Showing posts with label Kementerian Kewangan. Show all posts
Showing posts with label Kementerian Kewangan. Show all posts

Tuesday, September 3, 2024

‘Belanja tak terkawal’, kerajaan tubuh sekretariat pantau pertindihan fungsi

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-03 Sep 2024, 10:18 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sekretariat di bawah Kementerian Kewangan itu mendapat ‘restu’ daripada Jemaah Menteri dan akan bertugas serta-merta.
Anwar Ibrahim turut menggesa ketua-ketua jabatan serta penjawat awam keseluruhannya berjimat cermat dalam menggunakan dana kerajaan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan dana negara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata sekretariat di bawah Kementerian Kewangan (MoF) itu mendapat ‘restu’ daripada Jemaah Menteri dan akan bertugas serta-merta dalam usaha kerajaan melaksanakan reformasi besar-besaran perkhidmatan awam.

“Saya sudah putuskan baru-baru ini untuk Kementerian Kewangan, yang direstui kerajaan keseluruhannya membentuk jawatankuasa dua hala, jawatankuasa mengemaskini rasionalisasi badan berkanun.

Badan berkanun itu terlalu banyak dan bertindih (fungsi), dan sukar untuk dirasionalisasi maknanya nak dikurangkan dan diperkemaskan… keterlanjuran dan banyak belanja tak terkawal, katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan.

Beliau turut menggesa ketua-ketua jabatan serta penjawat awam keseluruhannya berjimat cermat dalam menggunakan dana kerajaan.

Kalau lantik pengerusi baru, kereta apa, pejabat diubah… saya kata tak payah tukar, tak payah pinda tapi kadang-kadang kita lupa ini amanah, jadi saya nak semangat merdeka ini dimaknai oleh semua.

Semalam, Anwar membayangkan reformasi besar-besaran membabitkan agensi dan jabatan kerajaan akan dilaksanakan bulan ini.

Langkah itu, menurutnya, diambil selepas reformasi penggabungan agensi dan jabatan masih di peringkat tidak memuaskan.

Friday, October 1, 2021

Dulu desak haramkan Dong Zong, kini Ismail sumbang RM15 juta

malaysiamerdeka.com
October 1, 2021 1:40 pm


Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.

Tan memberitahu Malaysiakini bahawa sekolah-sekolah swasta Cina baru-baru ini telah mula mendapat dana daripada kerajaan.

“Pada 23 September, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa peruntukan RM15 juta akan disediakan untuk 63 sekolah persendirian Cina,” kata Tan.

Dia menjangkakan peruntukan itu tepat pada masanya kerana sekolah-sekolah persendirian mengalami ketidakstabilan keadaan kewangan akibat pandemik Covid-19.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden MCA Wee Ka Siong dan Mah, yang juga timbalan presiden MCA, atas bantuan mereka dalam memperjuangkan peruntukan tersebut.

Wee adalah menteri pengangkutan di bawah pentadbiran kerajaan terkini, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Tan berkata, Wee menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk memohon dana khas untuk sekolah persendirian Cina pada 29 Januari 2021.

“Pada 19 April, Kementerian Kewangan membalas surat tersebut untuk memberitahu bahawa dana khas itu telah diluluskan.

“Pada 15 September, Wee dan Mah mengadakan pertemuan dengan Dong Zong untuk memberitahu kami bahawa dana tersebut akan disalurkan kepada sekolah-sekolah tersebut secepat mungkin,” kata Tan.

25 peratus belum membayar yuran pengajian

Tan menambah bahawa Dong Zong telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan, yang menjelaskan keadaan kewangan dan kesukaran pelajar semasa pandemik Covid-19.

“Sejak setahun lalu, sekolah-sekolah persendirian Cina berdepan dengan situasi yang mencabar akibat wabak tersebut. Sesetengah ibu bapa mereka kehilangan pekerjaan dan lebih daripada 25 peratus pelajar belum membayar yuran pengajian mereka.

“Sekolah-sekolah itu terpaksa mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar, bahkan ada yang menggunakan wang simpanan mereka untuk bantu pelajar yang terjejas,” katanya.

Oleh itu, Tan berharap kerajaan akan terus memperuntukkan dana untuk sekolah persendirian Cina dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen November.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming berkata DAP dan Pakatan Harapan yang memperjuangkan peruntukan untuk sekolah-sekolah persendirian Cina.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Nga berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan PH telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melibatkan kerajaan agar peruntukan itu dapat disalurkan.

“Setelah pelbagai usaha, Kementerian Kewangan akhirnya bersetuju untuk meluluskan peruntukan tersebut. Peruntukan RM15 juta itu akan disalurkan dengan segera,” kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu.

Dia menambah PH akan terus meyakinkan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan lain untuk sekolah rendah dan menengah Cina dan peruntukan RM6 juta untuk kolej swasta dalam Belanjawan 2022 yang akan datang.

Peruntukan disusun oleh Perikatan Nasional

Ketika dihubungi, Pejabat Menteri Kewangan meminta Malaysiakini mendapatkan penjelasan daripada Wee; sementara pejabat Lim pula enggan memberikan sebarang komen.

Malaysiakini kini sedang menunggu ulasan daripada Wee.

Malaysiakini juga melihat surat rasmi dari Kementerian Kewangan ke sekolah persendirian Cina, yang menyatakan bahawa kementerian telah meluluskan dana untuk sekolah berkenaan.

Tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional telah menghentikan dana untuk sekolah persendirian Cina dan tiga kolej swasta, iaitu Southern University College, New Era University College dan Han Chiang University College of Communication.

Di bawah pentadbiran PH, untuk pertama kalinya kerajaan persekutuan memperuntukkan RM12 juta untuk sekolah persendirian Cina dalam Belanjawan 2019, dan jumlahnya meningkat kepada RM15 juta pada tahun 2020. Ketiga-tiga kolej universiti swasta itu juga masing-masing menerima RM2 juta untuk dua tahun berturut-turut.

