Showing posts with label nombor ekor. Show all posts
Showing posts with label nombor ekor. Show all posts

Sunday, January 1, 2023

Tiada lagi kedai nombor ekor di Kedah

ferrmalaysiatoday.com
FMT Reporters
-January 1, 2023 4:30 PM
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihak berkuasa tempatan diarah memantau dan memastikan semua premis perjudian terbabit mematuhi arahan diputuskan sejak November 2021 itu.

PETALING JAYA:
Tiada lagi premis perjudian dan loteri di Kedah selepas operasinya ditamatkan sepenuhnya semalam.

Ia susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mulai hari ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah memantau dan memastikan semua premis perjudian terbabit mematuhi arahan diputuskan sejak November 2021 itu.

“Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri di seluruh Kedah, bagi memastikan tidak ada yang dibuka hari ini, kita mungkin tidak tahu jika ada yang masih beroperasi.

“Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Dis dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi,” katanya menurut Harian Metro.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah 14 Nov 2021, Sanusi mengumumkan negeri itu tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk negeri berkenaan selain bagi mencapai sasaran sifar judi.

Bagaimanapun, ia mencetuskan kontroversi apabila masyarakat bukan Islam mendakwa tindakan kerajaan negeri melanggar hak mereka sebagai rakyat Malaysia, sehingga menyebabkan Sanusi meminta mereka membeli nombor ekor di negeri lain.

Sunday, November 14, 2021

Haram kedai nombor ekor: Sanusi cari publisiti murahan, tak hormat bukan Muslim, kata MIC

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-November 14, 2021 6:38 PM

Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan Kedah tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

PETALING JAYA: MIC menyelar Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pemimpin yang suka mencari publisiti murahan susulan tindakan Menteri Besar Kedah itu mengharamkan kedai nombor ekor beroperasi di negeri berkenaan.

Naib Presiden MIC, T Mohan, turut menyifatkan Sanusi sebagai tidak menghormati bangsa lain di negeri itu.

“Saya lihat (tindakan Sanusi) tidak logik. Kadang-kadang Menteri Besar Kedah ini suka publisiti murahan. Nak publisiti, (Sanusi) biasa buat macam itu nak dapatkan sokongan,” katanya kepada FMT.



Mohan berkata, Sanusi sepatutnya mengkaji kemungkinan mengehadkan premis perjudian, bukan membuat keputusan drastik tidak memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor.

Mohan berkata, pemimpin PAS itu sepatutnya akur tindakannya turut memberi kesan kepada bukan Muslim.

“Saya faham (dalam) Islam tak boleh main judi. Tetapi siapa panggil orang Islam main judi. Orang Islam (juga) tak boleh minum arak. Tetapi siapa panggil minum arak,” katanya.

Beliau berkata, Sanusi sepatutnya menghormati hak orang bukan Muslim dan tidak membuat keputusan terburu-buru.

“Kena hormat (hak bukan Muslim). Negara ini bukan (untuk) orang Islam saja. Yang bukan Islam pun ada. Kalau orang bukan Islam nak main judi, lepaskanlah. Kalau tengok Islam main judi, tangkaplah,” katanya.

Terdahulu, Sanusi mengumumkan kerajaan Kedah tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

Sanusi berkata, aktiviti perjudian menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

Beliau berkata, penjualan minuman keras di semua premis juga akan dihadkan, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.

“Di PBT (pihak berkuasa tempatan) yang tiada permintaan, khususnya di luar bandar, penjualan di premis minuman keras juga akan dihadkan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Choon Sin Woon, berkata tindakan Sanusi memberi mesej salah kepada masyarakat majmuk di negara ini.

“Saya fikir mana-mana kerajaan di negara ini harus mengakui dan menghormati kepelbagaian budaya.

“Apa yang harus kita pertahankan ialah kebebasan dan pilihan oleh rakyat untuk hidup dengan cara yang mereka pilih,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak menggalakkan perjudian tetapi kepentingan orang bukan Islam perlu dipertahankan kerana mereka juga mempunyai hak asasi dan pilihan tertentu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-