Showing posts with label kemalangan jalan raya. Show all posts
Showing posts with label kemalangan jalan raya. Show all posts

Friday, June 9, 2017

Suami isteri ajal bersama

Muhammad Jabrullah dan Nur E'Ezati meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggang dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 4.9 Lebuh Raya Maju (MEX), berhampiran Plaza Tol Salak Selatan menghala Putrajaya, 5 petang kelmarin. FOTO ihsan pembaca

Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

MUHAMMAD Jabrullah Yahya, 27, dan Nur E'Ezati Md Sofri, 27 berkahwin September tahun lalu, namun semalam mereka temui ajal bersama selepas motosikal yang ditunggang dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 4.9 Lebuh Raya Maju (MEX), berhampiran Plaza Tol Salak Selatan menghala Putrajaya, 5 petang kelmarin.

Lebih memilukan, Nur E'Ezati dikatakan mengandung anak sulung. Suami isteri itu adalah kakitangan Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata motosikal mangsa dirempuh di lorong kecemasan itu menyebabkan mereka tercampak ke penghadang besi di sebelah kiri lebuh raya.

"Manakala motosikal mangsa diseret sejauh kira-kira 200 meter.

"Kejadian menyebabkan Jabrullah cedera parah di dada sementara E'Ezati cedera di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, seorang saksi mendakwa kenderaan pacuan empat roda itu menggunakan lorong kecemasan lalu melanggar motosikal mangsa.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat," katanya.

Saturday, June 3, 2017

Mudir, Pentadbir Maahad Tahfiz perlu papar imej terbaik Islam - Ahmad Zaid

BAGAN DATUK, 3 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua mudir dan pihak pentadbir maahad tahfiz memaparkan imej terbaik Islam dan mengutamakan soal keselamatan pelajar dalam apa jua keadaan bagi mengelak perkara tidak diingini.

Timbalan Perdana Menteri berkata sikap mementingkan tahap keselamatan dan bukan sekadar "melepaskan batuk di tangga" akan meningkatkan semula imej agama Islam dan institusi madrasah di negara ini.

Beliau berkata kejadian seperti kemalangan jalan raya, kebakaran dan histeria yang melibatkan madrasah sedikit sebanyak telah mencalarkan agama Islam di mata masyarakat.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk mengambil contoh kemalangan yang meragut tujuh daripada 12 pelajar Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang, Kuala Krai baru-baru ini, adalah sesuatu yang menyedihkan dan harus diberikan keutamaan.

"Benar kita berserah kepada Allah, benar kita reda dan pasrah dengan kemalangan itu tetapi mungkin boleh dielak jika langkah keselamatan diambil lebih awal. Institusi maahad tahfiz harus memegang amanah ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk menuntut ilmu agama.

"Kalau kita bersiap siaga, mana mungkin maahad tahfiz boleh terbakar sekiranya ciri keselamatan diberikan kepentingan dan Sijil Layak Menduduki (CF) dipenuhi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Inspirasi Ramadan UPSR & SPM Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Peringkat Kebangsaan 2017 di perkarangan masjid Al-Khairiah, Selekoh, di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan YaPEIM berupa wang tunai berjumlah RM680,000 kepada 12,600 anak yatim dari 12 daerah di Perak yang diwakili pegawai daerah masing-masing.

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa sudah tiba masanya maahad tahfiz mengembalikan imej baik institusi pendidikan keagamaan itu selepas beberapa insiden melibatkan soal keselamatan yang meragut nyawa pelajar mereka sebelum ini.

-- BERNAMA

Friday, January 16, 2015

Nahas bas Tapah imbas tragedi bas Genting Highlands

Mayat seorang mangsa korban tragedi bas, dikeluarkan dari bilik mayat Hospital Tapah untuk upacara pengebumian. - Foto TRP/ Azrol Ali

TAPAH, 16 Januari:

Pengusaha kedai keranda, Loh Kim Lai, 52, tidak menyangka panggilan yang dijawab kira-kira jam 6 pagi semalam, merupakan panggilan sama seperti diterimanya dua tahun lalu.

Beliau ketika ditemui di rumah salah seorang mangsa di Kuala Gula, Parit Buntar berkata, ketika menerima tempahan tiga keranda daripada seorang individu yang merupakan waris kepada mangsa korban kemalangan di kilometer 326.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), awal pagi semalam, fikirannya tiba-tiba terbayang akan betapa dahsyatnya kemalangan berkenaan.

Beliau segera menghubungi pekerjanya membuat persiapan, bagi menghantar keranda yang ditempah ke bilik mayat Hospital Tapah, sejurus selepas menjawab panggilan tersebut.

Katanya, tiga van digunakan untuk menghantar keranda itu, yang setiap satu berharga RM5,000.

“Saya pernah lihat kejadian dahsyat dua tahun lalu dan apa yang saya lihat itu masih lagi terbayang-bayang di fikiran saya.

“Saya tak dapat bayangkan bagaimana mangsa berdepan situasi cemas, apabila bas itu terbalik dan terbakar.

“Meskipun menerusi tempahan keranda itu saya boleh mendapat ribuan ringgit, tetapi saya masih menaruh simpati kepada keluarga mangsa,” katanya.

Tambahnya, ini merupakan kemalangan ngeri kali kedua yang memerlukan khidmatnya sebagai seorang pengusaha keranda, sejak 15 tahun lalu.

Pada 21 Ogos 2013, sebuah bas ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands yang dinaiki 53 penumpang, terjunam 60 meter ke dalam gaung di kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands, menyebabkan 37 orang maut.

Nahas yang disifatkan terburuk dalam tempoh 17 tahun di kawasan terbabit dan dalam sejarah negara ini, turut menyebabkan 16 penumpang cedera.

Dalam perkembangan sama, Loh berkata, menguruskan mayat yang sudah tidak mempunyai bentuk fizikal asal amat sukar, kerana mereka khuatir akan berlaku cacat cela kepada mayat ketika menguruskannya.

“Dalam hal ini, saya menyerahkan kepada keluarga mangsa untuk mereka menguruskannya dan pihak kami hanya menyediakan keperluan serta khidmat penghantaran,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/16/nahas-bas-tapah-imbas-tragedi-bas-genting-highlands/#ixzz3OwNhaOW4

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-