Wednesday, December 16, 2020

Belanjawan 2020 lulus: Kemenangan untuk rakyat

sarawakvoice.com
@news
-December 16, 2020


SETINGGI-tinggi penghargaan kepada 111 Ahli Parlimen PN, BN, GPS dan PBS yang telah menyokong Belanjawan 2021 di setiap peringkat dan sepanjang perjalanannya di Dewan Rakyat. Kelulusan Belanjawan 2021 adalah kemenangan bukan sahaja bagi Kerajaan Perikatan Nasional, tetapi lebih-lebih lagi bagi rakyat, perniagaan dan ekonomi negara, terutamanya dengan wabak COVID-19 yang masih di sekeliling kita.

Tidak dilupakan juga, sumbangan warga Kementerian Kewangan, agensi-agensi MOF dan juga agensi-agensi kerajaan lain, yang telah memberi komitmen sepenuhnya, tanpa mengenal penat lelah, serta mengambil kira lebih 6,600 cadangan merentasi kesemua negeri di Malaysia, bagi merangka Belanjawan 2021 yang komprehensif. Ini di samping kesemua usaha menyediakan dan melaksanakan tidak kurang daripada 4 pakej rangsangan ekonomi sejak bulan Mac, demi rakyat, perniagaan dan ekonomi negara tercinta. Sememangnya tahun 2020 bukanlah tahun yang biasa, dan anda semua sememangnya luar biasa.

Terima kasih juga diucapkan kepada YAB Perdana Menteri atas sokongan dan keyakinan beliau yang tidak berbelah bahagi, kepada saya dan juga warga Kementerian Kewangan dalam memikul amanah merangka, membentang, menambah baik serta mempertahan Belanjawan 2021. Terima kasih kerana sentiasa mendengar pandangan dan cadangan kami serta memberi nasihat dan panduan secara berterusan.

Saya, Timbalan-timbalan Menteri Kewangan I dan 2, serta warga Kementerian bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam perjalanan ini iaitu: Melaksanakan Belanjawan 2021 dengan cepat dan tepat, serta penuh dedikasi dan amanah.

Saya mendoakan agar Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara dan mencapai matlamat yang dihasratkan. Moga kesemua rakyat dapat dibantu, perniagaan dapat diperkasa, dan ekonomi dapat diperkukuh. Moga wabak COVID-19 dijauhkan, dan kesihatan didekati. Walau apa-apa pun cabaran yang mungkin berbangkit (dan sememangnya akan ada kekangan, ujian serta halangan), namun didoakan kita semua dikurniakan kecekalan, ketahanan dan kesabaran. Moga niat ikhlas kita diberkati, usaha dan amanah kita dirahmati.

A heartfelt thank you to all 111 Parliamentarians from PN, BN, GPN and PBS who supported the Budget 2021 at each level and along its journey in the Dewan Rakyat (House of Representatives). The passing of Budget 2021 is a victory not just for the PN Government, but more importantly that of the rakyat, businesses and the nation’s economy, especially in facing the lingering COVID-19 threat.

Not forgetting, the contribution of my MOF colleagues, as well as colleagues from MOF agencies and other Government entities, who have risen beyond the call of duty and overcome fatigue, in considering over 6,600 proposals from all across the country, to formulate a comprehensive Budget. This is besides the 4 economic stimulus packages announced since March which you have duly prepared and implemented for the sake of the people, businesses and economy. 2020 has been a year unlike no other, and all of you have been extraordinary.

I would also like to convey our gratitude to YAB Prime Minister for his unwavering support and confidence in me and MOF as a whole in formulating, tabling, improving and defending Budget 2021. Thank you for always hearing out our views and suggestions as well as giving us continuous advice and guidance.

My deputies, MOF colleagues and I, are prepared for the next stage of the Budget 2021 journey, namely, to ensure swift and effective execution of the initiatives, plans and programmes under it.

I pray that Budget 2021 will continue the nation’s economic recovery trajectory and achieve the goals envisioned. May all rakyat receive the support needed, businesses be empowered, and the economy strengthened. May we be safe from COVID-19 and blessed with good health. And regardless of the challenges that may arise (and we are braced for such challenges, tests, and obstacles ahead), I pray that we are granted with tenacity, resilience and patience. May our good intentions and efforts be blessed.

YB SENATOR DATUK SRI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ ialah Menteri Kewangan Malaysia.

Thursday, November 26, 2020

Dewan Rakyat: Undi Belanjawan 2021 dijadual hari ini

Bernama
-November 26, 2020 8:08 AM
Dewan Rakyat hari ini dijadual membuat undian Belanjawan 2021 selepas baki 9 menteri selesai membuat penggulungan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pengundian untuk meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar yang dijadual selepas penggulungan oleh Kementerian Kewangan menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sekiranya masa mengizinkan, undian Rang Undang-undang Perbekalan 2021 akan dijalankan sejurus selepas baki 9 menteri membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing yang dijadual selesai hari ini.

Belanjawan 2021 merupakan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada Mac lepas.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan berkenaan untuk perbelanjaan negara tahun depan.

Selain itu, menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu kawalan sempadan antarabangsa antara yang dijangka dijawab dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri susulan insiden serangan terhadap 2 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa.

Insiden itu yang mengorbankan Baharuddin Ramli, 54, manakala Norihan a/l Tari, 39, cedera parah, akan turut diperincikan pada sesi tersebut.

Isu salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan perkembangan mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 turut bakal disentuh oleh ahli-ahli Parlimen hari ini.

Wednesday, November 4, 2020

Cadangan laksana semula GST perlu diteliti secara mendalam

Bernama
-November 4, 2020 6:51 PM
(Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu meneliti secara mendalam sebarang langkah untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau pelaksanaan cukai lain termasuk kesannya terhadap ekonomi, kos sara hidup rakyat serta menangani kegiatan ekonomi gelap, kata Muhyiddin Yassin.

Menurut perdana menteri, aspek itu perlu diambil kira walaupun kerajaan mengambil maklum terhadap cadangan pelbagai pihak termasuk industri, ahli akademik dan orang ramai agar GST diperkenalkan semula bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau menegaskan, sebarang bentuk cukai kepenggunaan baharu yang diperkenalkan juga perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan.

