Showing posts with label nilai ringgit. Show all posts
Showing posts with label nilai ringgit. Show all posts

Wednesday, March 20, 2024

Ringgit: Perdana Menteri dibidas di Dewan Negara

harakahdaily.com
March 20, 2024
Ir Md Nasir Hashim
KUALA LUMPUR: Kerajaan kelihatan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menstabilkan nilai ringgit yang jatuh merudum berbanding Dolar Amerika Syarikat, demikian kata Senator Ir Md Nasir Hashim.

“Sekarang nilai Ringgit hampir mencapai nilai Rahmah berbanding dengan Dolar Amerika, (tetapi) kerajaan seolah-olah tidak berbuat apa-apa untuk memperkukuhkan nilai Ringgit.

“Kalau dahulu semasa jadi Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberitahu rakyat, kejatuhan ekonomi dan mata wang Ringgit ini disebabkan kerana kerajaan masa itu tidak tahu memerintah negeri.

“Sekarang saya nak cakap balik kepada beliau, ‘hang tak tahu nak jaga negeri sekarang ini sebab itu ekonomi terus jatuh merudum’,” katanya pada sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, di sini hari ini.

Antara lain, Nasir juga menyentuh mengenai keperluan menurunkan harga rumah kepada rakyat asing.

“Harga rumah untuk rakyat asing sepatutnya dikekalkan pada harga RM1 juta, dan tidak diturunkan ke nilai lebih kurang RM500,000.

“Yang itu saya tidak faham kenapa kerajaan boleh menurunkan untuk rakyat asing membeli rumah dengan harga yang lebih murah lagi, sedangkan nilai duit mereka lebih tinggi daripada nilai duit kita,” katanya. 

Tuesday, March 5, 2024

Anwar patut jawab kejatuhan ringgit bukan orang lain, kata Ahli Parlimen

agendaily.com
5 Mac. 2024
Ringgit jatuh ke paras terendah sejak 26 tahun.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya memberikan penjelasan dan menjawab berhubung isu kejatuhan nilai ringgit yang mencecah ke paras terendah sejak 26 tahun, kata beberapa Ahli Parlimen.

Beberapa Ahli Parlimen membangkitkan isu kejatuhan nilai ringgit di Dewan Rakyat dan mempertikaikan jawapan Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta Gabenor menjawab isu tersebut, walhal beliau adalah menteri yang bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk memperbaiki keadaan yang dilihat amat menggusarkan rakyat.

Dalam perbahasannya, beliau berkata, jawapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai isu terbabit sukar diterima.

“PM (perdana menteri) sebut dua perkara yang bagi saya agak janggal. Apabila pemberita tanya, beliau mengatakan, tanyalah Gabenor Bank Negara. Ini tak pernah berlaku dalam sejarah.

“Sepatutnya sebagai Menteri Kewangan beliau yang perlu jawab. Kedua, beliau ada berkata, (kejatuhan ringgit) ketika ini tak sama seperti yang berlaku pada 1998. Ya, memang tak sama. Pada 1998, nilai Ringgit Malaysia (RM) jatuh kerana krisis kewangan Asia. Bukan ringgit saja terjejas tetapi mata wang Thailand, Korea, Indonesia dan beberapa negara lain juga jatuh. Ini semua kita faham,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Membandingkan situasi semasa nilai ringgit yang menyusut teruk, beliau berkata, Malaysia berada di belakang kebanyakan negara serantau lain.

“Kejatuhan RM (ringgit) lebih teruk dari rupiah (Indonesia), peso (Filipina), rupee (India) dan dong (Vietnam). Kejatuhan mata wang yang lebih teruk dari RM (ringgi) hanyalah yen (Jepun), ruble (Russia) dan lira (Turkiye).

“Jika hendak dibandingkan dengan China, mata wang kita jatuh sebanyak 3.1 peratus, manakala dengan Thailand, sebanyak 4.8 peratus. Berbanding Euro pula, kita jatuh 8.3 peratus, dolar Singapura hampir 7 peratus dan dolar Amerika Syarikat, 6.2 peratus,” katanya.

“Kerajaan sepatutnya beri fokus kepada usaha menangani kelemahan dalam negara sendiri yang memberi kesan kepada ringgit daripada memberi ‘attribute’ ringgit lemah kepada faktor luaran,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Muhammad Ismi Mat Taib (PN) yang membahaskan isu sama turut menggesa kerajaan mengambil tindakan wajar supaya rakyat tidak ‘diheret’ dalam krisis kos sara hidup yang semakin memburuk.

“Kenaikan tarif elektrik, bayaran air, Indah Water, harga beras, dan kos sara hidup lain yang bertambah ini bukan berita palsu. Ia benar-benar berlaku. Apatah lagi kebanyakan rakyat ketika ini sedang melakukan persiapan untuk pembukaan sekolah.

“Justeru, saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan menangguhkan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ekoran apa yang berlaku dengan kejatuhan nilai ringgit ketika ini.

“Penangguhan SST yang naik daripada kadar enam ke lapan peratus perlu, sebagai langkah segera untuk kawal kadar inflasi,” katanya.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan mengenai pelaburan asing yang dilaporkan meningkat secara ketara, iaitu RM329.6 bilion.

“Saya mohon Perdana Menteri kemukakan kepada Dewan mengenai jumlah sebenar pelaburan yang berlaku daripada awal Kerajaan Perpaduan (ditubuhkan) sehingga hari ini.

