Showing posts with label pelancong. Show all posts
Showing posts with label pelancong. Show all posts

Saturday, January 25, 2025

Visa percuma untuk pelancong China perlu ditamatkan

harakahdaily
January 25, 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya menamatkan dasar visa percuma untuk pelancong dari China dengan serta-merta.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Asmawar Samat berkata, tindakan itu perlu diambil berdasarkan perkembangan terkini di Thailand.

Menurutnya, negara itu telah membatalkan visa percuma untuk pelancong China susulan kebimbangan terhadap peningkatan penglibatan pelancong dari negara berkenaan dalam aktiviti jenayah.

“Pada 19 Januari 2025, Senat Thailand telah menggesa agar dibuat semakan semula dasar ‘visa percuma’ untuk pelancong warganegara China berikutan kebimbangan ke atas meningkatnya penglibatan mereka dalam aktiviti jenayah di negara itu.

“Senator Wanchai Expornpichit menjelaskan kumpulan penjenayah telah mengeksploitasi polisi tersebut beroperasi di Thailand, menjadikannya sebagai pangkalan untuk menjalankan aktiviti haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia sebelum ini jelasnya, melaksanakan dasar visa percuma kepada pelancong dari China bermula 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024, membenarkan mereka tinggal selama 30 hari bagi setiap lawatan.

Menurut Asmawar, situasi yang berlaku di Thailand menunjukkan bahawa adalah lebih baik jika Malaysia turut mengambil langkah sama dengan membatalkan atau tidak melanjutkan dasar murah hati yang telah diberikan sepanjang tempoh setahun lalu.

“Malaysia masih menghadapi isu ramai pelancong negara China yang tidak dapat dijejaki untuk keluar atau pulang ke negara asal mereka.

“Permasalahan di Thailand nampaknya adalah juga antara punca yang boleh menimbulkan permasalahan dan kerumitan kepada pihak berkuasa Malaysia sekiranya sebarang langkah kesiapsiagaan, meliputi maklumat dan penguatkuasaan belum mantap dan kemas,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu katanya, dalam tempoh yang mencabar, PUTRA menyokong sekiranya pihak kerajaan membatalkan visa percuma kepada pelancong dari negara China dengan serta merta dan kembali pada prosedur dan status asal.

“Namun demikian, dasar memberikan visa (berbayar) kepada pelancong negara China itu disyor boleh diteruskan untuk tempoh dua (2) minggu sahaja.

“Sebelum ini dalam laporan Ketua Audit Negara, terdapat 1.2 juta pelancong Cina hilang dan tidak ada bukti mereka kembali ke negara asal,” katanya. 

– HARAKAHDAILY 25/1/2025

Friday, December 30, 2022

K'jaan digesa tangguh kemasukan pelancong China

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Dec 30, 2022 7:30 AM
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.

Presiden Mata Mohd Khalid Harun berkata lonjakan ketara kes Covid-19 di China baru-baru ini meningkatkan lagi potensi varian baru yang bakal muncul sekali gus memberi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya pemain industri pelancongan.

“Kita semua sedia maklum hospital di seluruh China telah dibelenggu oleh letupan kes Covid-19 berikutan keputusan Beijing untuk menarik balik peraturan ketat mereka.

“Trauma yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan akibat Covid-19 masih belum selesai malah banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat Covid-19 dengan kerugian berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun yang lalu,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Justeru, dia berharap perkara seumpama itu tidak berulang memandangkan pemain industri pelancongan amat terkesan sebelum ini dan masih dalam proses pemulihan.

Mohd Khalid juga berkata banyak negara telah memperketat kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi menyekat penularan virus Covid-19.

Dia turut menasihati pemain industri pelancongan Malaysia agar mengalihkan perniagaan mereka kepada pelancong dari Timur Tengah dan Eropah tanpa bergantung kepada China buat masa ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China.

China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.

-Bernama

Tuesday, January 28, 2020

Sekat masuk semua pelancong China, bawa pulang rakyat Malaysia


Oleh DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
         KETUA PEMBANGKANG


ADAKAH kerajaan hanya mementingkan Tahun Melawat Malaysia 2020 sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat negara ini?

Walaupun kerajaan akhirnya akur dengan tekanan rakyat yang mahu sekatan terhadap pelancong dari China memasuki Malaysia apabila membuat keputusan menyekat pelancong dari Wuhan dan Hubei memasuki negara ini, adakah ini mencukupi?

Sepatutnya kerajaan menyekat semua pelancong dari China, bukannya secara memilih wilayah tertentu. Apatah lagi, wabak koronavirus ini telah merebak ke wilayah-wilayah lain di China.

Bahkan bukan itu sahaja. Wajar pada masa ini kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia dari China sebagai langkah awal menjamin keselamatan mereka.

Ketika negara jiran sudahpun menghalang pelancong China memasuki negara mereka, sayangnya Malaysia mengambil tindakan yang masih diragui keberkesanannya.

Korea Utara, Rusia malah Beijing sendiri telah menyekat kemasukan pelancong China dari bandar-bandar dan wilayah lain bagi menangani penularan wabak ini. Betapa pantasnya tindakan yang diambil demi nyawa rakyat mereka.

Inilah seharusnya dicontohi oleh Malaysia. Namun malangnya kita masih mengambil pendirian dan keputusan yang berpilih-pilih wilayah tertentu.

Menteri Kesihatan dalam kenyataannya hari ini menyatakan tiada pesakit yang positif di Malaysia dari Wuhan kerana pihak berkuasa Wuhan telah menyekat rakyatnya keluar sejak 28 Januari lalu.

Namun terdapat tiga pesakit yang sedang dikuarantin di Johor yang bukan datang dari Wuhan tapi dari wilayah lain di China. Begitu juga di Langkawi dan pesakit yang didapati positif koronavirus di Malaysia semuanya dari wilayah luar Wuhan.

Ini bermakna wabak koronavirus telah pun merebak ke wilayah-wilayah lain di China selain dari Wuhan dan Hubei.

Maka tindakan kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari Wuhan dan Hubei semata-mata tidak mencukupi.

Sehubungan itu, kita mahu kerajaan membuat sekatan visa terhadap semua pelancong dari negara China ke Malaysia.

Ini bagi memberi sekatan yang lebih bermakna bagi memastikan wabak tersebut benar-benar mampu disekat.

Difahamkan ramai pelancong dari Wuhan memasuki Sabah sebelum Wuhan menutup pintu kepada pelancong.

Adalah wajar pihak berkuasa mengesan pelancong China terbabit setelah kerajaan Filipina sendiri bertindak menghantar pulang 500 pelancong China.

Langkah mengesan pelancong China dan menyaring tahap kesihatan mereka harus dilakukan dan menghantar mereka pulang ke negara asal adalah tindakan yang wajar.

Pada masa sama, di negara ini masih banyak kedai yang menjual binatang eksotik untuk makanan malah ada restoran menjual masakan makanan eksotik. Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas menutup kedai dan restoran berkenaan sebagai langkah mengawal wabak.

Justeru, sekat import haiwan dari China seperti kepak ayam dan haiwan-haiwan lain.

Selaku ahli parlimen dan mewakili rakyat sebagai Ketua Pembangkang, saya berharap kerajaan benar-benar serius menjaga nyawa rakyat Malaysia dengan tidak hanya melihat kepada pendapatan dari industri pelancongan semata-mata.

Kita harus mencegah sebelum ia menjadi parah.

Janganlah nanti sudah terhantuk baru tengadah. Jika ini terjadi ia sudah tidak berguna lagi.

– SM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-