lebih berlalu, ROS masih tidak lagi membuat keputusan berhubung status DAP susulan siasatan kontroversi keputusan pemilihan parti itu pada 2013, sama ada parti itu boleh dikekalkan atau dibubarkan,” katanya dalam sidang media di Sekinchan, di sini hari ini.

Pada 2013, ROS telah mengarahkan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selepas mendapati berlaku penyelewengan dan manipulasi undi oleh parti itu pada pemilihan awal pada Disember 2012.

Selepas pemilihan semula dilaksanakan, terdapat pula dakwaan sesetengah anggota parti itu dinafikan hak untuk menghadiri kongres parti itu sebagai perwakilan.

Manakala pada Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata ROS masih menyiasat DAP masih berjalan kerana ada ‘percanggahan’ dalam dokumen yang dikemukakan dan RoS tidak berpuas hati dengan dokumen-dokumen yang DAP disediakan.

Justeru, kata Hasan MPM menggesa ROS untuk segera mengemukakan status siasatan berkaitan isu itu yang telah berlarutan sekian lama kerana dibimbangi akan mengelirukan orang ramai khususnya pengundi jika dibiarkan berterusan.

Dalam sidang media yang sama, Setiausaha Organisasi Nasional Parti Alternatif Rakyat (PAP) Rahmad Isahak pula mendakwa Amanah merupakan sebuah parti yang berada dalam ‘kedai pajak gadai’ dan ditebus oleh mereka yang mahu menggunakannya
 – BERNAMA

Friday, October 9, 2015

Amanah masuk pejabat baharu ketika didakwa cuba rampas bangunan PAS

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Datuk Mohammad Razin Abdullah (dua dari kiri) menyerahkan surat kelulusan bagi Parti Amanah Negara (Amanah) kepada Setiausaha Agung Anuar Tahir (dua dari kanan) baru-baru ini.Gambar The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015.

Parti Amanah Negara (Amanah) mula memasuki bangunan ibu pejabatnya yang baharu pada 1 Oktober ketika sesetengah pihak dalam PAS mendakwa parti itu cuba merampas bangunan-bangunan mereka termasuk ibu pejabat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Bangunan 3 tingkat yang menjadi pejabat baharu Amanah terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur itu dinamakan Wisma Amanah.

Sehingga kini, hampir 10 kakitangan diketuai Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir sebagai petugas tetap parti yang dilancarkan 16 September lalu bersempena Hari Malaysia, beroperasi di situ.

Pada Selasa (6 Oktober), Amanah mencatatkan sejarah apabila menerima sijil pengesahan penukaran nama, logo dan slogan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Sijil itu diterima Anuar bersama Timbalan Setiausaha Agung Abang Ahmad Kerde dan Setiausaha Organisasi Amanah Suhaizan Kaiat daripada Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah.

"Kita akan jadikan Wisma Amanah sebagai pusat gerakan dan kami dapatkan ia melalui tabungan, ahli dan penyokong Amanah," kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub ketika ditemui di pejabat baharunya.

Bukan DAP biaya Amanah

Salahuddin menolak dakwaan DAP membiayai perbelanjaan kerana segala-galanya diperoleh melalui titik peluh dan hasil sumbangan ahli dan penyokong Amanah.

Ketika The Malaysian Insider berkunjung ke pejabat itu, semua pimpinan pusat termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu sedang bermesyuarat di bilik mesyuarat utama bangunan.

"Kami sedang mengadakan retreat selama 2 hari mulai hari ini bagi membincangkan Perlembagaan parti kami," kata Salahuddin.

Kemasukan mereka ke pejabat baharu itu sedikit sebanyak meredakan spekulasi Amanah akan mengambil alih Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Spekulasi bertiup kencang kerana pemimpin PAS yang menyertai Amanah bertanggungjawab mengusahakan pemilikan ibu pejabat – kini bernilai lebih RM10 juta.

Salah seorang pemegang amanah ibu pejabat PAS ialah Asmuni Awi, bekas bendahari PAS Pusat yang kini merupakan bendahari Amanah.

Bagaimana imej PAS diubah

Kumpulan progresif dalam PAS bersungguh-sungguh untuk memindahkan ibu pejabat dari markas tarbiyah yang terletak di kawasan kampung di pinggir bandar ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, ia bertujuan untuk menukar “imej kampung” PAS pada ketika itu kepada “imej kosmopolitan” walaupun mendapat tentangan kumpulan konservatif parti itu.

Kumpulan progresif yang kini menyertai Amanah banyak menjadi pemegang amanah kepada harta-harta milik PAS di seluruh negara.

Baru-baru ini, menjadi viral di laman sosial bagaimana PAS mendakwa Amanah merampas bangunan milik mereka dan Pasti (tadika ditubuhkan PAS) secara sistematik terutama di kawasan Tenggara, Johor.

