Showing posts with label keputusan kes rayuan kes liwat 2. Show all posts
Showing posts with label keputusan kes rayuan kes liwat 2. Show all posts

Wednesday, February 11, 2015

Liwat 11: Negara luar nyatakan reaksi berhubung keputusan

Keputusan rayuan kes Liwat II membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat reaksi daripada pelbagai pihak di peringkat antarabangsa.

KUALA LUMPUR, 11 Februari :

Amerika Syarikat (AS) melahirkan kekecewaan dan kebimbangannya berhubung penolakan rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan.

Kedutaan AS di Malaysia menyatakan bahawa negara itu sentiasa mengikuti perbicaraan Ketua Pembangkang berkenaan dan berasa bimbang mengenai kedaulatan perundangan serta kebebasan Mahkamah di Malaysia.

Menurut kenyataan di portal kedutaan itu, AS dan Malaysia mempunyai kerjasama yang erat dan negara itu pernah meluahkan kebimbangannya yang serius mengenai kes Anwar.

Malah AS turut menggesa Malaysia menekankan aspek keadilan, ketelusan dan kedaulatan undang-undang bagi meningkatkan keyakinan dalam sistem kehakiman Malaysia dan demokrasi.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini turut memuat naik kenyataan Ikhwanul Muslimin, Mesir yang dipetik dari laman web rasmi pergerakan itu.

Antara petikan Ikhwanul Muslimin berbunyi: “Bersama-sama kita kehilangan seorang lagi wira! Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita akan mengingati hari ini sebagai hari gelap (Blackday) untuk keadilan. Revolusi hampir tiba.”

“Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi dari Mesir dan Anwar Ibrahim dari Malaysia, mereka sentiasa meletakkan rakyat di tempat pertama tetapi akhirnya, ketidakadilan dengan konspirasi meletakkan Dr Mohamed Morsi dan Anwar ke penjara.”

Dalam pada itu, Menteri Luar Australia, Julie Bishop berkata, Australia kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan terakhir Anwar Ibrahim.

“Kami sangat prihatin dengan hukuman itu dan kami telah meluahkan kebimbangan terhadap kerajaan Malaysia.

“Sebagai rakan kepada Malaysia, Australia menggalakkan kerajaan Malaysia agar mempertimbangkan kesan terhadap keputusan itu, termasuk keputusan Anwar dan pengekalan Akta Hasutan di peringkat antarabangsa dan komitmennya kepada hak asasi manusia,” katanya seperti yang dipetik daripada ABC News.

Dalam pada itu, portal media itu juga memberitahu bahawa Senator Bebas dari Australia Selatan, Nick Xenophon menyifatkan keputusan tersebut sebagai ‘mempersendakan keadilan’.

“Semua kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, kumpulan ulama antarabangsa dan Kesatuan Parlimen Antarabangsa mengatakan perubahan ini direka bermotifkan politik.

“Keputusan itu benar-benar satu persendaan terhadap keadilan,” katanya.

Xenophon juga memberitahu media Australia itu bahawa beliau akan bercakap dengan wakil-wakil Komanwel mengenai kes Anwar.

Pada Selasa, Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai lima anggota panel hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Anwar yang juga Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/11/liwat-ii-negara-luar-nyatakan-reaksi-berhubung-keputusan/#ixzz3RMR6dpNS

Tuesday, February 10, 2015

Ubah rasa hampa menjadi tekad perjuangan -- Guan Eng

PUTRAJAYA, 10 FEB: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyeru penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara tidak berasa hampa dan bersedih dengan keputusan perbicaraan kes Fitnah 2 ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya Guan Eng berkata, perasaan hampa dan kecewa itu sewajarnya diubah menjadi tekad yang kuat untuk meneruskan perjuangan menentang ketidakadilan akibat sistem kehakiman yang pincang.

“Ya.. Keputusan ini memang mengejutkan dan menghampakan. Tetapi perasaan hampa itu jangan tinggal hampa. Kita perlu ubah kepada tekad untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi dan kebenaran.

“Kita kena teruskan perjuangan,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu ketika ditemui Roketkini di perkarangan mahkamah, sejurus selepas keputusan kes Fitnah 2 dibacakan.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah turut mengenepikan permohonan pihak pembela yang meminta hukuman lebih ringan berbanding yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum ini dan pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu supaya hukuman ditambah.

Ketika ditanya sama ada masa depan Pakatan Rakyat akan terjejas, Guan Eng berkata ia bergantung kepada kecekalan pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat sendiri.

“Pakatan Rakyat takkan hilang karisma. Walaupun Anwar di dalam penjara, ujian itu juga adalah kepada kita.” ujarnya.

Dalam pada itu kata Guan Eng, beliau yakin Anwar akan terus memainkan peranannya sebagai pemimpin Pakatan Rakyat, meskipun dari dalam penjara.

“Datuk Seri Anwar akan berjuang dari dalam. Maka, kita perlu meneruskan (di luar), agar perjuangannya lebih bermakna,” tambah Guan Eng sambil menegaskan hukuman penjara ke atas Anwar bukanlah penamat perjuangan.

“Kebenaran akan terbukti. Hanya masa yang akan menentukan,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com

ANWAR BERSALAH, BAKAL DIPENJARA

OLEH THE MALAYSIAN INSIDER

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah oleh mahkamah tertinggi Malaysia hari ini – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, Februari 10, 2015.Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui gabungan yang mendapat 52% undi popular buat pertama kalinya pada pilihan raya tahun 2013, disabitkan bersalah oleh mahkamah tertinggi Malaysia hari ini.

