PELBAGAI barangan makanan dipamerkan pada rak sebuah kedai runcit di San Anselmo, California pada 10 Februari lalu. -- AFP .
Oleh KOSMO!
18 Februari 2023, 8:15 am
GENEVA — Syarikat makanan terbesar dunia, Nestle menyatakan bahawa harga makanan ruji dijangka terus meningkat pada 2023 dan memberi amaran kepada pengguna tentang lebih banyak kesulitan yang bakal dihadapi oleh isi rumah, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Harga kopi Nescafe dan bar coklat KitKat telah dinaikkan sebanyak 8.2 peratus pada 2022, tetapi langkah itu tidak mampu mengimbangi kenaikan kos yang menjejaskan keuntungan.
“Kami berada dalam situasi di mana kami masih membaiki margin kasar dan seperti pengguna lain di seluruh dunia, kami dilanda inflasi dan cuba membaiki kerosakan yang berlaku,” kata Ketua
Pegawai Eksekutif Nestle, Mark Schneider kepada pemberita kelmarin.
Kenaikan harga akan dilaksanakan apabila berlakunya ‘inflasi kos input’, tambah Schneider, namun beliau enggan menyatakan produk mana yang akan terjejas. Syarikat itu memiliki 2,000 jenama merangkumi makanan sejuk beku, gula-gula dan susu formula bayi.
Antara syarikat barangan pengguna yang menaikkan harga barangan tahun ini termasuk Unilever (UL), Coca-cola (KO), Heineken (HEINY), Colgate (CL) dan Protector & Gamble (PG) yang membuat lampin Pampers serta syampu Pantene.
Syarikat-syarikat itu bergelut dengan kos komoditi, tenaga dan buruh yang tinggi.
Kos bahan mentah seperti tenaga, produk tenusu dan bijirin kekal tinggi walaupun sudah surut daripada kemuncaknya. Kos buruh dan logisitik juga dilaporkan meningkat.
Ia menyebabkan harga barangan di kedai-kedai tidak akan turun dalam masa terdekat.
“Kami mungkin melepasi kemuncak inflasi tetapi harga barangan belum mencapai harga kemuncak,” kata pegawai kewangan Unilever, Graeme Pitkethly dalam satu sidang video bersama wartawan
Makanan termasuk aiskrim akan menyaksikan kenaikan harga yang ketara pada 2023, kata Ketua Pegawai Eksekutif Unilever Alan Jope pada sidang sama.
Unilever berpangkalan di Britain dan mengeluarkan mayonis Hellman, kiub stok Knorr dan ais krim Ben & Jerry telah menaikkan harga produknya sebanyak 13.3 peratus dalam tempoh masa tiga bulan terakhir 2022, kenaikan harga suku kelapan berturut-turut.
– Agensi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.