“Saya faham ada pihak berpendapat GST sistem pencukaian yang lebih efisien dan kutipannya lebih besar daripada SST.

“Namun begitu kita perlu perhalusinya dan MoF (Kementerian Kewangan) juga menelitinya tetapi belum mencapai satu keputusan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama dan stesen televisyen tempatan lain hari ini, menjelang pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada 6 Nov.

Malah, kata perdana menteri, sebarang keputusan mengenainya yang dicapai akan diumumkan kelak.

Muhyiddin berkata, kesesuaian pelaksanaan semula GST atau model cukai penggunaan lain juga perlu mengambil kira aspek kelebihan dan kelemahan SST serta kekurangan GST yang pernah diperkenalkan pada 2014.

Pada masa sama, menjadi kelaziman untuk kerajaan mengkaji keberkesanan sistem cukai kepenggunaan satu peringkat ketika ini iaitu SST berbanding rejim cukai diamalkan kebanyakan negara lain seperti dalam bentuk cukai kepenggunaan nilai tambah, kata beliau.

Wednesday, May 20, 2020

MP Tasek Gelugor dilantik jadi pengerusi Felcra


Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya telah dilantik sebagai pengerusi baru Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Felcra Bhd dimiliki oleh Kementerian Kewangan dan mengurus sektor perladangan.

"Pelantikan Shabudin dialu-alukan seluruh warga Felcra dan para peserta.

"Kami penuh harapan agar ketokohan, keupayaan dan pengalaman luas Shabudin, serta kemampuan beliau untuk menjiwai keperluan rakyat akan menganjakkan usaha Felcra ke tahap lebih tinggi, dalam merealisasikan visi dan misi syarikat,

seiring dengan aspirasi serta mandat membangunkan sosioekonomi peserta ke tahap terbaik," kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Mohd Nazrul Izam Mansor.

Shabudin, 54, adalah bekas hakim mahkamah syariah sebelum menyertai politik.

Dia memenangi kerusi Tasek Gelugor pada tahun 2013 dengan tiket Umno dan mengekalkan kerusi itu dengan hanya 35.73 peratus undi pada 2018.

Shabudin kemudian meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada Februari 2019 bersama-sama ahli parlimen lain - Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah), Hamzah Zainuddin (Larut), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Pelantikan Shabudin ke Felcra bermakna 30 daripada 32 anggota parlimen Bersatu kini berada sama ada di kabinet, dilantik sebagai timbalan menteri atau dilantik ke agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau dewan yang berkaitan dengan kerajaan.

Dua anggota parlimen Bersatu lain yang tidak memegang dua jawatan kedua melibatkan entiti berkaitan kerajaan persekutuan adalah Yamani Hafez Musa (Sipitang) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Wednesday, April 1, 2020

Muhyiddin pengerusi baru lembaga pengarah Khazanah

FMT Reporters
-April 1, 2020 7:40 PM

Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan pelantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad sebagai pengerusi.

Menteri Kewangan Zafrul Tengku Abdul Aziz juga dilantik ke lembaga itu sebagai ahli.

“Pelantikan ini berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohammed Azlan Hashim, salah seorang daripada 9 ahli lembaga pengarah yang meletakkan jawatan pada Julai 2018 dilantik sebagai ahli.

Peletakan jawatan Azlan dan 8 lain beberapa minggu selepas perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengkritik Khazanah yang didakwa menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya, iaitu untuk membantu Bumiputera.

Tuesday, March 17, 2020

4 tokoh perniagaan dilantik anggotai Majlis Tindakan Ekonomi

FMT Reporters
-March 16, 2020 10:14 PM
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Empat tokoh perniagaan dilantik menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang akan bekerja bagi menangani masalah ekonomi diakibatkan oleh penularan wabak Covid-19 dan kejatuhan harga minyak.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jawatankuasa induk majlis tersebut yang turut dianggotai 3 menteri, gabenor Bank Negara Malaysia dan tokoh perniagaan.

Menteri terbabit termasuk menteri kanan Mohamed Azmin Ali (perdagangan antarabangsa dan industri); Tengku Zafrul Aziz (kewangan); Mustapa Mohamed (hal ehawal ekonomi), selain gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Jawatankuasa itu turut dianggotai pemilik organisasi media Tong Kooi Ong (The Edge Media Group); Jeffrey Cheah (pengasas Sunway Group); G Gnanalingam (pengerusi eksekutif Westports); Jamaluddin Ibrahim (pengerusi Celcom Axia) dan Dr Jemilah Mahmood (pengasas Mercy Malaysia).

Pengerusi eksekutif EAC ialah Noor Azlan Ghazali, seorang pakar ekonomi dan bekas naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau mengetuai sekretariat bersama yang dibentuk oleh Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, majlis akan bertemu secara mingguan bagi membincangkan isu dan meneroka penyelesaian. Ia akan dibantu satu jawatankuasa teknikal yang akan menyediakan laporan harian mengenai ekonomi global dan tempatan.

Jawatankuasa itu terdiri daripada wakil daripada Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Bank Negara dan Jabatan Perangkaan.

Beberapa kumpulan kerja juga dibentuk bagi memantau sektor utama seperti pelancongan, pasaran tenaga buruh, industri kecil dan sederhana dan industri runcit dan makanan.

Setiap kumpulan kerja akan dipimpin bersama oleh kerajaan dan sektor swasta, kata Muhyiddin.

Beliau berkata, ia akan mula bekerja bulan depan berkait sejumlah projek kecil bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi 2020 bulan lepas.

Kemajuannya akan dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, dengan laporan mingguan dikemukakan kepada perdana menteri.

Projek terbabit akan memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan bakal dilaksanakan oleh kontraktor kecil Bumiputera.

Kerajaan akan meneruskan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020, termasuk Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Projek Aliran Transit Massa 2 (MRT 2) dan Rancangan Fiberisasi dan Sambungan Nasional.

