Showing posts with label ponggal. Show all posts
Showing posts with label ponggal. Show all posts

Friday, January 17, 2020

Mujahid gesa tindakan tegas ke atas pekeliling ‘haram’ Ponggal di sekolah

Predeep Nambiar
-January 17, 2020 8:47 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sistem pengajian atas talian e-RPH untuk sekolah agama di Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini

NIBONG TEBAL: Menteri berhubung hal ehwal Islam Mujahid Yusof Rawa hari ini berkata, tindakan tegas mesti diambil terhadap pegawai pendidikan yang mengeluarkan pekeliling yang mendakwa perayaan Ponggal adalah haram dalam Islam seperti dinasihatkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, ini kerana Jakim tidak pernah mengatakan adalah “haram” untuk menghadiri perayaan menuai masyarakat Tamil itu, tetapi sebaliknya berkata, orang Islam dibenarkan mengambil bahagian dalam perayaan itu selagi akhlak Islam dipatuhi.

“Isteri saya guru di sebuah sekolah di Nibong Tebal dengan ramai pelajar Tamil. Sekolahnya mengambil bahagian dalam Ponggal dan pada waktu sama mematuhi akhlak Islam sejak beberapa tahun,” katanya di luar satu acara di Institut Perindustrian Arumugam Pillai di sini hari ini.

Mujahid mempersoal tindakan pegawai dari Kementerian Pendidikan kerana memutarbelitkan kandungan surat berkenaan.

“Anda (pegawai terbabit) menggunakan perkataan seperti ‘terpaksa’ dan ‘haram’. Come on lah. Kita kata Ponggal diharuskan selagi akhlak Islam dipatuhi.

“Kami mendesak tindakan tegas diambil ke atas individu yang menulis surat tersebut dan kemudian menyalahkan Jakim kerana membuat keputusan itu. Kasihanilah saya dan Jakim.”

Surat yang dirujuk oleh Mujahid merupakan pekeliling Kementerian Pendidikan kepada semua pengetua sekolah yang dikeluarkan menjelang sambutan perayaan Ponggal.

Pekeliling bertarikh 13 Jan itu menyebut bahawa Jakim mengisytiharkan mengambil bahagian dalam ritus Ponggal adalah “haram”, terutamanya perbuatan mendidihkan susu, yang merupakan acara utama perayaan menuai masyarakat Tamil itu.

Ia ditulis oleh penolong pendaftar institusi pendidikan dan guru Adzman Talib.

Dalam perkembangan lain, Mujahid membidas G25, kumpulan bekas pegawai tinggi awam, kerana mempersoalkan keabsahan Jakim dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwak Islam (MKI).

Beliau berkata, langkah G25 mempersoal status Jakim dan MKI adalah seumpama mempersoalkan industri pensijilan “halal”, yang menyaksikan Malaysia menguasai sebahagian besar industri “halal” dunia yang bernilai AS$2 trilion.

Mujahid berkata, sekiranya kenyataan G25 itu benar, maka 30,000 guru sekolah agama dan kira-kira 1 juta pelajar di bawah mereka menerima gaji daripada sebuah badan haram.

Katanya, kumpulan itu sepatutnya mengehadkan dapatan kajiannya untuk dibahaskan dalam forum akademik, bukan mendedahkannya secara terbuka kerana ia akan mengelirukan orang ramai.

“Kesan kenyataan mereka tidak kena masa, terutama pada saat wujudnya ketegangan kaum dan agama. Apakah tujuan mereka? Anda memburukkan lagi keadaan.”

Terdahulu Mujahid melancarkan program e-RPH untuk sekolah agama, termasuk aplikasi telefon bimbit untuk guru bagi membantu mereka menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

Beliau berkata, kerajaan merancang untuk menaikkan elaun semasa RM1,000 kepada guru sekolah agama sebanyak RM100 bergantung kepada kelulusan.

Muslim sahaja kena rai agama lain?


BELUM pun reda tanglung, Ponggal pula jadi isu. Apa ke benda ini?

Orang India yang beragama Hindu nak sambut Ponggal, biaq pi kat depa la. Janji kita tak sekat depa nak sambut perayaan depa.

Yang terhegeh-hegeh minta kita sambut ini nak buat apa? Begitu juga nak paksa orang Islam turut sambut ini pasal apa?

Katakanlah Ponggal bukan perayaan agama, bagaimana selepas ini seperti Deepavali, Hari Wesak, Thaipusam dan lain-lain.

Takkan nak minta kita sambut juga. Cukup-cukuplah mempolitikkan sesuatu isu. Selama ini tidak pernah timbul isu-isu macam ini. Kenapa sejak dua menjak ini beriya-iya suruh dan paksa kita sambut?

Kita sudah ada wakil India, biarkanlah wakil-wakil ini mewakili kerajaan.

Perpaduan dijalinkan melalui persefahaman agenda negara bukan sambutan perayaan semata.

Berkali-kali pemimpin ultra kiasu dan pemimpin agama Hindu cuba meyakinkan kita bahawa Ponggal bukan perayaan agama, tetapi ada sedikit. Sedikit itu maksud apa?

Cuba fahami kata-kata pemimpin agama depa di bawah:

“Pesta Ponggal adalah perayaan unik buat masyarakat Tamil dan ia tanda kesyukuran kepada alam semula jadi atas hasil tuaian yang baik,” kata bekas Presiden Hindu Sangam Malaysia A Vaithilingam.

“Sama ada ia sambutan kebudayaan semata-mata atau ada sedikit unsur agama, ia adalah soal tafsiran tetapi yang pastinya ia turut dihormati oleh masyarakat Tamil yang beragama Kristian dan Islam,” katanya.

