Showing posts with label akhbar The Star. Show all posts
Showing posts with label akhbar The Star. Show all posts

Monday, October 8, 2018

The Star kesal 'kekeliruan' isu laporan khalwat

Diterbitkan 8 Okt 2018, 10:32 malam


The Star hari ini menjelaskan bahawa bahagian yang menjadi pertikaian dalam wawancara Datuk Mujahid Yusof tidak dikaitkan dengan menteri itu.

Ia selepas setiausaha akhbar Mujahid, Siti Zulaikha Zulkifli semalam memberi masa 24 jam untuk akhbar berkenaan memohon maaf berhubung laporan berkenaan, terutamanya berhubung kenyataan menteri itu yang berhubung serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama.

"Kami mahu menjelaskan bahawa perenggan berkenaan tidak dikaitkan dengan Mujahid dan ia bukan petikan kata-katanya.

"Ia berdasarkan jawapan kepada soalan: 'Katakan seseorang terlibat dalam khalwat di ruang tertutup. Pihak anda boleh pecahkan pintu dan menahan mereka. Adakah ini akan berubah?'"

"Untuk rekod, menteri itu menjawab: 'Saya akan memberi panduan kepada kesemua agensi di bawah saya, terutamanya pegawai penguatkuasa, jangan masuk campur ruang peribadi seseorang. Isu berkaitan penguatkuasaan terhadap khalwat, yang anda rasakan sering disalahgunakan, tidak kesemuanya. Tetapi ada beberapa ketika ia telah dieksploitasi dan disalah guna. Penguatkuasaan ke atas aktiviti khalwat terletak di bawah institusi kehakiman di bawah negeri, dan ia bukan di bawah kementerian saya, tetapi kami mempunyai platform di mana kita akan bertemu kesemua pengarah negeri jabatan hal ehwal Islam, serta berkongsi pandangan dari sudut kerajaan persekutuan berhubung isu ini.'"

"Kami kesal terjadi kekeliruan susulan laporan itu," kata The Star.

Malaysiakini sudah menghubungi pejabat Mujahid untuk mendapatkan ulasan berhubung penjelasan The Star itu.

Semalam, Zulaikha mempersoalkan tajuk berita laporan The Star yang disiarkan Sabtu lalu, termasuk perenggan pertama laporan itu.

Perenggan pertama menyatakan: "Tiada lagi ketuk pintu di tengah malam dan tiada lagi pecahkan pintu oleh pihak berkuasa agama bagi menyiasat laporan khalwat atau dakwaan salah laku lain."

Zulaikha berkata Mujahid tidak pernah menyebutkan perkataan itu dan ia hanyalah tafsiran penulis dan telah menyebabkan salah faham dalam kalangan orang Islam di negara ini.

Laporan itu mengundang pelbagai reaksi, ada yang memuji pendirian Mujahid dan ada yang menuduh beliau menyokong kegiatan maksiat.

Susulan itu, Zulaikha menuntut permohonan maaf akhbar berkenaan atau berdepan "tindakan yang lebih tegas".

Mujahid juga telah menafikan pernah menyatakan bahawa serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama akan dihentikan.

Transkrip penuh wawancara berkenaan dikongsi di Facebook Mujahid semalam.

[Baca berita asal]

Sunday, October 7, 2018

Kenyataan Mujahid: The Star perlu mohon maaf - SU akhbar


Akhbar The Star perlu memohon maaf kerana mengambil kenyataan Datuk Mujahid Yusof Rawa di luar konteks, kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri Hal Ehwal Islam itu, Siti Zulaikha Zulkifli.

Zulaikha juga memberi amaran 'tindakan lebih tegas" akan diambil jika permohonan maaf tidak diterima dalam masa 24 jam.

"Saya amat menghormati kebebasan media, namun ini tidak bermakna pihak media boleh menulis berita di luar konteks sehingga tercetusnya perdebatan awam dan memberi impak negatif kepada menteri.

"Saya menggesa pihak The Star memohon maaf secara terbuka kerana menulis laporan yang salah sehingga menyebabkan kekeliruan dan permohonan maaf itu perlu disiarkan di akhbar berkenaan serta di portal mereka.

"Sekiranya perkara ini tidak dibuat dalam masa 24 jam, tindakan lebih tegas akan diambil," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Tiada lagi ketukan di tengah malam

Pegawai menteri itu mengambil perhatian dengan tajuk berita The Star yang memaparkan wawancara dengan Mujahid yang terbit semalam.

Edisi cetaknya berjudul 'No More Moral Policing' dan bagi penerbitan dalam talian beritanya bertajuk 'No more night khalwat raids or intrusion into Muslims private lives says Mujahid'.

Beliau juga mempertikaikan perenggan pertama rencana itu yang berbunyi:

“No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings.” (Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam hari dan tiada lagi pintu yang dipecahkan pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat dan dakwaan kesalahan lain.)

Zulaikha berkata menteri itu tidak pernah menuturkan kata-kata demikian dan ia hanyalah tafsiran penulis artikel semata-mata, tetapi laporan itu telah menjadi tular serta mencetuskan perbahasan di kalangan umat Islam di negara ini.

Menurutnya lagi, transkrip penuh wawancara itu telah disiarkan dalam hantaran Facebook Mujahid.

BERKAITAN: Mujahid: 'Serbuan khalwat dihentikan' tak pernah keluar dari mulut saya

Terdahulu, menteri hal ehwal agama itu juga menafikan memberitahu akhbar tersebut serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama akan dihentikan.

"Saya tak pernah menyebut isu kononnya (serbuan) dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu, itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka (daripada kenyataan saya).