“EAC akan dibantu oleh pegawai di peringkat jawatankuasa, satu jawatankuasa teknikal dan beberapa kumpulan kerja. Perdana menteri akan mempengerusikan jawatankuasa tertinggi,” kata Muhyiddin.

Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri akan membentuk sekretariat bersama EAC bagi menyelaras perbincangan dan memantau keputusan yang dibuat oleh majlis.

Wednesday, March 4, 2020

Pengakuan bekas pegawai Maszlee buktikan DAP memang bahaya

Menteri Melayu dalam PH tiada kuasa, senang diperkotak-katik


BANGI, 8 Rejab 1441H, Selasa – Pendedahan bekas pegawai Dr Maszlee Malik, ZF Zamir bahawa Kementerian Kewangan (MOF) mengawal segala keputusan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah gambaran jelas bahawa parti tamak haloba DAP mendominasi Pakatan Harapan (PH).

Tidak hairan dengan perkara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya sudah lama memberi amaran mengenai bahaya parti rasis dan cauvinis berkenaan.

“Pendedahan ini membuktikan bahawa DAP sememangnya rasis dan kiasu, yang sememangnya tidak dikawal.

“Berlemah-lembut dan berlemah-longlai dengan mereka ini sememangnya tidak akan berkesan kerana mereka memang sudah ‘keras’ dan ‘tegar’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, penulis ZF Zamir yang juga bekas pegawai Maszlee dalam satu tulisan di portal The Malaysian Insight mendedahkan, satu insiden berlaku dalam sebuah mesyuarat membabitkan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Maszlee.

Bersama-sama di dalam bilik mesyuarat adalah pegawai tertinggi kedua-dua kementerian termasuk ketua setiausaha KPM dan MOF.

Dalam tulisannya juga, ZF Zamir berkata, mesyuarat itu terpaksa dilakukan setelah pelbagai usaha KPM untuk meneruskan bajet Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) dan Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Keselamatan (KBK) seperti tahun-tahun sebelumnya menemui jalan buntu.

Katanya, MOF telah menetapkan mahu mengurangkan bajet PKK sebanyak RM50.7 juta dan bajet BKK sebanyak RM427.3 juta untuk 2019 berbanding bajet yang diterima secara normal pada 2018 sebelumnya atau pengurangan RM478 juta keseluruhannya.

“Ini menyebabkan hampir 1,382 syarikat terjejas berbanding jumlah keseluruhan 1,953 kontrak yang dikeluarkan. Lebih menyedihkan, keputusan ini akan menyebabkan seramai 10,406 pekerjaan dikurangkan dalam dua fasa.

“Dalam dua mesyuarat bersama-sama Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) pada 31 Januari 2019 dan 27 Mac 2019 yang dibawa oleh saudara Arul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Maszlee telah berjanji bahawa apa juga keputusan kerajaan tidak akan memberi kesan kepada pekerja kontrak di sekolah kerana mereka kebanyakannya adalah warga B40 yang bergantung hidup kepada gaji sekecil RM900 sehingga RM1500 sahaja.

“Malangnya di dalam mesyuarat tersebut, permintaan KPM untuk mendapatkan jumlah bajet seperti yang diminta ditolak mentahmentah. Diceritakan komen sinis salah seorang ahli mesyuarat: “Jaga sekolah ni tak perlulah ramai-ramai. Sekolah-sekolah kampung carilah ‘volunteer’ (sukarelawan), mak bapa yang tak ada kerja tu boleh volunteer, “ katanya.

Bukan itu sahaja, ZF Zamir turut mendedahkan bahawa pekerja kontrak keselamatan dan kebersihan yang terlibat dalam program penjimatan mereka terus ditamatkan dalam dua fasa seperti dirancang.

“Kami di KPM setiap hari menerima panggilan, WhatsApp, mesej dan emel tentang perkara ini namun tidak mampu melakukan apa-apa kerana bajet yang diminta tidak diluluskan MOF.

“Malah liputan turut disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. Rakyat pada amnya melihat yang jahat adalah Dr Maszlee dan KPM, tanpa mengetahui punca sebenar mengapa sehingga 10,000 pekerja diberhentikan, atau seperti dilaporkan Utusan, 27,000 orang terjejas.

“Beberapa agensi di bawah KPM seperti Institut Terjemahan Buku Negara (ITMB) diarahkan tutup dalam masa yang kadangkala tidak masuk akal, ada di antaranya diarahkan tutup dalam masa 3 bulan,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, pendedahan ZF Zamir itu juga bukti kepada rakyat untuk menilai sama ada Menteri Pendidikan ketika itu, Maszlee atau Timbalannya, Teo Nie Ching yang berkuasa.

Melalui pendedahan ini , Haji Aminuddin berkata, ia juga membuktikan bahawa walaupun memegang jawatan tertinggi dalam KPM, menteri Melayu dalam pentadbiran PH tidak berkuasa dan senang diperkotak-katikkan oleh pihak lain.

“Pendedahan ini sekali gus membuktikan jika Pakatan Harapan terus memerintah, pelajar-pelajar sekolah terutamanya orang-orang kampung akan terus jadi mangsa,” katanya.

Wednesday, February 19, 2020

MOF sedia runding jika TH mahu ambil semula 4 hotel dipindah milik

Mohamad Fadli
-February 19, 2020 2:45 PM

Amiruddin Hamzah (3 dari kanan) melancarkan Pusat Islam Pertama untuk Teknologi Baru (ICET) di Kota Damansara, Selangor hari ini.

KOTA DAMANSARA: Kementerian Kewangan sedia berunding dengan Lembaga Tabung Haji (TH) jika ia berhasrat mengambil alih semula 4 rangkaian hotelnya yang dipindah milik kepada anak syarikat kementerian itu, Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata, rundingan itu hanya boleh dibuat selepas pelan pemulihan dan penstrukturan semula selesai.

“Bila hotel dapat dijalankan dengan baik nanti, kita akan beri TH untuk (pertimbang) sama ada dia nak balik ke tidak masa itu.

