Showing posts with label Islamofobia. Show all posts
Showing posts with label Islamofobia. Show all posts

Friday, February 7, 2025

Islamofobia DAP: Bersikap provokatif, ajak ‘bertempur’?

harakahdaily.net
February 7, 2025
Garis panduan belum siappun sudah ditentang
KUALA LUMPUR: Menentang cadangan garis panduan penglibatan umat Islam dalam majlis bukan-Islam, serta kontroversi penceramah Dr Zakir Naik, memperlihatkan Islamofobia semakin disemarakkan oleh DAP.

Pakar bahasa dan perpaduan, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan tentangan terhadap garis panduan yang masih dalam proses libat urus sepertimana ditunjukkan itu sebagai reaksi tidak rasional.

“Yang diperlihatkan menerusi penentangan terhadap panduan ini adalah Islamofobia yang membabi buta. Sebab garis panduan tidak siap lagi. Tetapi DAP, MIC, MCA sudah menentangnya. Perkara ini tidak patut berlaku.

“Garis panduan ini dibuat kepada orang Islam, bukan kepada bukan Islam. Tidak bolehlah sebab Islamofobia, kita tentang panduan yang belum siap lagi,” katanya lapor MalaysiaGazette.

Menurutnya, garis panduan itu hanya untuk umat Islam dan bertujuan mengelakkan fitnah serta salah faham dalam menghadiri majlis bukan Islam.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Dr Irwan Mohd Subri turut menjelaskan bahawa garis panduan ini penting bagi memastikan umat Islam memahami batas pergaulan dalam majlis keagamaan lain.

“Kebetulan tadi saya terbaca yang ditimbulkan beberapa pemimpin bukan-Islam yang mendakwa hendak menyekat kebebasan umat Islam, takkan nak hadiri kematian kawan bukan-Islam pun kena minta izin, bukan macam itu. Itu salah faham.

“Ini (garis panduan) respon kepada beberapa perbuatan atau tindakan sekumpulan umat Islam, pergi ke kuil, ke gereja dan sebagainya. Dia pergi ke kuil dan gereja tak ada masalah, cuma kelihatan seolah-olah keterlibatan dalam unsur agama itu yang kita hendak beri panduan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa terdapat aktiviti yang dihadiri umat Islam boleh mendatangkan fitnah disebabkan tiada garis panduan jelas.

“Saya nasihatkan kalau nak buat aktiviti contoh kemasyarakatan, nak bersihkan kuil dan sebagainya kalau dari segi kebersihan itu memang tuntutan Islam, cuma bila kita terlibat pembasuhan rumah ibadat agama lain yang menimbulkan persepsi, persepsi itu yang boleh menjadikan fitnah,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi amaran kepada DAP agar tidak terus bersikap provokatif terhadap isu berkaitan Islam.

Itu susulan pertikaian Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer mengenai kehadiran Dr Zakir Naik dalam satu majlis di Perlis.

“Saya melihat program saya di Perlis dipersoalkan dalam media. Saya rasa MP DAP itu berhasrat untuk kembali ‘bertempur’ dengan saya dan Perlis seperti mana ‘gemulah politik’ Ramasamy dan beberapa rakannya dahulu pernah lakukan.

“Beberapa hal termasuk membabitkan DAP, saya diam pada masa ini kerana menghormati Perdana Menteri sekarang dan kestabilan negara. Demikian juga saya ada beberapa kawan dalam kepimpinan DAP yang saya rasa menghormati sensitiviti rakyat negara ini.

“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya insya-Allah akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika ‘gemulah politik DAP’ yang lepas menjualnya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa selama itu beliau berdiam diri demi kestabilan negara dan menghormati Perdana Menteri, namun tidak akan membiarkan provokasi berterusan terhadap Islam. 

– HARAKAHDAILY 7/2/2025

Friday, September 22, 2023

Di PBB, Anwar kutuk tindakan Islamofobia bakar Al-Quran

malaysiakini.com
D Arul Rajoo
Diterbitkan: Sep 22, 2023 10:49 PM
Perbuatan membakar al-Quran, yang berlaku di beberapa negara, adalah tindakan Islamofobia yang jelas bertujuan untuk mencetuskan kebencian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tindakan tidak mengendahkan provokasi terang-terangan terhadap sesuatu agama adalah tidak bertanggungjawab dan menghantar mesej berbahaya kepada kemanusiaan.

Dalam Kenyataan Negara yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di ibu pejabat PBB, Anwar berkata Malaysia bimbang dengan kemunculan “bentuk perkauman baru” yang dicirikan oleh xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam.

“Ini dimanifestasikan dalam trend kebencian yang membimbangkan, sikap tidak bertoleransi, dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka," kata beliau.

Malaysia, katanya terkejut dengan pengesahan perbuatan ini di bawah pembelaan hak asasi manusia yang lemah.

Berbaju Melayu biru muda lengkap dengan samping bertenun benang emas, Perdana Menteri berkata dunia perlu menerapkan nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati, serta menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara budaya, peradaban dan agama.

Pada masa yang sama, Anwar berkata setiap orang perlu menyatukan kepercayaan mereka bagi tujuan yang sama untuk menggalakkan persefahaman dalam kalangan rakyat dan mengukuhkan keamanan serta keharmonian dalam kalangan negara.