Bagaimanapun, perkara ini kemudiannya dijelaskan pengerusi Amanah Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Ya'ni, Aminolhuda Hassan.

Bekas pesuruhjaya PAS Johor itu berkata, seawal penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) lagi, mereka sudah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Aset bagi menangani aset sepencarian semasa bersama parti Islam itu.

Keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada peguam, perunding hartanah dan golongan profesional.

"Insiden yang diviralkan dalam media baru-baru ini, berkaitan pemilikan sebuah markas oleh Amanah di Tenggara sebenarnya tidak lari daripada panduan yang dinyatakan," kata Aminolhuda.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/amanah-masuk-pejabat-baharu-ketika-didakwa-cuba-rampas-bangunan-pas#sthash.1JIbk3vf.dpuf

Monday, July 13, 2015

Gerakan Harapan Baru dilancar, terbuka untuk semua

OLEH DIYANA IBRAHIM
Pengerusi Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu (tengah) bergambar bersama barisan pemimpin gerakan itu pada sidang media pengumuman penubuhannya di Kuala Lumpur, hari ini.Gambar The Malaysian Insider, 13 Julai, 2015.

Gerakan Harapan Baru (GHB) secara rasmi dilancarkan hari ini, dibarisi pemimpin progresif dari PAS yang sebelum ini tersingkir semasa pemilihan parti pada muktamar bulan lalu.

Pengerusinya Mohamad Sabu berkata, GHB dilihat sebagai wadah atau entiti menggerakkan semula kerjasama parti politik.

"Harapan Baru akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baharu yang berteraskan Islam bagi mencapai matlamat tersebut.

"Harapan Baru akan mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat," kata Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Antara pemimpin yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah anak bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bekas calon presiden PAS Ahmad Awang, bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas naib presiden PAS Salahuddin Ayub.

Penubuhan GHB pertama kali diumumkan Mat Sabu dalam satu ceramah di Pulau Pinang.

Beliau yang juga bekas timbalan presiden PAS itu berkata, GHB tidak menolak matlamat penubuhannya sebagai sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum.

Katanya, pada masa kini, permohonan pendaftaran bagi GHB sudah diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan mereka masih menunggu ia diluluskan.

Lebih daripada itu, Mat Sabu berkata, penubuhan gerakan itu dilihat satu bentuk kerjasama politik parti pembangkang yang akan dikenali sebagai Pakatan Rakyat 2.0.

Bagaimanapun, Mat Sabu berkata masih belum ada keputusan muktamad mengenai nama parti baharu tersebut.

"Kita masih belum ada nama parti. Ia akan dibincangkan dan semua terbuka memberi cadangan kepada kita. Buat masa ini, kita menunggu RoS.

"Kalau ikut kita, kelmarin lagi mahu diluluskan. Kita mahu secepat mungkin, kerana sokongan akar umbi begitu kuat," katanya sambil menambah ahli jawatankuasa bagi GHB juga bersifat sementara ketika ini.

Ditanya pendirian parti baharu itu mengenai hudud, memandangkan ia menjadi faktor kepada perpecahan Pakatan Rakyat (PR), Mat Sabu berkata hudud tetap akan menjadi sebahagian daripada agenda parti tersebut.

Namun ia perlu melalui proses demokrasi berparlimen dan perundingan, katanya.

"Hudud sebahagian daripada syariat Islam... kami tidak boleh pisahkan semua itu kerana ia terkandung dalam ajaran Islam," katanya.

Beliau juga menolak penubuhan GHB akan menyaksikan ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan di dalam PAS.

"Kita masih lagi ahli PAS. Kalau dah ada parti baharu, baru letak (jawatan). Ini parti belum ada lagi, rumah tak siap, kalau hujan nanti, bagaimana?" soalnya.

Beliau berkata penubuhan parti baharu tersebut bermaksud ia akan menjalin kerjasama dengan semua parti politik yang sealiran seperti DAP dan PKR.

Ditanya adakah ia bermakna GHB juga akan bekerjasama dengan PAS, beliau berkata ia terpulang kepada parti tersebut.

Mengulas mengenai kedudukan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Mat Sabu berkata ia akan kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, ahli jawatankuasa sementara GHB Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti baharu itu terbuka kepada semua termasuk bukan Islam, dengan dua jenis keahlian - ahli penuh dan ahli bersekutu.

"Keahlian penuh terbuka kepada semua Islam dan bukan Islam yang selari dengan cita-cita dan matlamat gerakan.

"Manakala keahlian bersekutu pula ialah kategori yang juga terbuka kepada Islam dan bukan Islam, namun mereka tidak ambil keahlian secara penuh, kerana tidak mahu memberi komitmen penuh dalam parti baharu.

"Sebab itu kita bawa pendekatan berbeza. Sangat inklusif yang merentas perkauman, bangsa dan agama," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/gerakan-harapan-baru-dilancar-hari-ini-terbuka-untuk-semua#sthash.UJpnnJUB.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-