“Kalau waktu itu TH kata kami rindulah, nak balik semula dengan anak dia semula. Ya, kita boleh berunding,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Islam Pertama untuk Teknologi Baru (ICET) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengambilalihan TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) hanya bersifat sementara.

Semalam, TH mengumumkan operasi 4 rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada UJPM mulai April ini yang merupakan sebahagian pelan pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu.

Empat hotel THHR itu ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Semalam, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan TH memindahkan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel THHR kepada anak syarikat Kementerian Kewangan kerana hartanah itu tidak memberi keuntungan kepada agensi berkenaan.

Hari ini, Amiruddin membidas pihak mengkritik tindakan TH itu kerana cuba menimbulkan perasaan negatif.

“Ada orang di luar sana tak ada kerja lain. Padahal tahu kenapa ini berlaku kerana TH terpaksa memindahkan aset-aset yang tidak beri keuntungan baik kepada mereka.

“Dimaklumkan tidak ada pekerja diberhentikan, hanya bertukar majikan dan sebahagiannya dipindahkan ke TH Kelana Jaya.”

Sementara itu, Amiruddin berharap negara akan terus menerajui bidang kewangan Islam dan menjadi sebagai hab global kewangan Islam dengan adanya ICET.

Beliau berkata, ICET akan menjalankan program penyelidikan dan pembangunan teknologi serta latihan untuk pembiayaan serta transaksi kewangan berlandaskan syariah.

“ICET sejajar usaha Mahathir meningkatkan usaha penyerapan Revolusi Industri 4.0 supaya dapat menyumbang ke arah peningkatan produktiviti, pengasahan bakat berkemahiran tinggi dan usaha penciptaan baru.

“Ini untuk menjadikan Malaysia destinasi utama pembuatan pintar,” katanya.

Friday, February 15, 2019

Polis tidak patut terima tajaan syarikat luar, kata bekas KPN

Khairil Ashraf
-February 15, 2019 7:06 AM

Bekas ketua polis negara Musa Hassan berkata, tajaan yang diterima adalah salah dari segi undang-undang kerana pihak yang menaja mempunyai kepentingan.
 (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:  Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata pihak polis seharusnya tidak lagi menerima tajaan daripada syarikat luar pada masa-masa akan datang.

Bekas ketua polis negara itu berkata sebagai respons terhadap insiden sebuah syarikat perjudian, Da Ma Cai menaja rombongan lawatan kerja diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki baru-baru ini.

Musa berkata, sekiranya polis menerima tawaran tajaan seperti itu pada masa-masa akan datang, ia mesti menolaknya.

“Kalau diikutkan, tajaan yang diterima itu salah dari segi undang-undang kerana pihak yang menaja ini mempunyai kepentingan. Ia syarikat judi.

“(Bagaimanapun) lawatan sambil belajar itu diluluskan oleh pihak kerajaan apabila menteri dalam negeri meluluskan pegawai berkenaan menjalani lawatan sambil belajar tersebut,” katanya ketika dihubungi FMT.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, syarikat perjudian, Da Ma Cai menaja rombongan lawatan kerja diketuai ketua polis negara ke Turki.

Lim berkata, kementeriannya tidak menanggung kos lawatan kerja itu, walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia ditaja Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Delegasi itu dilaporkan ke Turki untuk mempelajari teknik membanteras perjudian dalam talian.

Selain itu, Musa menambah, wujud kepentingan dalam isu ini kerana syarikat yang menaja lawatan berkenaan mempunyai kaitan dengan perjudian yang lesennya diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Manakala kawalan aktiviti judi pula dikuatkuasakan oleh pihak polis. Oleh itu adalah tidak wajar pihak polis menerima tajaan ini,” katanya.

Musa, yang merupakan ketua polis negara dari 2006 ke 2010 itu berkata, sebelum ini pasukan polis tidak pernah ditaja oleh syarikat luar awam bagi mengikuti kursus lawatan belajar.

“Dulu tak pernah jadi macam itu…dulu kerajaan tak benarkan syarikat swasta menaja pegawai polis untuk lawatan (belajar),” katanya.

Musa yang bersara sebagai ketua polis negara pada September 2010 menambah, masyarakat akan menganggap tajaan terbabit sebagai perbuatan rasuah.

Bagi mengelakkan tanggapan negatif seperti ini ditimbulkan pada masa akan datang, Musa berkata, setiap tajaan pihak swasta seharusnya diteliti dan mendapat kelulusan daripada kerajaan terlebih dahulu.

“Ini supaya jabatan dan pegawai kerajaan bebas daripada salah laku atau anggapan buruk oleh masyarakat” katanya.

Saturday, December 15, 2018

Hampir 20,000 tandatangan petisyen bantah Tabung Haji bawah Kementerian Kewangan

adminweb 15/12/2018

Agenda letak TH bawah BNM ibarat halalkan pengawalan Lim Guan Eng


KUALA LUMPUR, 7 Rabiulakhir 1440H, Sabtu Satu petisyen yang membantah tindakan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Kementerian Kewangan, telah berjaya mengumpul hampir 20,000 tandatangan.

Petisyen itu, “Petisyen Membantah Lembaga Tabung Haji (TH) Di Bawah Lim Guan Eng dan Kementerian Kewangan”, yang dikelolakan Esmee Mat Isa dalam laman change.org, turut membantah Tabung Haji diletakkan di bawah pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut Esmee, agenda meletakkan Tabung Haji di bawah kawal selia BNM ini seumpama menghalalkan matlamat pihak tertentu untuk meletakkan Tabung Haji di bawah pengawalan Lim Guan Eng sepenuhnya.

“Ayuh kita selamatkan aset umat Islam daripada jatuh ke tangan bukan Islam. Insya-Allah, jika berjaya mendapat sokongan umat Islam, kita akan usahakan satu memorandum di serahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu,” kata Esmee, seperti dilapor akhbar Utusan Malaysia.

Sasaran petisyen berkenaan adalah untuk memperoleh 25,000 tandatangan.

