Showing posts with label Perhimpunan AgungPBB (UNGA). Show all posts
Showing posts with label Perhimpunan AgungPBB (UNGA). Show all posts

Friday, September 22, 2023

Di PBB, Anwar kutuk tindakan Islamofobia bakar Al-Quran

malaysiakini.com
D Arul Rajoo
Diterbitkan: Sep 22, 2023 10:49 PM
Perbuatan membakar al-Quran, yang berlaku di beberapa negara, adalah tindakan Islamofobia yang jelas bertujuan untuk mencetuskan kebencian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tindakan tidak mengendahkan provokasi terang-terangan terhadap sesuatu agama adalah tidak bertanggungjawab dan menghantar mesej berbahaya kepada kemanusiaan.

Dalam Kenyataan Negara yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di ibu pejabat PBB, Anwar berkata Malaysia bimbang dengan kemunculan “bentuk perkauman baru” yang dicirikan oleh xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam.

“Ini dimanifestasikan dalam trend kebencian yang membimbangkan, sikap tidak bertoleransi, dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka," kata beliau.

Malaysia, katanya terkejut dengan pengesahan perbuatan ini di bawah pembelaan hak asasi manusia yang lemah.

Berbaju Melayu biru muda lengkap dengan samping bertenun benang emas, Perdana Menteri berkata dunia perlu menerapkan nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati, serta menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara budaya, peradaban dan agama.

Pada masa yang sama, Anwar berkata setiap orang perlu menyatukan kepercayaan mereka bagi tujuan yang sama untuk menggalakkan persefahaman dalam kalangan rakyat dan mengukuhkan keamanan serta keharmonian dalam kalangan negara.

“Ini memang suatu yang sukar namun itulah sebabnya kita berada di sini. Apa yang kita perlukan ialah kepercayaan dan keyakinan untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik, kemahuan untuk bekerjasama di atas platform konsensus dan perpaduan,” kata beliau.

Selepas mesyuarat dua hala di New York pada Rabu, Anwar dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran dan wacana populis baru-baru ini yang menghasut supaya membenci Islam.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin turut melahirkan kebimbangan terhadap kemunculan "bentuk perkauman baharu" yang dicirikan oleh xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip terhadap umat Islam.

- Bernama

PM sampaikan ucapan di Perhimpunan Agung PBB

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 22, 2023 
Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam ini berucap di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyampaikan Pernyataan Negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) kali ke-78 di New York.

Anwar memulakan ucapannya pada 9.45 pagi (9.45 malam waktu Malaysia), antaranya berkongsi usaha negara menangani krisis iklim untuk mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia Madani.

Ini kemunculan pertama Anwar sebagai Perdana Menteri pada perhimpunan tahunan itu.

Tema perbahasan umum UNGA tahun ini ialah Membina Semula Kepercayaan dan Menghidupkan Semula Perpaduan Global: Mempercepatkan Tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke Arah Keamanan, Kemakmuran, Kemajuan dan Kemampanan Untuk Semua.

Selepas menyampaikan ucapan di UNGA, perdana menteri akan menyampaikan Khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY).

Pada sebelah malamnya (waktu New York), Anwar juga akan menjadi hos majlis makan malam untuk kira-kira 1,000 diaspora Malaysia.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-