Showing posts with label Razaleigh Hamzah. Show all posts
Showing posts with label Razaleigh Hamzah. Show all posts

Tuesday, August 3, 2021

Ku Li, Ismail Sabri ‘calon’ PM interim ganti Muhyiddin, kata sumber

freemalaysiatoday.com
Minderjeet Kaur
-August 3, 2021 8:05 PM

Sumber dalam Umno berkata, terdapat dua kem yang mengetengahkan calon pilihan masing-masing, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah kini diketengahkan sebagai calon jawatan perdana menteri interim, setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dikatakan hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Sumber Umno memberitahu FMT, terdapat dua kem yang mengetengahkan calon pilihan mereka.

“Satu pihak merasakan Tengku Razaleigh adalah pilihan lebih baik memandangkan beliau mempunyai pengalaman dan akan dihormati semua pihak,” kata sumber parti itu.

Tengku Razaleigh, 84, lebih dikenali sebagai Ku Li menjadi Ahli Parlimen sejak 1974, manakala Ismail turut mempunyai kelebihan sebagai naib presiden parti.

Sementara itu, sumber parti itu berkata, lebih ramai Ahli Parlimen Umno yang mempunyai jawatan kerajaan mungkin meletak jawatan.

“Mereka sepatutnya mengumumkan peletakan jawatan mereka tidak lama lagi.”

Terdahulu, Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula mengumumkan parti itu memutuskan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN, hanya sebulan selepas ia menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri secara rasmi.

Langkah itu menyebabkan kerajaan PN, yang sangat bergantung kepada sokongan Umno, dalam keadaan terumbang-ambing.

Zahid dilaporkan berkata, terdapat akuan berkanun (SD) mencukupi daripada Ahli Parlimen Umno yang mengisytiharkan mereka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Katanya, beliau sudah menyerahkan SD itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Saturday, March 27, 2021

'Umno berhak berkawan dengan siapa saja asal bukan syaitan'

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan 26 Mar 2021, 11:27 pm

Umno boleh berkawan dengan sesiapa saja yang boleh membawa keuntungan kepada parti itu asalkan bukan dengan syaitan, kata Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Jelasnya, dalam politik tiada istilah kawan atau musuh yang kekal buat selama-lamanya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak menjelaskan sama ada kenyataan tersebut dibuat ada berkait dengan spekulasi yang bertiup kencang membabitkan Umno dengan PKR ketika ini.

"Kita boleh berkawan dengan sesiapa pun. Dalam politik orang selalu kata tiada kawan yang kekal dan tiada musuh yang kekal.

"Jadi kalau benda itu berfadaeh kepada negara berfaedah kepada rakyat kita akan berpakat dengan sesiapa pun untuk menghasilkan cita-cita itu.

"Asalkan kita tidak berpakat dengan syaitanlah," katanya dalam wawancara bersama portal Malaysiapost, malam ini.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Tengku Razaleigh - yang sebelum ini mengajak ahli Umno mengundi menolak Belanjawan 2021 - mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Ahmad Zahid dan Najib adalah antara pemimpin Umno yang kini giat mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Umno dikaitkan dengan kerjasama dengan PKR apabila Anwar Ibrahim mengesahkan wujud perbincangan di antara pihaknya dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun pada 24 Mac lalu, Ahmad Zahid menafikan spekulasi parti itu mungkin bekerjasama dengan PKR menjelang PRU akan datang.

Menurut Zahid, tiada perbincangan seumpama itu antara dua parti tersebut.

"Ya, saya dan Anwar berjumpa di Parlimen, di majlis perkahwinan, tetapi langsung tiada perbincangan, rasmi atau tak rasmi.

"Bukan dengan saya, bukan dengan (timbalan presiden Umno) Mat Hassan," katanya seperti dipetik The Star.

Mengulas mengenai kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), Tengku Razaleigh menyertai segelintir pemimpin partinya yang mendesak agar PAS membuat keputusan sama ada mahu bersama mereka atau atau PN.

"Jadi kita tak mahu kata kita tak nak berkawan dengan sesiapa. Dengan PAS kita dah dirikan BN... PAS menjadi pengasas, tapi kita sudah bercerai.

"Dan kita rujuk balik dengan PAS dalam MN. Tapi Kita dengar PAS berpakat dengan Bersatu dalam PN.

"PAS ada pilihan sama ada nak kekal dalam MN atau kekal dalam PN. Kalau kekal (dalam PN) macam mana nak jalankan muafakat?" katanya lagi.

Friday, March 12, 2021

PAS macam pelacur, Umno perlu lawan PRU15 - Ku Li

malaysiakini.com
Diterbitkan 12 Mar 2021, 11:55 am

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah melabelkan PAS sebagai "pelacur politik" yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini, Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu berkata tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.

“Di (pilihan raya kecil) Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di Tanjung Piai tapi tidak sampai 1,000 yangundi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.

"PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46," kata bekas presiden Semangat 46 itu merujuk kepada parti yang pernah dipimpinnya pada penghujung 1980 -an sebelum kembali menyertai Umno pada tahun 1996.

Ku Li mengasaskan Semangat 46 setelah tewas dalam pemilihan Umno pada 1988 apabila dia mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno.

Pada masa itu kumpulan Ku Li mendakwa terdapat cawangan Umno tidak berdaftar, yang kemudiannya menyaksikan parti itu diharamkan oleh mahkamah.

Semangat 46 kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi menghadapi pilihan raya umum 1990.

Ku Li berkata isu PAS mengganggu Umno bukan perkara baru.

“Dah lama kita lawan PAS. Bukan baru semalam, tapi sejak 1951, PAS mengacau Umno sejak itu, sampai sekarang, bukan benda baru,” katanya.

Justeru Ku Li turut menolak idea kerjasama antara Umno dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita tak boleh setuju kerana macam mana nak lakukan stategi setuju tiga penjuru di sini tapi satu lawan satu di tempat lain.

“Saya sokong kita lawan PAS (dalam pilihan raya umum akan datang),” kata pengerusi lembaga penasihat Umno itu.

Umno sebelum ini mengumumkan parti itu akan menentang Bersatu pada PRU15.

Bagaimanapun setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan pada Rabu lalu berkata rundingan kerusi dengan PAS sedang berlangsung untuk mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti.

'Di Gua Musang, Bersatu cuma ada 5 ahli'

Selain itu, Ku Li menegaskan bahawa Umno tidak akan memberikan kerusi mereka kepada Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bersatu parti baru, tidak ada pengikut. Di Gua Musang mereka hanya ada empat ke lima orang ahli.

“(Setiausaha Agung Bersatu) Hamzah Zainuddin juga tidak ada tempat sebab itu kita beri di Larut kerana dia tidak boleh bertanding di Ipoh.

“(Ahli Parlimen Jeli) Mustapa Mohamed pula kita akan ambil balik kerusi itu. PAS kuat di sana tapi kita pernah kalahkan mereka.
“Lawan Bersatu lebih mudah daripada PAS tapi mereka mahu PAS tolong mereka, mereka juga harap Umno pun tolong.

“Kalau Umno tolong mudahlah (bagi Bersatu), tapi saya tak rasa kita akan tolong pengkhianat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan gaya bahasa yang digunakan Ku Li sehingga menggelarkan PAS sebagai 'pelacur'.

"Ini bukan adab yang baik. Sudah pasti ramai yang tak senang.

"Politik yang kita perlu bawa ialah politik yang sihat dan bertamadun. Gelaran pelacur sama sekali tidak wajar digunakan," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-