Wednesday, December 12, 2018

Tabung Haji pindah aset RM19.9b kepada Kementerian Kewangan

adminweb

Langkah TH sebagai tukaran kepada penerbitan sukuk RM10 bilion dan saham Islamik RM9.9 bilion bagi mengimbangi liabiliti RM77 bilion


KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1440H, SelasaLembaga Tabung Haji (TH) akan memindahkan asetnya bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan menjelang 31 Disember ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti, manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Pemindahan aset TH kepada Kementerian Kewangan adalah sebagai pertukaran kepada sukuk bernilai RM10 bilion dan saham Islamik bernilai RM9.9 bilion.

“Daripada aset yang akan dipindahkan ke SPV, 80 peratus daripada jumlah nilai itu terdiri daripada ekuiti, manakala hartanah menyumbang kira-kira 20 peratus.

“Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan terbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zukri berkata, pemindahan aset tidak menguntungkan itu akan selesai akhir tahun ini, dan sebaik saja pemindahan itu selesai, aset dan liabiliti TH akan seimbang.

Beliau menegaskan tidak ada transaksi tunai atau jaminan kerajaan terbabit dalam pelaksanaan itu, kerana SPV akan mengeluarkan sukuk yang tidak boleh didagangkan dalam tempoh tujuh tahun, dan akan dilanggan sepenuhnya oleh TH, bersama dengan RCPS-i tanpa tempoh matang atau dividen.

Walaupun tidak memberi maklumat terperinci mengenai aset yang akan dilupuskan, Zukri berkata, ianya termasuk tanah yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dana minyak dan gas serta hotel.

Tabung Haji membeli tanah seluas 0.6 hektar di Tun Razak Exchange daripada 1MDB dengan bayaran RM188.5 juta pada tahun 2015 untuk membina menara kediaman – satu perjanjian yang mencetuskan bantahan awam pada masa itu kerana ia dilihat sebagai bayaran untuk menyelamat 1MDB.

Dengan berakhirnya pelaksanaan itu, TH dijangka memiliki aset bernilai RM77 bilion, termasuk melalui pengeluaran sukuk dan RCPS-i, untuk mengimbangi liabiliti RM77 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, dan membolehkannya terus membayar dividen kepada pendeposit.

Friday, November 2, 2018

Selit cukai baharu

MyMetro
Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my

AMIRUDDIN

Cyberjaya:
  Kementerian Kewangan mengesahkan satu cukai baharu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sesi pembentangan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, ia sejenis cukai yang berbeza, namun cukai baharu itu tidak membebankan rakyat.

“Sebaliknya, kutipannya digunakan kembali bagi tujuan kepentingan rakyat serta mengurangkan beban untuk membayar balik hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya ingat, apapun kita biar Menteri Kewangan bentang mengenai cukai itu esok (hari ini).

“Apa yang penting, hasil kutipan cukai itu digunakan untuk menampung perbelanjaan operasi kerajaan, memastikan agenda pembangunan diteruskan, merapatkan jurang pembangunan luar bandar dan bandar serta menyelesaikan hutang kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Akauntan Negara, Dr Yaacob Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.

Beliau berkata, cukai baharu itu dicadangkan Jawatankuasa Reformasi Cukai yang dibentuk Kementerian Kewangan baru-baru ini, bertujuan mengkaji langkah yang sewajarnya diambil bagi meningkatkan cukai secara progresif tanpa membebankan golongan isi rumah berpendapatan B40.

Amiruddin berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Hasmah Abdullah.

Menurutnya, jawatankuasa sama turut mengenal pasti jurang percukaian termasuk menangani ketirisan cukai, pengenaan cukai terhadap ekonomi digital, penyemakan keberkesanan insentif cukai, mencari cara meminimumkan kebocoran cukai dan mengkaji semula sistem percukaian secara menyeluruh.

Sebelum ini, Guan Eng ketika sesi Parlimen pertengahan bulan lalu masih berteka-teki dan sekadar memberi bayangan mengenai pelaksanaan cukai baharu berkenaan.

Menurutnya, cukai baharu itu dijangka dapat menjana pendapatan tambahan kepada negara selepas mengakui peralihan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyaksikan penyusutan pendapatan bersih kerajaan.

Sementara itu, Sabin dalam ucapannya berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi aktiviti percukaian bagi mencapai sasaran kutipan cukai ditetapkan kementerian iaitu RM140.113 bilion pada tahun ini.

Menurutnya, LHDN juga akan melaksanakan sebarang mandat dan amanat baru yang bakal diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2019.


Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 2 November 2018 @ 10:04 AM

Thursday, October 25, 2018

Shafee kata tuduhan pada Najib 'sangat bodoh'

Faisal Asyraf
Diterbitkan 25 Okt 2018, 1:43 petang 


Selari dengan pendirian Datuk Seri Najib Razak yang tidak sabar-sabar menghadiri perbicaraan tuduhan pecah amanah yang dikenakan ke atasnya, pihak peguam bela juga 'bersemangat' berdepan dengan pihak pendakwaan.

Ketua pasukan peguam bela Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, berkata pihaknya menjangkakan mereka akan "bersenang-senang" membalas hujah dan mempertahankan bekas perdana menteri itu.

Pada masa sama, kata Shafee, dia menjangkakan pasukan pendakwaan akan berdepan "mimpi ngeri" semasa melaksanakan tugas berkenaan.

"Apa yang boleh saya katakan ialah, saya fikir pihak peguam bela dalam kes ini akan bersenang-senang, (manakala) pendakwaan pula akan berdepan mimpi ngeri (nightmare)," katanya.

Shafee yang juga salah seorang peguam paling kanan di negara ini berkata demikian kepada media di lobi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Najib dikenakan enam tuduhan pecah amanah membabitkan dana kerajaan di depan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azman Ahmad.

Turut dikenakan tuduhan sama ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pihak pendakwaan diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Kata Shafee peguam bela Najib bersemangat untuk menghadiri perbicaraan yang ditetapkan pada 29 Nov ini kerana berpendapat tuduhan yang dibuat itu direka-reka oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Saya rasa tuduhan ini sengaja dibuat-buat dan saya fikir ia sangat bodoh.