“Ini memang suatu yang sukar namun itulah sebabnya kita berada di sini. Apa yang kita perlukan ialah kepercayaan dan keyakinan untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik, kemahuan untuk bekerjasama di atas platform konsensus dan perpaduan,” kata beliau.

Selepas mesyuarat dua hala di New York pada Rabu, Anwar dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran dan wacana populis baru-baru ini yang menghasut supaya membenci Islam.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin turut melahirkan kebimbangan terhadap kemunculan "bentuk perkauman baharu" yang dicirikan oleh xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip terhadap umat Islam.

- Bernama

Monday, January 23, 2023

Parti politik main isu judi, arak sebar Islamofobia di Malaysia: Hadi Awang

agendaily.com
23/01/2023
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata Islamofobia yang disebarkan parti politik tertentu dan beberapa pihak lain, dalam kalangan rakyat di Malaysia bertujuan mengadu domba, selain menghalang Islam kembali berkuasa.

Tanpa menyatakan mana-mana parti dan kumpulan terbabit, beliau menjelaskan Islamofobia disebarkan kepada masyarakat di negara umat Islam yang hidup bermasyarakat majmuk, khususnya dalam kalangan bukan Islam.

Beliau menjelaskan antara perkara yang dibangkitkan dalam Islamofobia itu termasuk penjualan arak dan judi sehingga menyebabkan Islam dianggap melampau kerana melarangnya.

“Terkini Islamofobia disebarkan di negara umat Islam yang hidup bermasyarakat majmuk, khususnya dalam kalangan bukan Islam, termasuk apa yang berlaku di Malaysia bagi tujuan adu domba dan menghalang kuasa kembali semula kepada Islam yang sebenar sehingga berjaya memerintah negara.

“Isu Islamofobia ialah senjata baru serangan pemikiran terhadap Islam khususnya oleh kerajaan ciptaan penjajah.

“Begitu juga, parti politik, kumpulan sekular dan individu yang bermusuh terhadap Islam, khususnya melalui media tanpa sempadan yang tidak dapat menyembunyikan permusuhannya terhadap Islam secara jahil atau jahat,” katanya dalam tulisan di Facebook beliau hari ini (23 Januari 2023).

Isu judi dan arak baru-baru ini menjadi ‘panas’ di Malaysia apabila ada parti politik yang menyifatkan tindakan menutup premis perjudian di negeri ditadbir PAS sebagai melanggar hak orang ramai.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu, jika dikaji hukum halal dan haram secara saintifik dan hikmahnya, akan didapati semua perkara yang haram itu mendatangkan mudarat kepada jasad manusia, roh, akal, keluarga, masyarakat dan alam sekitar.

Salah satu contohnya, katanya arak diharamkan dengan hukuman yang keras kerana ia merosakkan akal yang mulia, di samping menyebabkan penyakit jasad, keluarga dan masyarakat.

“Akan tetapi, Islam dianggap melampau kerana telah mengharamkan arak, walaupun tidak dihalang kepada penganut agama lain untuk meminumnya dan dihalalkan oleh agama mereka. Begitulah juga seperti haramnya daging babi, berzina, riba, judi dan lain-lain.

“Pada masa yang sama, bagi menutup kegagalan ideologi ciptaan manusia di Timur dan Barat. Islam diberikan gambaran yang salah dan fitnah yang menakutkan walaupun umatnya dianggap lemah dan mundur,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata ajaran Islam diambil secara tidak jujur, terpilih dan tidak sempurna atau melalui laporan yang bohong dan tidak mengikut budaya ilmu yang berakhlak murni untuk mencari kebenaran.

Monday, December 5, 2022

Polis panggil Hadi Awang beri keterangan petang ini

bharian.com.my
Disember 5, 2022 @ 1:14pm
Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto fail NSTP

PETALING JAYA: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka mengadakan sidang media petang ini selepas selesai memberi keterangan kepada polis susulan beberapa laporan yang dibuat terhadapnya sebelum ini.

Menurut pembantu Hadi seperti dilaporkan FMT, Ahli Parlimen Marang itu akan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, jam 3 petang untuk dirakam keterangannya.

Hadi sebelum ini mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa.

Beliau turut menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan itu "tidak bermoral".

Hadi menggunakan analogi bola sepak untuk mengatakan walaupun satu pasukan itu menang, pengadil "tiba-tiba memberi masa tambahan" bagi memberi peluang kepada pasukan kalah "untuk menang dengan apa cara sekalipun".

Komennya yang dipetik daripada kolum ditulisnya dalam lidah rasmi PAS, Harakah ditafsirkan sebagai merujuk gesaan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi PKR Ampang, Syafiq Zulkifli semalam menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap Hadi yang menyifatkan kenyataan berbaur hasutan itu boleh mengancam perpaduan negara.

"Kebencian yang cuba disemai ahli politik seperti Hadi menyebabkan ketidakharmonian dan membantutkan pertumbuhan ekonomi kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

"Tindakan tegas mesti diambil polis terhadap mereka yang mencabar kedaulatan negara dan mereka yang terbabit dalam sebarang unsur pengkhianatan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan perpaduan," katanya dalam kenyataan.

Ia susulan laporan polis dibuat NGO Raudhatul Muslimin terhadap Hadi, dengan berkata kenyataannya berunsur fitnah dan tidak sejajar ajaran Islam, selain boleh mengganggu ketenteraman awam.

NGO itu juga menuduh Hadi tidak menghormati Perlembagaan dan Agong.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-