Showing posts with label agama Hindu. Show all posts
Showing posts with label agama Hindu. Show all posts

Monday, February 17, 2025

Rayer yang patut minta maaf, tak faham bahasa Melayu - Asri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 17, 2025 6:29 PM
Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan kenyataannya terhadap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan menafikan ia sebagai satu bentuk penghinaan kepada penganut agama Hindu di negara ini.

Menyifatkan Rayer sebagai "tidak faham bahasa", Mohd Asri mempersoalkan di mana kenyataannya yang didakwa menghina penganut agama lain.

"Setelah hampir dua minggu kenyataan saya, barulah dengan tiba-tiba ahli parlimen Jelutong itu rasa terhina. Saya hairan bagaimana dalam negara ini yang bahasa Melayu adalah bahasa utama boleh ada ahli parlimen yang tidak faham bahasa seperti beliau.

"Di mana ayat saya yang menghina agama beliau? Ayat saya itu untuk beliau faham betapa semua pihak jangan masuk campur urusan agama pihak lain. Bahkan rakan-rakan saya yang beragama Hindu juga ada yang menyokong kenyataan saya dan menganggap beliau sudah melampaui batas.

"Beliaulah yang patut minta maaf atas banyak kenyataan beliau yang membabitkan umat Islam di negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya petang ini.

Mohd Asri juga meminta kerajaan supaya tidak memberikan apa-apa jawatan kepada Rayer dengan mendakwa pemimpin DAP itu sering menimbulkan provokasi dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Jika diberikan juga, bererti sensitiviti majoriti rakyat negara ini tidak dijaga," tambahnya.

Pada 6 Feb lalu, Mohd Asri menyatakan kesediaannya “bertempur” dengan seorang anggota parlimen DAP yang didakwanya lantang mempersoalkan program keagamaan anjurannya.

Ini susulan penganjuran Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 pada 24 hingga 27 Januari lalu yang menampilkan 18 penceramah antarabangsa terkenal termasuk penceramah kontroversi, Zakir Naik.

Rayer sebelum ini mempertikaikan kemunculan semula Zakir, yang kini diburu pihak berkuasa India dan dilarang berceramah di negara ini.
Dalam video di saluran YouTube rasminya, Mohd Asri berkata Rayer tidak sepatutnya mempersoalkan siapa yang dijemput untuk ke majlis anjurannya.

“Seperti mana saya tidak bertanya apa bahan digunakan untuk menyapu dahinya dan kenapa dia menyapu dahinya, demikian dia tidak perlu bertanya saya siapa yang ingin saya jemput," katanya.

Susulan itu, Rayer dalam satu sidang media di parlimen hari ini berkata kenyataan Mohd Asri merupakan penghinaan kepada penganut agama Hindu.

Menurutnya, dalam sidang medianya sebelum ini, dia hanya membangkitkan isu kebenaran untuk Zakir Naik berceramah di Perlis dan tidak sama sekali menghina Mufti Perlis mahupun penceramah kontroversi itu.

Rayer juga mempersoalkan apakah Mohd Asri akan memohon maaf setelah mengeluarkan kenyataan menghina itu seperti mana tindakan diambil seorang penjual jagung di Kota Warisan, Selangor.

Rayer merujuk tindakan peniaga berkenaan yang memohon maaf selepas menampal notis berbaur perkauman terhadap masyarakat India di gerainya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, apa yang diungkapkannya sebelum ini bukanlah penghinaan, namun Rayer sendiri gagal memahami bahasa Melayu.

"Untuk mudah faham, jika kita bertemu dengan seseorang dan berkata kepadanya: "Awak jangan bertanya saya orang mana, seperti mana saya tidak pernah bertanya siapa nama ayah awak", tiba-tiba dia rasa kita menghinanya, memanglah pelik orang itu.

"Sama ada dia merasakan ayahnya itu hina padahal kita tidak menghina, atau dia gagal faham bahasa, atau kita sebut 'jenis tidak faham bahasa'.

"Kedua-dua keadaan itu menunjukkan kualiti yang bukan pilihan masyarakat yang cerdik," katanya lagi.

Wednesday, January 15, 2020

Ponggal ada ritual kepada dewa

Islam larang umat terbabit ritual bertentang dengan agama, akidah
15/01/2020

1. MENGANDUNGI ritual-ritual persembahan kepada dewa-dewa.

2. Kebebasan beragama terjamin di dalam perlembagaan negara bahawa penganut agama hindu bebas mengamalkannya secara aman dan damai . Bagi umat Islam , upacara- upacara yang mengandungi unsur mempersembahkan sesuatu kepada dewa-dewa adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.

3. Sebagai perbandingan , perayaan Aidiladha adalah perayaan yang besar di dalam Islam, namun bagi penganut hindu ia bertentangan dengan ajaran mereka.

4. Umat Islam sudah tentu tidak berasa kecil hati jika sami-sami hindu melarang penganutnya untuk tidak turut serta di dalam sambutan Aidiladha kerana umat Islam sangat memahaminya. Kita sudah hidup puluhan tahun di negara ini dengan aman damai berbilang agama dan kaum.

5. Begitulah sebaliknya , ulama Islam berhak untuk melarang umat Islam terbabit dalam ritual-ritual agama lain yang bertentangan dengan agama Islam, lebih-lebih lagi yang membabitkan perkara aqidah. Penganut agama lain pun tidak sepatutnya kecil hati dan menjadikannya sebagai isu.

6. Kekalkan resepi toleransi hidup beragama dengan menjadikan perlembagaan negara sebagai panduan. Bagi umat Islam , panduan kita yang paling utama ialah ayat 6 surah al kafirun.

Sahibus Samahah
Datuk Ustaz Hj. Zamri b. Hashim

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia
ISMA Cawangan Ipoh

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-