Showing posts with label inflasi. Show all posts
Showing posts with label inflasi. Show all posts

Saturday, February 18, 2023

Harga makanan dijangka terus meningkat tahun ini

PELBAGAI barangan makanan dipamerkan pada rak sebuah kedai runcit di San Anselmo, California pada 10 Februari lalu. -- AFP .

Oleh KOSMO!
18 Februari 2023, 8:15 am

GENEVA — Syarikat makanan terbesar dunia, Nestle menyatakan bahawa harga makanan ruji dijangka terus meningkat pada 2023 dan memberi amaran kepada pengguna tentang lebih banyak kesulitan yang bakal dihadapi oleh isi rumah, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Harga kopi Nescafe dan bar coklat KitKat telah dinaikkan sebanyak 8.2 peratus pada 2022, tetapi langkah itu tidak mampu mengimbangi kenaikan kos yang menjejaskan keuntungan.

“Kami berada dalam situasi di mana kami masih membaiki margin kasar dan seperti pengguna lain di seluruh dunia, kami dilanda inflasi dan cuba membaiki kerosakan yang berlaku,” kata Ketua

Pegawai Eksekutif Nestle, Mark Schneider kepada pemberita kelmarin.

Kenaikan harga akan dilaksanakan apabila berlakunya ‘inflasi kos input’, tambah Schneider, namun beliau enggan menyatakan produk mana yang akan terjejas. Syarikat itu memiliki 2,000 jenama merangkumi makanan sejuk beku, gula-gula dan susu formula bayi.

Antara syarikat barangan pengguna yang menaikkan harga barangan tahun ini termasuk Unilever (UL), Coca-cola (KO), Heineken (HEINY), Colgate (CL) dan Protector & Gamble (PG) yang membuat lampin Pampers serta syampu Pantene.

Syarikat-syarikat itu bergelut dengan kos komoditi, tenaga dan buruh yang tinggi.

Kos bahan mentah seperti tenaga, produk tenusu dan bijirin kekal tinggi walaupun sudah surut daripada kemuncaknya. Kos buruh dan logisitik juga dilaporkan meningkat.

Ia menyebabkan harga barangan di kedai-kedai tidak akan turun dalam masa terdekat.

“Kami mungkin melepasi kemuncak inflasi tetapi harga barangan belum mencapai harga kemuncak,” kata pegawai kewangan Unilever, Graeme Pitkethly dalam satu sidang video bersama wartawan

Makanan termasuk aiskrim akan menyaksikan kenaikan harga yang ketara pada 2023, kata Ketua Pegawai Eksekutif Unilever Alan Jope pada sidang sama.

Unilever berpangkalan di Britain dan mengeluarkan mayonis Hellman, kiub stok Knorr dan ais krim Ben & Jerry telah menaikkan harga produknya sebanyak 13.3 peratus dalam tempoh masa tiga bulan terakhir 2022, kenaikan harga suku kelapan berturut-turut. 

– Agensi

Thursday, June 16, 2022

GST: Jangan ulang kesilapan lampau, mula dengan kadar minimum, kata pakar ekonomi

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif
-June 16, 2022 2:30 PM
Kerajaan juga harus menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan semula GST agar kelemahan pelaksanaannya sebelum ini tidak berulang lagi, kata pakar ekonomi.
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh dikembalikan di Malaysia, namun kerajaan disaran untuk mempertimbang melaksanakannya dengan kadar rendah daripada 6%, menurut pakar ekonomi.

Pensyarah Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) Abu Sofian Yaacob berkata, GST dengan kadar yang rendah dapat mengurangkan beban rakyat, dan pada masa sama membantu negara menjana ekonomi.

Menurutnya, kerajaan juga harus menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan semula GST agar kelemahan pelaksanaannya sebelum ini tidak berulang lagi.

“Jika kerajaan nak juga perkenalkan GST, maka bukan sekarang, mungkin dalam awal tahun depan. Lepas itu kita mulakan dengan kadar yang paling rendah, mungkin 2% atau 3%.

“Jangan ulang kesilapan dulu, kerana dulu kata mungkin akan kenakan dalam 4% tetapi bila laksanakan terus 6%…semua memang terkejut. Bila 6% sama juga macam menggantikan cukai perkhidmatan, maka macam tiada perbezaan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sementara itu, katanya, kerajaan harus mengambil kira beberapa penambahbaikan, terutama dari segi kategori barang yang perlu dikenakan cukai, dan sistem pembayaran yang dikendali Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ujarnya, barangan keperluan asas harian boleh dikecualikan cukai atau mengenakan sifar cukai jika terdapat kemungkinan barangan tersebut akan dikenakan cukai.

“Sama ada kita kecualikan cukai atau pun kita kenakan cukai kosong iaitu 0%. Pengecualian itu maknanya tidak dikenakan cukai, manakala 0% (bererti) ada kemungkinan akan dinaikkan iaitu dikenakan cukai.

“Paling mustahak sebelum dilaksanakan adalah sistem sokongan di Kastam perlu diperbaiki. Banyak saya rasa kelemahan, satu adalah dari membayar balik mana-mana cukai yang telah dibayar,” tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo dilaporkan berkata GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.

Jelasnya, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem percukaian itu sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara, bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Bagaimanapun, beliau juga berkata keputusan pelaksanaan semula sistem GST masih di peringkat kajian.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-