“Kenapa perlu kita mansuhkan pencen, naikkan SST, sedangkan pelaburan asing naik begitu tinggi. Perlu saya ingatkan yang ghairah dengan angka ini, pelaburan asing adalah jumlah yang diluluskan, bukan angka sebenar,” katanya.

Thursday, August 13, 2015

Kenyataan bodoh menteri tentang nilai ringgit jatuh

 Muhamad Fadzil Ahamad
Hari ini tercatat sejarah baru di negara ini apabila nilai Ringgit mencecah RM4 berbanding 1 Dolar Amerika.

Kejatuhan nilai matawang ini memberikan kesan langsung terhadap kuasa beli rakyat dan pengguna secara keseluruhannya.

Ini kerana, kebergantungan terhadap import adalah terlalu tinggi berbanding eksport yang mencatatkan trend penurunan sehingga bawah paras 9% pada April lalu.

Justeru, harga barangan keperluan yang rata-ratanya terpaksa dibawa masuk dari luar negara termasuk bahan mentah dan barangan siap seperti lampin bayi akan mengalami kenaikan dan sekaligus mengakibatkan kesan kenaikan berganda terhadap kos sara hidup rakyat setelah mereka terbeban dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April lepas.

Tanpa menafikan manfaat yang bakal diperoleh negara dalam sektor pelancongan, kesan buruk akibat kejatuhan nilai matawang ini adalah jauh lebih besar berbanding kebaikannya khusus kepada rakyat di negara ini.

Kenyataan menteri supaya rakyat hanya berbelanja terhadap barangan tempatan dan melancong hanya di dalam negara menambahkan lagi rencah duka buat rakyat terbanyak.

Sedarkah pak-pak menteri ini, selama ini rakyat lama sengsara sejak sebelum bermulanya trend kejatuhan nilai matawang negara lagi? Berapa banyak barangan keperluan asas dalam negara ini yang terhasil dalam negara berbanding barang yang diimport? Di manakah lagi tempat pelancongan dalam negara ini yang masih kekal dijaga dan diurus sebaiknya untuk rakyat melancong dengan tenang dan selesa?

Persoalan-persoalan ini sewajarnya dijawab menteri dengan penuh kesedaran dan bukannya mengeluarkan kenyataan bodoh untuk menyembunyikan masalah sebenar di sebalik kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara yang kian parah dan membawa kepada kejatuhan nilai matawang negara.

Hakikatnya, negara kini semakin hilang kompetensi dalam persaingan ekonomi global yang memerlukan inovasi untuk menguasai pasaran antarabangsa. Lihat sahaja kedudukan Proton berbanding kereta dari negara Korea yang mempunyai sejarah yang hampir serupa dengan sejarah di negara ini.

Realitinya, negara kini semakin kekurangan modal insan yang kreatif dalam mencipta produk atau teknologi yang berupaya memangkin ekonomi negara kepada keadaan lebih kukuh dan mapan di masa hadapan.

Gejala 'brain drain' harus dipandang serius kerajaan di mana sehingga kini direkodkan lebih 50% dari sejumlah lebih setengah juta rakyat yang berpendidikan tinggi dan profesional berhijrah keluar negara dan lebih separuh daripadanya pula memilih untuk bekerja di negara jiran, Singapura. Sebaliknya di Malaysia menjadi tempat lambakan pekerja separa mahir yang datang dari negara luar.

Selain itu, tahap keyakinan pelabur asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan juga kian lemah akibat salahlaku rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin membarah mutakhir ini. Isu 1MDB, dana politik RM2.6b yang melibatkan batang tubuh perdana menteri sendiri memburukkan lagi keadaan apatah lagi ianya gagal dijawab dan ditangani dengan sebaiknya kerajaan.

Semuanya itu jelas membawa kepada jawapan tentang mengapa kejatuhan nilai ringgit begitu ketara sungguhpun negara ini dikurniakan dengan pelbagai hasil mahsul yang sangat kaya berbanding negara serantau yang lain.

Segalanya berbalik kepada kesungguhan dan integriti pemimpin yang memimpin negara kaya ini samada membawa negara ke arah yang lebih baik atau memanipulasi kekayaan negara demi kepentingan peribadi dan puak.

Benarlah firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud; "Jelas kerosakan yang berlaku di langit dan di bumi dengan apa yang dilakukan tangan-tangan manusia".

Justeru itu, seluruh barisan kepimpinan negara hari ini wajar dipertanggungjawabkan atas kegagalan mengurus ekonomi negara sehingga membawa kepada kejatuhan nilai matawang negara ke paras terendah sejak 1998.

Berhentilah dari memberikan kenyataan-kenyataan bodoh yang boleh menambah benci dan marah rakyat terhadap kamu.

Cuma satu hikmah yang saya nampak di sebalik kejatuhan nilai matawang ini, iaitu kejatuhan matawang negara adalah petanda kejatuhan Umno-Barisan Nasional semakin hampir. Ayuh sama-sama kita saksikan dan realisasilan.

Salam hormat.

#selamatkanMalaysia – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=314782:kenyataan-bodoh-menteri-tentang-nilai-ringgit-jatuh-%E2%80%93-muhamad-fadzil-ahamad&Itemid=2#ixzz3icmquzxp
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-