"Sila rujuk kepada wawancara di dalamnya (laporan itu) yang lebih tepat kepada maksud yang saya ingin sampaikan," katanya kepada stesen televisyen Al-Hijrah.

Laporan The Star itu mendapat maklum balas berbeza, dengan ada yang mewajarkannya manakala yang lain pula menuduh Mujahid menggalakkan maksiat.

Monday, May 29, 2017

Maaf tidak boleh diterima, umat Islam bukan kambing hitam

Oleh NUR ASLINDA NASIR

29 MEI: Kerajaan tidak boleh bertindak secara lebih kurang dengan kesilapan yang dibuat akhbar The Star kerana tidak belajar daripada pengajaran dari apa yang berlaku kepada akhbar NanYang Siang Pau sebelum ini.

Ia berikutan akhbar The Star telah memaparkan gambar umat Islam sedang menunaikan ibadah solat berjemaah dengan tajuk “Malaysian terrorist leader” sekaligus menunjukkan ia adalah perbuatan yang sangat keterlaluan dan biadab.
Menurut Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan, perkara tersebut sudah pastinya mengganggu Keharmonian negara dalam memelihara sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Tambah beliau, tindakan memohon maaf sahaja daripada akhbar tersebut tidak boleh lagi diterima kerana ia akan menjadikan umat Islam ini sebagai kambing hitam mereka yang sesuka hati boleh dipersendakan.

“Ini bukan kali pertama perlecehan agama dan sentimen kaum dilakukan secara terbuka dan berani.

“Sebelum ini Nanyang Siang Pau telah mempersenda Presiden PAS dengan menggunakan karikatur seekor monyet berserban. Telah mencetus kemarahan rakyat Malaysia yang sepatutnya hidup makmur dalam masyarakat berbilang kaum tanpa penghinaan sedemikian rupa.

“The Star gagal mempelajarinya. Masih mengulangi kesilapan serupa. Nampaknya makin berani dan nekad. Permohonan maaf setelah berkali-kali insiden serupa berlaku merupakan satu lagi siri penghinaan.

“Sampai bila kesabaran ummat Islam mahu diuji sedemikian rupa ? Kesabaran ummat Islam dicabar terus menerus. Mereka cetus provokasi supaya keamanan dan kemakmuran negara tergugat ? Kemudian mereka akan jadikan ummat Islam sekali lagi sebagai kambing hitam?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, semua pihak khususnya media sepatutnya menghormati dan memelihara sensitiviti keagamaan serta perkauman.

Namun apa yang dilihat kebelakangan ini, mereka semakin berani dan lantang menghina umat Islam dan kemudiannya hanya meminta maaf seolah-olah tidak menjadikan pengajaran dari apa yang berlaku sebelum ini.

“Jangan beri muka berulang kali kepada penghinaan Islam dan provokasi terhadap ummatnya. Kami tidak mahu The Star mengambil sikap sama seperti DAP yang anti Islam mengekspkoitasi isu, kerana kami yakin di luar sana ramai non muslim yang tidak bersetuju dengan sikap seperti ini.

“Namun kami yakin dan percaya, sikap berani mereka yang melebihi had dalam mempersenda ummat Islam ini akan memerangkap diri mereka sendiri,” ujarnya.

Nasruddin dalam masa yang sama turut memberi amaran supaya semua pihak berhenti dari melakukan sebarang percubaan untuk menguji kesabaran ummat Islam.

Ini kerana provokasi tidak selamanya memberi keuntungan, malah akan mengundang perkara yang lebih buruk kepada mereka.

Sunday, May 28, 2017

Akhbar The Star perlu segera minta maaf, kata Shahar


Ketua Pemuda Umno Pahang, Shahar Abdullah menggesa akhbar The Star agar dengan segera meminta maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Ini kerana, jelas Shahar, akhbar itu menyiarkan tajuk utama berita berkenaan 'pengganas' bersama-sama gambar umat Islam sedang bersolat terawih di halaman muka depannya pada 27 Mei 2017.

"Meskipun tajuk berita tiada kena mengena dengan gambar itu, ia boleh menyebabkan orang ramai tersalah tafsir apa yang disiarkan akhbar The Star seolah-olah merujuk pengganas kepada orang Islam dengan meletakkan kedua-dua berita dan gambar tersebut di halaman depan.

"The Star sebagai salah satu akhbar 'senior' berbahasa Inggeris utama di Malaysia sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti di negara ini yang majoriti rakyatnya beragama Islam lebih-lebih lagi dengan banyak insiden keganasan yang terjadi di luar negara kini.

"Tambahan pula umat lslam menyambut hari pertama bulan ramadan, bulan mulia umat lslam," kata beliau dalam kenyataan.

Oleh itu, sama ada penyiaran muka depan akhbar itu disengajakan atau tidak, pihaknya menggesa para pengarang The Star agar meminta maaf dengan seluruh umat Islam dan berjanji akan lebih sensitif dalam menyampaikan berita, kata beliau.

Ia penting, jelasnya, bagi mengelakkan tercetusnya ketegangan dalam komuniti berbilang kaum di negara ini lebih-lebih lagi memberi persepsi yang salah tentang agama Islam.

"Saya juga menggesa pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk melakukan pemantauan dalam memastikan tiada berita yang boleh mencetuskan kemarahan mana-mana agama dan kaum disiarkan.

"Sesungguhnya media yang merupakan medium penyampaian berita memainkan peranan yang sangat penting dalam menyampaikan laporan yang tepat dan tidak mengelirukan kepada rakyat," tambahnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-