"Semua tuduhan ini mempersoalkan keputusan eksekutif menteri kewangan dan ketua setiausaha kementerian kewangan," katanya.

Menurut Shafee semua enam tuduhan yang dikenakan ke atas Najib pada dasarnya berkaitan isu kewangan yang disalurkan semula sebagai peruntukan spesifik yang lebih penting.

[Baca berita penuh]

Wednesday, October 24, 2018

Guan Eng: Kelantan negeri gagal

Lu Wei Hoong
Diterbitkan 24 Okt 2018, 12:23 tengah hari


Kembali menyanggah Kelantan, Lim Guan Eng hari ini tampil mengemukakan data daripada Kementerian Kewangan untuk membuktikan negeri terbabit mengalami kekurangan dana untuk membayar gaji kakitangannya.

Bercakap kepada media di parlimen hari ini Lim menunjukkan surat dari Pejabat Perbendaharaan Kelantan yang meminta bantuan pinjaman daripada pusat untuk membayar gaji kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Surat itu ditulis Pegawai Kewangan Negeri Kelantan Datuk Nik Kazim Nik Yusoff.

“Ini (surat) bukan daripada saya, dari Kelantan," katanya.

Melalui salinan surat itu, Nik Kazim menyatakan kerajaan Kelantan terdedah kepada kelewatan pembayaran gaji kakitangan serta bil semasa.

Surat bertarikh 18 Jun 2018 itu menyatakan Kelantan perlu pendahuluan dana sebanyak RM97 juta pada Julai bagi menampung perbelanjaan luar jangka serta ketiadaan punsa baru sumber hasil.

"Implikasi shortfall ini akan menyebabkan kerajaan negeri terdedah kepada kelewatan pembarayan gaji kakitangan termasuk sambilan sebanyak RM24.5 juta sebulan, serta bayaran bil-bil melebihi 14 hari," kata surat itu.

Surat itu juga menyatakan kerajaan Kelantan memohon pendahuluan sebanyak RM97 juta bagi menampung aliran wang tunai Kelanta untuk 2018.

Lulus walaupun ada tunggakan

Turut dijelaskan dalam surat itu bagaimana Kelantan mencatatkan aliran menaik defisit akaun semasa dengan jumlah terkumpul berjumlah RM19.46 juta dan defisit kumpulan wang pembangunan berjumlah RM45.03 juta, tidak termasuk tanggungan semasa berjumlah RM49.73 juta.

Kata Lim sebagai kerajaan apa yang dinyatakan mengenai kedudukan kewangan Kelantan dibuat berdasarkan angka-angka dan fakta sebenar.

“Pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan perlu dijalankan berdasarkan fakta dan angka, bukannya sentimen dan fitnah jahat.

“Sukar memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur atau membangunkan semula sebuah negeri yang gagal sekiranya membelakangkan fakta dan angka,” katanya.

Baca MP PAS kata Guan Eng fitnah Kelantan

Lim yang juga anggota parlimen Bagan menambah, Kelantan menerima pinjaman pendahuluan sebanyak RM100 juta yang belum dijelaskan sehingga 31 Disember 2017.

Dalam keadaan begitu Kota Bharu sekali lagi memohon bantuan pinjaman pendahuluan pada Jun tahun ini.

"Biarpun masih ada tunggakan besar, permohonan itu telah diluluskan.

Semalam, Lim mendedahkan Kelantan menerima pemberian (grant) daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM398 juta termasuk RM59.9 pemberian defisit kerana kerajaan negeri itu tidak mempunyai hasil mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji kakitangan awam.

Baca 'Guan Eng jangan lupa pernah menangis minta bantuan pusat'

Ditanya tentang tentang kelulusan pinjaman pendahuluan terdahulu (Jun) sebanyak RM22.5 juta berbanding permohonan sebanyak RM24.5 juta, kata Lim, jumlah itu adalah pemberian segera bagi memenuhi keutamaan semasa.

“Ini untuk gaji, jadi (kita) cuba cepat-cepat bagi dahulu.

"Apabila kita beri (begitu saja kepada) sesiapa yang minta, saya rasa itu bukanlah tindakan belanjawan yang berhemah.

“Jadi kita bagi apa yang perlu dahulu iaitu (untuk membayar gaji) kakitangan kerajaan negeri,” katanya.

Lim turut mendedahkan Kelantan sekali lagi membuat permohonan terbaharu dan permohonan itu turut diluluskan.

Lim bagaimanapun tidak mahu mendedahkan jumlah permohonan baru itu buat masa ini.

Saturday, October 20, 2018

Soi Lek: 'bila ayah beri wang, adakah anda bertanya sama ada dia curi?'

Kow Gah Chie & Ng Xiang Yi 
Diterbitkan 20 Okt 2018, 9:54 pagi 


Bekas Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mengagihkan sejumlah RM470 juta kepada parti-parti BN pada pilihan raya umum 2013. Dari jumlah tersebut, RM16.5 juta pergi kepada MCA.

Bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah pada Oktober 2015 mengakui MCA adalah antara parti BN yang menerima dana pilihan raya dari Najib.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini pada hari Khamis, Chua berkata MCA tiada cara untuk mengetahui sumber pembiayaan itu.

"Saya sudah berkata terdapat wang (diberikan Kepada MCA). Tetapi masa itu (2013), tidak ada 1MDB. (Berita mengenai) 1MDB tidak diketahui. (Cakap-cakap mengenai) 1MDB hanya muncul pada 2014" katanya.

"Apabila orang memberi anda wang... apabila ayahmu beri anda wang, adakah anda akan tanya ayah anda dari mana datangnya wang itu? Adakah anda mencurinya? Adakah anda meminjam?" katanya.

"Anda hanya akan terima dengan suci hati, tidakkah anda setuju?" katanya.

"(Bahkan) Jika wang itu datang dari 1MDB, kami hanya pihak yang tidak bersalah.Bagaimana kami nak tahu asal-asul wang ini?" katanya.

1MDB, idea Najib ditubuhkan pada tahun 2009, bertujuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan dan melonjakkan ekonomi melalui pelaburan strategik.