Sebaik keputusan selesai dibacakan, Anwar memeluk isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kemudian menoleh kepada anak lelakinya yang dilihat menganggukkan kepalanya mendengar apa yang diperkatakan bapanya. Anwar kemudiannya mencium cucu-cucunya.
"Ingat apa Tok beritahu, kamu mesti pergi sekolah," kata Anwar kepada cucunya, bibirnya bergetar. Anwar juga memeluk anak-anak perempuannya yang kesemuanya mengalirkan air mata.

Anwar terus meyakinkan keluarganya dan pemimpin Pakatan Rakyat lain yang memeluknya, mengatakan beliau dalam keadaan baik.

Beliau kedengaran memberitahu salah seorang dari mereka, "Saya dah jangka keputusan akan buruk." Ramai penyokongnya kelihatan menangis di dalam mahkamah.

Penaung Negara-ku, Datuk Ambiga Sreenevasan dilihat memujuk Dr Wan Azizah sementara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi Anwar pelukan tanda sokongan.

Mahkamah ditanggung selama sejam berikutan permohonan ketua peguam bela Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Suasana di luar mahkamah juga suram sambil ramai yang cuba menahan air mata.

Exco negeri Selangor, Elizabeth Wong, kedengaran berpesan kepada penyokong lain, "Pergilah jumpa bos."

Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria, dalam menegakkan keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas dan menolak rayuan sabitan berkata, terdapat bukti kukuh Anwar meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Timbalan pendakwa raya Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah akan mengemukakan supaya hukuman penjara 5 tahun atas Anwar, yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan, ditingkatkan.

Perjuangan undang-undang bekas timbalan perdana menteri itu dalam kes liwat II ini bermula 7 Ogos 2008 apabila beliau didakwa melakukan hubungan jenis luar tabii ke atas Saiful di sebuah pangsapuri di Damansara.

Mahkamah Tinggi pada Januari 2012, membebaskan Anwar, tetapi keputusan ini ditolak Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas.

Kes liwat pertama terhadap Anwar pada 1998, selepas beliau dipecat dari kerajaan.

Beliau pada masa itu dituduh meliwat Azizan Abdul Razak, bekas pemandu isterinya, tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 2-1 majoriti hakim pada 2004. – 10 Februari, 2015.

TERKINI: Keputusan Rayuan Kes Liwat II

Keputusan rayuan terakhir bagi kes Liwat II membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PUTRAJAYA, 10 Februari:

Keputusan rayuan terakhir bagi perbicaraan kes Liwat II membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung hari ini.

Anwar berdepan tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan hari ini menjadi hari penentu keputusannya tentang rayuan terakhir untuk Anwar mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya bagi pertuduhan itu.

Ikuti perkembangan terkini keputusan rayuan secara langsung dari Istana Kehakiman, Putrajaya:
8.20 pagi:

Bilik bicara Mahkamah Persekutuan mula dibuka untuk pemengang pas khas.
8.00 pagi:

Peguam mula tiba di Mahkamah Persekutuan.
7.30 pagi:

Media, orang ramai mula beratur untuk dapatkan pas masuk ke bilik bicara Mahkamah Persekutuan. Pas khas hanya untuk anggota keluarga, MP, pemerhati, media – pegawai mahkamah.
6.45 pagi

Hampir 100 orang terdiri daripada anggota polis, media dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berada di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya pagi ini bagi mengikuti keputusan rayuan kes liwat ketua pembangkang itu.
6.30 pagi:

Peguam Muhd Saiful Bukhari Azlan, Zamri Idrus tiba di perkarangan Istana Kehakiman.
6.20 pagi:

Orang ramai, media, polis mula penuhi perkarangan Istana Kehakiman.
6.00 pagi:

Pasukan keselamatan terdiri daripda anggota polis juga sudah mula berkawal di luar Istana 
Kehakiman bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.Foto: TRP/Qurnisha Hamka

Walau dipenjara, saya akan terus lawan kerajaan zalim -- Anwar Ibrahim

PETALING JAYA, 9 FEB: Walaupun menghadapi risiko dipenjarakan, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yakin perjuangan Pakatan Rakyat akan terus menyala tanpanya.

“Pilihan untuk saya duduk diam ada, tapi saya tidak pilih itu. Saya tidak bersalah, saya akan terus lawan,” tegas Anwar.

Difahamkan Anwar Ibrahim telah mendapat tawaran Turki dan United Kingdom untuk tinggal di sana bagi mengelak dirinya dipenjarakan oleh institusi yang disifatkan negara itu mempunyai campur tangan kerajaan.

“Mereka pujuk saya, tahukah anda kenapa?

“Ini kerana mereka tahu institusi kita ada masalah,” beritahu Anwar.

Dalam ucapannya Anwar berkata, Malaysia sedang menghadapi masalah perkauman dan ketegangan agama yang meruncing di bawah pemerintahan setengah abad Barisan Nasional.

“Adakah kita mahu Malaysia ada Taliban, ISIS dan Boko Haram yang guna agama untuk laksana kezaliman?

“Hanya dengan keharmonian agama dan kaum saja dapat selamatkan Malaysia, semua agama (bertanggungjawab) selamatkan Malaysia dari korupsi UMNO,” ujar beliau sambil dipersetujui hadirin.

Justeru itu, Anwar berkata menjadi komitmen seluruh rakyat untuk ubah sistem bobrok di bawah UMNO.

“Kalau harga perjuangan ini adalah penjara, saya bersedia dipenjarakan.

“Ini sebenarnya hanya sedikit saja pengorbanan yang saya lakukan.

“Tidak ada apa yang dapat halang saya walau kerajaan guna institusi untuk penjara saya dan pimpinan pembangkang yang lain.

“Saya sanggup terima apa saja untuk sebuah kebebasan,” katanya penuh semangat. – Roketkini.com
 

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-