Showing posts with label kertas putih. Show all posts
Showing posts with label kertas putih. Show all posts

Monday, October 14, 2019

PAS gesa k'jaan bentang Kertas Putih isu LTTE di Parlimen

News | Diterbitkan Hari ini 11:45 malam


PAS menggesa kerajaan membentangkan Kertas Putih mengenai Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia, susulan penangkapan beberapa individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan itu.

Antara yang ditahan termasuk dua adun DAP, iaitu G Saminathan dan P Gunasekaren.

"PAS memandang serius insiden penangkapan beberapa individu berprofil tinggi yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyokong fahaman pelampau LTTE di Malaysia, seperti diumumkan polis.

"Memandangkan kes ini satu perkara berkepentingan awam, PAS mendesak kerajaan membentangkan Kertas Putih di Parlimen mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan pihak yang disyaki terlibat dengan LTTE di Malaysia, yang turut dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik tempatan," kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa polis diberi kebebasan untuk menyisat dan mengambil tindakan undang-undang yang sepatutnya dalam menangani perkara itu, tanpa gangguan mana-mana pihak.

Pada 10 Oktober lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata polis telah memaklumkan tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan terlibat dengan LTTE.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan beberapa menteri daripada DAP menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) - yang membenarkan penahanan tanpa bicara - ke atas pemimpinnya yang ditahan berkaitan hal itu.

Bagaimanapun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu kabinet agar menyerahkan siasatan kepada polis.

Untuk rekod, antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) adalah memansuhkan Sosma dan sejumlah akta lain yang dikatakan menindas.

Monday, October 15, 2018

'Bentang kertas putih kewangan negara sebelum Belanjawan'

Diterbitkan 15 Okt 2018, 9:50 pagi 


PAS menggesa Kementerian Kewangan membentangkan kertas putih di Parlimen berkenaan kedudukan sebenar kewangan kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2019 yang dijadual 2 November ini.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata ia berikutan percanggahan dalam kenyataan beberapa pemimpin kerajaan berhubung perkara itu.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bahawa hutang negara melebihi jumlah RM1 trilion seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini.

Menurut laporan Utusan 13 Oktober lalu, kerajaan tidak menyatakan kedudukan sebenar kerana bimbang Malaysia akan menjadi muflis seperti Greece.

Nasrudin menyifatkan kenyataan Mohamad itu sebagai amat serius kerana bertentangan dengan jawapan bertulis Lim di Parlimen pada 24 Julai lalu bahawa hutang kerajaan persekutuan setakat 31 Disember 2017 adalah berjumlah RM686.8 bilion.

"Jawapan itu selaras dengan laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia.

"Jika nilai sebenar hutang kerajaan persekutuan tidak benar dengan merujuk kenyataan Menteri Pertahanan, maka semua angka yang dilaporkan dalam penyata kewangan kerajaan dan jawapan menteri kewangan adalah palsu.

"Bagi menangani kecelaruan ini, Lim perlu mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan pemimpin negara dimanipulasi. Perkara ini boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara," katanya lagi.

Untuk rekod, Lim sebelum ini pernah menjelaskan bahawa angka RM686.8 bilion adalah hutang rasmi kerajaan persekutuan.

Dalam penjelasan itu, Lim berkata kerajaan juga memberi jaminan kepada pelbagai entiti dengan jumlah RM199.1 bilion dan pajakan untuk projek awam berjumlah RM201.4 bilion.

Jumlah ketiga-tiga tanggungan tersebut adalah RM1.087 trilion - seperti yang diumumkannya.

Sementara itu, Nasrudin juga mengulang gesaan agar Lim menjelaskan dakwaannya tentang penyusutan akaun hasil disatukan sebanyak 96 peratus - daripada RM11.86 bilion pada akhir 2017 kepada RM450 juta pada 30 April 2018.

"Penyusutan mendadak itu perlu diperincikan agar rakyat tahu apakah perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-