Menurut Vaithilingam, bekas Presiden India yang beragama Islam, Allahyarham Abdul Kalam sentiasa memberi penghormatan kepada Pesta Ponggal.

Lebih naif lagi, dibawa contoh Allahyarham Abdul Kalam beri penghormatan kepada Ponggal. Takkan ini pun tak faham bahasa mudah. Beri penghormatan dengan sambut lain. Beza maksud.

Saya pun hormat kepada semua hak perayaan orang bukan Islam, tetapi saya tidak sambut.

Ultra kiasu ini cukup marah dengan dengan Pekeliling Kementerian Pendidikan menyatakan umat Islam haram menyambut Pesta Ponggal.

Sudah tentu Kementerian Pendidikan bertindak ada justifikasinya. Tak perlu pergi jauh, dengar ucapan yang saya petik di atas.

Mana ada konsep dalam Islam, bersyukur kepada alam semula jadi. Ini pun tak faham kah?

Kita hanya ada konsep syukur Allah yang menjadikan alam maya ini. Tidak ada istilah bersyukur kepada alam semula jadi. Awal-awal lagi dah nampak perkara syirik itu.

Takkan tak nampak lagi. Nak tunggu sembah patungkah baru dikatakan syirik.

Lebih pelik lagi Menteri yang menjaga agama, cepat-cepat turut terikut-ikut dengan rentak ultra kiasu ini, dengan berkata ini bukan arahan jabatannya. Allahurabbi, takkan benda sekecil ini pun tidak boleh faham .

Tak payah buat sorotan literature pasal Ponggal pun orang dah tahu.

Baca kenyataan demi kenyataan pemimpin agama Hindu sudah jelas menunjukkan bahawa Ponggal ini tidak perlu disambut oleh orang Islam.

Mana ada konsep bersyukur kepada alam semula jadi.

Dah tak ada kerja lain ke sampai nak bawa perkara ini kepada mesyuarat Kabinet hari ini. Banyak perkara lebih penting berkaitan dengan negara yang perlu dibincangkan, terutama masalah ekonomi, bukan perkara kecil seperti Ponggal dan tanglung.

Selama ini tidak pernah benda-benda kecil macam ini dibawa ke Kabinet.

Peristiwa ini sudah seakan sama macam lapan Menteri bawa tanglung ke sekolah aliran Kebangsaan di Puchong baru-baru ini. Saya mengucap panjang. Pasal apa jadi perkara pelik-pelik sejak akhir-akhir ini.

Hubungan umat Islam dengan Bumiputera, orang India, Cina dan lain-lain tetap baik walaupun tanpa berkongsi atau menyambut perayaan mereka.

Banyak lagi pertemuan sosial yang lain yang boleh mengeratkan hubungan sesama kita.

Jika semua nak sambut, nanti Hari Wesak pun dikatakan nanti boleh disambut atas nama perpaduan.

Jika tidak disambut, tidak dinamakan perpaduan.

Naif sungguh pemahaman kita pasal perpaduan. Perpaduan hanya dilihat pada tanglung, Ponggal dan lain-lain.

Bagaimana dengan penghayatan agenda hidup bernegara? Seperti Perlembagaan, Rukun Negara, Dasar-dasar Negara, bahasa dan sebagainya. Isu utama atau masalah besar kita adalah kita tidak tahu. Kita tidak cuba memahami Perlembagaan dan Dasar-dasar Negara seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Belia Negara, dan macam-macam dasar lagi.

Dasar-dasar ini jauh lebih penting dihayati daripada suruh atau paksa kita menyambut perayaan.

Tak lama lagi, Tahun Baharu Cina akan menjelma. Sebagai orang Cina saya sentiasa mengingatkan perayaan ini. Saya nak sambut ke tidak, jangan paksa. Terpulang kepada saya. Saya lebih faham, sama ada boleh disambut atau tidak.

Apa kata Hari Raya Korban tahun ini kita panggil ultra kiasu ini untuk sama-sama melihat sembelihan korban atas dasar nak raikan sangat perayaan kaum lain.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

 – HARAKAHDAILY
    17/1/2020

Wednesday, January 15, 2020

Ponggal ada ritual kepada dewa

Islam larang umat terbabit ritual bertentang dengan agama, akidah
15/01/2020

1. MENGANDUNGI ritual-ritual persembahan kepada dewa-dewa.

2. Kebebasan beragama terjamin di dalam perlembagaan negara bahawa penganut agama hindu bebas mengamalkannya secara aman dan damai . Bagi umat Islam , upacara- upacara yang mengandungi unsur mempersembahkan sesuatu kepada dewa-dewa adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.

3. Sebagai perbandingan , perayaan Aidiladha adalah perayaan yang besar di dalam Islam, namun bagi penganut hindu ia bertentangan dengan ajaran mereka.

4. Umat Islam sudah tentu tidak berasa kecil hati jika sami-sami hindu melarang penganutnya untuk tidak turut serta di dalam sambutan Aidiladha kerana umat Islam sangat memahaminya. Kita sudah hidup puluhan tahun di negara ini dengan aman damai berbilang agama dan kaum.

5. Begitulah sebaliknya , ulama Islam berhak untuk melarang umat Islam terbabit dalam ritual-ritual agama lain yang bertentangan dengan agama Islam, lebih-lebih lagi yang membabitkan perkara aqidah. Penganut agama lain pun tidak sepatutnya kecil hati dan menjadikannya sebagai isu.

6. Kekalkan resepi toleransi hidup beragama dengan menjadikan perlembagaan negara sebagai panduan. Bagi umat Islam , panduan kita yang paling utama ialah ayat 6 surah al kafirun.

Sahibus Samahah
Datuk Ustaz Hj. Zamri b. Hashim

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia
ISMA Cawangan Ipoh

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-