Showing posts with label Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan 1948. Show all posts
Showing posts with label Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan 1948. Show all posts

Thursday, October 4, 2018

Dr M: Henti tahan mereka yang hina saya

Annabelle Lee
 Dikemaskini 4 Okt 2018, 12:08 tengah hari


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi seruan kepada pihak polis agar berhenti menahan mereka yang membuat penghinaan ke atas beliau.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya pagi ini, Mahathir berkata sesuatu penghinaan tidak memberi kesan terhadap beliau dan ahli politik mesti menerima kritikan.

"Perkara itu (penangkapan) tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak keberatan dihina oleh sesiapa pun, ia tidak akan menjejaskan saya. Terdapat satu kes di Pulau Pinang dan saya beritahu mereka (pihak polis) agar tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

"Ahli politik mesti menerima apabila dikritik, atau diejek," katanya.

Beliau diminta mengulas penahanan Azman Noor Adam baru-baru ini di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana menyebarkan imej yang didakwa menghina Mahathir di media sosial (gambar atas).

Abang kepada Azman yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mengkritik Pakatan Harapan kerana tidak mengecam penahanan itu walaupun pemimpin gabungan itu sebelum ini membantah tindakan polis menggunakan Akta Hasutan terhadap mereka.

Berikutan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dan beberapa anggota parlimen kerajaan menyelar penggunaan Akta Hasutan ke atas Azman.

Pada Mei lalu, polis Langkawi juga telah menahan seorang lelaki atas pertuduhan yang sama di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Thursday, August 4, 2016

Polis kesan gerakan 'gelombang kuning'

RUBIAH OMAR
Datuk Rosli Abd Rahman (dua dari kiri) menunjukkan antara kain rentang yang tertulis Gelombang Kuning yang dirampas di sekitar daerah Kuala Terengganu, di sini.

KUALA TERENGGANU - Polis kini sedang mengesan satu gerakan yang dipercayai cuba mengaitkan pihak Istana Terengganu dalam memprotes kepimpinan kerajaan negeri yang dinamakan 'Gelombang Kuning'.

Gerakan yang dikesan sejak 10 hari lalu itu turut dipercayai didalangi segelintir ahli politik yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman berkata, gerakan Gelombang Kuning ini dikesan berikutan penemuan sepanduk kuning di empat daerah di negeri ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya gerakan ini ada kaitan dengan cubaan melakukan provokasi pada persidangan Dun yang dijangka dijalankan pada Isnin depan.

"Polis percaya gerakan ini cuba mempengaruhi rakyat untuk menyertai mereka kerana warna kuning yang digunakan pada sepanduk yang dipasang kononnya mewakili pihak Istana Terengganu.

"Bagaimanapun, Setiausaha Sultan Terengganu sudah tampil membuat laporan yang menafikan pihak Istana Terengganu terbabit dalam gerakan ini," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, dan Ketua Jabatan Siasatan dan Pencegahan Trafik Terengganu, di sini, hari ini.

Rosli berkata, sehingga hari ini polis sudah menerima sembilan laporan polis berhubung gerakan Gelombang Kuning iaitu enam laporan di Kuala Terengganu, selebihnya di Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Jelasnya, setakat ini polis masih lagi menyiasat individu atau kumpulan yang mendalangi gerakan ini dan meminta bantuan ahli politik negeri ini untuk tampil memberi maklumat.

Dalam masa sama, polis menasihatkan orang ramai agar jangan sesekali terlibat dengan gelombang kuning kerana gerakan berkenaan lebih kepada hasutan yang cuba ingin kaitkan dengan pihak Istana Terengganu.

"Siasatan mendapati terdapat unsur hasutan dalam gerakan kumpulan ini oleh demikian polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan 1948.

"Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-