Showing posts with label calon bukan Islam. Show all posts
Showing posts with label calon bukan Islam. Show all posts

Wednesday, February 28, 2018

Mampukah calon bukan Islam Pas tegakkan dasar perjuangan parti?

Firdaus Azil,
Calon bukan Islam PAS hanya ke arah mempopularkan parti itu di kalangan pengundi bukan Islam

KUALA LUMPUR : Pengumuman Pas untuk meletakkan sekurang-kurangnya 11 calon bukan Islam bagi Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan baru-baru ini dilihat lebih ke arah cubaan memenangi kembali hati pengundi bukan Islam, kata Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Bagaimanapun, katanya lagi, strategi itu lebih banyak menimbulkan persoalan demi persoalan, terutama sekali bagaimana 11 calon itu dapat memperjuangkan dasar perjuangan parti itu yang mahu menegakkan syiar Islam, sedangkan mereka sendiri bukan Islam.

Selain itu, kata Awang Azman, ialah sejauh mana penerimaan masyarakat Negeri Sembilan, terutamanya pengundi bukan Islam untuk menerima parti itu, apatah lagi isu Hudud ternyata tidak popular dalam kalangan mereka.

“Bagi saya bila PAS ini nak memberi ruang kepada calon bukan Islam, ia lebih untuk mempopularitikan Pas, dan menunjukkan seolah-olah ia bukan menolak bukan Islam,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Jumlah calon bukan Islam perlu minoriti - Mohd Amar

Agensi berita Bernama baru-baru ini melaporkan Pesuruhjaya PAS negeri Mustaffa Daharun sebagai berkata, mereka akan bertanding bagi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Kita juga akan meletakkan sekurang-kurangnya 11 calon bukan Islam, yang akan bertanding atas tiket Pas, di kawasan yang majoritinya terdiri daripada bukan Melayu seperti DUN Temiang dan Lobak,” katanya lagi.

Isu agama tetap menjadi antara pertimbangan penting oleh seseorang pengundi dalam memilih calon dalam pilihan raya.

Kajian Universiti Malaya yang membuat tinjauan terhadap pengundi di 12 kawasan parlimen di seluruh negara mendapati calon beragama menjadi antara pilihan utama pengundi selain calon yang bebas rasuah dan calon yang berkarismatik.

Monday, November 13, 2017

Calon bukan Islam bertanding atas tiket PAS wajib angkat sumpah taat setia - Mursyidul AM

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM:  PAS akan mewajibkan calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melafazkan sumpah taat setia kepada parti berteraskan Islam itu.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata bahawa pada PRU14, calon bukan Islam dikehendaki mengangkat sumpah taat setia atau aku janji.

"Pertamanya, lafaz bai'ah akan diteruskan bukan sahaja kepada calon-calon PAS yang beragama Islam malah turut dikenakan kepada calon-calon bukan beragama Islam yang bertanding atas tiket PAS," katanya kepada Antarapos.

Jelas beliau, tiada calon yang akan dikecualikan daripada melafazkan sumpah taat setia berkenaan yang menjadi tunjang kekuatan PAS.

"Itulah yang akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Isu ba'iah PAS menjadi topik hangat apabila wujud dalam kalangan wakil rakyat PAS bertindak keluar parti dan menubuhkan parti baru yang dinamakan Amanah.

Perkembangan terbaru ini memperlihatkan PAS mahu memastikan calon yang bertanding mewakili parti itu kekal wala' kepada kepimpinan dan juga parti itu sekiranya memenangi PRU14 nanti.

Mengulas lanjut, Hashim berkata bahawa Majlis Syura Ulama PAS selaku badan tertinggi dalam parti itu akan menentukan kandungan sumpah taat setia berkenaan.

"Kemungkinan orang bukan Islam yang akan bertanding atas tiket PAS, mereka juga dikehendaki mengadakan aku janji atau bai'ah dengan pihak PAS.

"Mungkin susunan ayat itu berbeza dengan yang Islam," katanya.

Ditanya, sekiranya perkara ini turut melibatkan calon daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), beliau mengiakan perkembangan terbaru itu.

-ze

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-