Anak syarikat Kementerian Kewangan itu mula menarik perhatian selepas ia telah terlepas pembayaran balik pinjaman RM2 bilion pinjaman yang sepatutnya pada bulan Disember 2014.

Apabila ditanya sama ada MCA sepatutnya memulangkan wang itu sekarang selepas parti itu mengetahui ianya berasal dari 1MDB, Chua kata jawapan beliau akan menjadi tidak relevan kerana beliau tidak lagi ada kawalan ke atas dana MCA.

"Itu, anda perlu meminta kepimpinan (sekarang)," katanya.

[Baca berita penuh]

Wednesday, October 17, 2018

Pemandu teksi demo depan Kementerian Kewangan

Faisal Asyraf
Diterbitkan 17 Okt 2018, 12:03 tengah hari


Seperti dijanjikan, sekumpulan pemandu teksi berhimpun di depan pejabat Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini bagi membantah rancangan menjadikan Grab sebagai kenderaan pengantara di stesen MRT.

Mereka menuntut untuk bersemuka dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam tempoh 24 jam.

Wakil menteri, setiausaha bahagian komunikasi korporat kementerian Suhaili Ahmad, turut hadir bertemu kumpulan itu.

Penganjur perhimpunan Shamsubahrin Ismail, yang juga pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, kelihatan meminta alamat e-mel untuk menghantar surat rasmi permohonan bertemu Lim.

Shamsubahrin kemudian terus menghantar undangan itu.

“Saya sudah hantar surat khas kepada menteri supaya pertemuan boleh diadakan dalam tempoh 24 jam susulan isu yang ditimbulkan (setiausaha politik menteri) Tony Pua,” katanya.

[Baca berita asal]

Monday, October 15, 2018

'Bentang kertas putih kewangan negara sebelum Belanjawan'

Diterbitkan 15 Okt 2018, 9:50 pagi 


PAS menggesa Kementerian Kewangan membentangkan kertas putih di Parlimen berkenaan kedudukan sebenar kewangan kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2019 yang dijadual 2 November ini.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata ia berikutan percanggahan dalam kenyataan beberapa pemimpin kerajaan berhubung perkara itu.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bahawa hutang negara melebihi jumlah RM1 trilion seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini.

Menurut laporan Utusan 13 Oktober lalu, kerajaan tidak menyatakan kedudukan sebenar kerana bimbang Malaysia akan menjadi muflis seperti Greece.

Nasrudin menyifatkan kenyataan Mohamad itu sebagai amat serius kerana bertentangan dengan jawapan bertulis Lim di Parlimen pada 24 Julai lalu bahawa hutang kerajaan persekutuan setakat 31 Disember 2017 adalah berjumlah RM686.8 bilion.

"Jawapan itu selaras dengan laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia.

"Jika nilai sebenar hutang kerajaan persekutuan tidak benar dengan merujuk kenyataan Menteri Pertahanan, maka semua angka yang dilaporkan dalam penyata kewangan kerajaan dan jawapan menteri kewangan adalah palsu.

"Bagi menangani kecelaruan ini, Lim perlu mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan pemimpin negara dimanipulasi. Perkara ini boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara," katanya lagi.

Untuk rekod, Lim sebelum ini pernah menjelaskan bahawa angka RM686.8 bilion adalah hutang rasmi kerajaan persekutuan.

Dalam penjelasan itu, Lim berkata kerajaan juga memberi jaminan kepada pelbagai entiti dengan jumlah RM199.1 bilion dan pajakan untuk projek awam berjumlah RM201.4 bilion.

Jumlah ketiga-tiga tanggungan tersebut adalah RM1.087 trilion - seperti yang diumumkannya.

Sementara itu, Nasrudin juga mengulang gesaan agar Lim menjelaskan dakwaannya tentang penyusutan akaun hasil disatukan sebanyak 96 peratus - daripada RM11.86 bilion pada akhir 2017 kepada RM450 juta pada 30 April 2018.

"Penyusutan mendadak itu perlu diperincikan agar rakyat tahu apakah perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018," katanya.

Tuesday, October 9, 2018

PM: Kerajaan kaji perkenal cukai baru

Alyaa Alhadjri | Diterbitkan 9 Okt 2018, 10:59 pagi


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenal cukai baru sebagai sumber bagi menambah pendapatan.

Beliau berkata langkah itu adalah antara beberapa langkah yang akan diambil bagi mengurangkan hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

"Ia adalah satu bentuk cukai yang berbeza tetapi ia (secara tidak langsung) dapat mengurangkan beban rakyat.

"Itulah tujuannya, untuk membayar hutang kerajaan," kata Mahathir kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaannya di forum Malaysia A New Dawn di Kuala Lumpur pagi ini.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Mahathir berkata beberapa langkah lain akan turut diambil kira termasuk kemungkinan menjual tanah kerajaan atau aset lain.

"Kerajaan terdahulu menjual banyak tanah kepada orang asing, saya tidak fikir ini bagus untuk kita.

"Tetapi kita boleh menjual tanah kepada penduduk tempatan," katanya.

Beliau menambah pendapatan tambahan yang dihasilkan akan membantu mengurangkan hutang kerajaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di masa depan.

Mahathir juga berkata kerajaan perlu mencari sumber pendapatan alternatif kerana ia kini terbeban dengan pelaburan buruk dan tidak dapat dikembalikan semula.

"Sekarang kita tidak tahu di mana wang itu jadi kita perlu mencari sumber dana lain," katanya.

Sementara itu, Mahathir juga menegaskan bahawa kerajaan akan tetap bersikap mesra perniagaan.

"Kerajaan tidak mencipta kekayaan, kerajaan hanya mencukaikan rakyatnya yang kaya.

"Jika kami kelihatan baik kepada kamu itu kerana kami mengenakan 24 peratus (cukai korporat)," katanya.

Individu daripada pelbagai industri berkumpul dalam persidangan sehari yang dianjurkan Kementerian Kewangan hari ini dan berkongsi input mereka mengenai cara meningkatkan ekonomi negara.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-