Showing posts with label Tahun Melawat Malaysia 2020. Show all posts
Showing posts with label Tahun Melawat Malaysia 2020. Show all posts

Tuesday, January 28, 2020

Sekat masuk semua pelancong China, bawa pulang rakyat Malaysia


Oleh DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
         KETUA PEMBANGKANG


ADAKAH kerajaan hanya mementingkan Tahun Melawat Malaysia 2020 sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat negara ini?

Walaupun kerajaan akhirnya akur dengan tekanan rakyat yang mahu sekatan terhadap pelancong dari China memasuki Malaysia apabila membuat keputusan menyekat pelancong dari Wuhan dan Hubei memasuki negara ini, adakah ini mencukupi?

Sepatutnya kerajaan menyekat semua pelancong dari China, bukannya secara memilih wilayah tertentu. Apatah lagi, wabak koronavirus ini telah merebak ke wilayah-wilayah lain di China.

Bahkan bukan itu sahaja. Wajar pada masa ini kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia dari China sebagai langkah awal menjamin keselamatan mereka.

Ketika negara jiran sudahpun menghalang pelancong China memasuki negara mereka, sayangnya Malaysia mengambil tindakan yang masih diragui keberkesanannya.

Korea Utara, Rusia malah Beijing sendiri telah menyekat kemasukan pelancong China dari bandar-bandar dan wilayah lain bagi menangani penularan wabak ini. Betapa pantasnya tindakan yang diambil demi nyawa rakyat mereka.

Inilah seharusnya dicontohi oleh Malaysia. Namun malangnya kita masih mengambil pendirian dan keputusan yang berpilih-pilih wilayah tertentu.

Menteri Kesihatan dalam kenyataannya hari ini menyatakan tiada pesakit yang positif di Malaysia dari Wuhan kerana pihak berkuasa Wuhan telah menyekat rakyatnya keluar sejak 28 Januari lalu.

Namun terdapat tiga pesakit yang sedang dikuarantin di Johor yang bukan datang dari Wuhan tapi dari wilayah lain di China. Begitu juga di Langkawi dan pesakit yang didapati positif koronavirus di Malaysia semuanya dari wilayah luar Wuhan.

Ini bermakna wabak koronavirus telah pun merebak ke wilayah-wilayah lain di China selain dari Wuhan dan Hubei.

Maka tindakan kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari Wuhan dan Hubei semata-mata tidak mencukupi.

Sehubungan itu, kita mahu kerajaan membuat sekatan visa terhadap semua pelancong dari negara China ke Malaysia.

Ini bagi memberi sekatan yang lebih bermakna bagi memastikan wabak tersebut benar-benar mampu disekat.

Difahamkan ramai pelancong dari Wuhan memasuki Sabah sebelum Wuhan menutup pintu kepada pelancong.

Adalah wajar pihak berkuasa mengesan pelancong China terbabit setelah kerajaan Filipina sendiri bertindak menghantar pulang 500 pelancong China.

Langkah mengesan pelancong China dan menyaring tahap kesihatan mereka harus dilakukan dan menghantar mereka pulang ke negara asal adalah tindakan yang wajar.

Pada masa sama, di negara ini masih banyak kedai yang menjual binatang eksotik untuk makanan malah ada restoran menjual masakan makanan eksotik. Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas menutup kedai dan restoran berkenaan sebagai langkah mengawal wabak.

Justeru, sekat import haiwan dari China seperti kepak ayam dan haiwan-haiwan lain.

Selaku ahli parlimen dan mewakili rakyat sebagai Ketua Pembangkang, saya berharap kerajaan benar-benar serius menjaga nyawa rakyat Malaysia dengan tidak hanya melihat kepada pendapatan dari industri pelancongan semata-mata.

Kita harus mencegah sebelum ia menjadi parah.

Janganlah nanti sudah terhantuk baru tengadah. Jika ini terjadi ia sudah tidak berguna lagi.

SM

Monday, December 30, 2019

Ahli Parlimen bimbang penahanan pelancong bawa kesan negatif

Jason Santos
-December 30, 2019 12:17 AM

Chan Foong Hin (kiri) dan Liew Vui Keong menyuarakan kebimbangan serta mencadangkan pindaan undang-undang selepas 4 pelancong China ditahan lebih 2 minggu di Sabah baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, undang-undang imigresen perlu dihormati, tetapi “penguatkuasaan keterlaluan” hanya akan membawa kesan negatif kepada Tahun Melawat Malaysia 2020, susulan penahanan 4 pelancong China lebih 2 minggu di Sabah.

“Sabah tidak boleh membenarkan ini berlaku lagi. Jangan ambil mudah ketibaan pelancong China. Ada banyak tempat menarik di kawasan lain di dunia ini untuk dilawati,” kata setiausaha DAP Sabah itu.

Penahanan 4 wanita China selama 18 hari dari 10 hingga 28 Dis lalu menimbulkan kebimbangan berhubung kesan ke atas industri pelancongan Sabah.

Pengarah Imigresen Sabah, Muhamad Sade Mohamad Amin dilaporkan berkata, 4 wanita itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Shanghai pada 4 Dis lalu, tetapi pasport mereka tidak dicop di kaunter imigresen.

Mereka ditahan ketika pemeriksaan pasport di Lapangan Terbang Tawau pada 10 Dis lalu, selepas 6 hari melawat Tawau dan Semporna.

Pegawai imigresen berkata, mereka melanggar Akta Imigresen kerana gagal melaporkan diri ke kaunter imigresen setibanya di negara ini. Mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau 5 tahun penjara, jika sabit kesalahan.

Kes mereka hanya didengar di Mahkamah Sesyen Tawau semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 18 hari selepas 4 wanita itu mengaku bersalah gagal melaporkan diri ke kaunter imigresen setibanya di negara ini.

Kes itu mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong yang menggesa usaha dilakukan untuk memastikan pelancong asing dimaklumkan mengenai undang-undang imigresen Malaysia.

Christina berkata, beliau hanya tahu mengenai kes itu pada 24 Dis lalu, manakala Vui Keong pula akan membangkitkan isu itu di Kabinet dan mencadangkan pindaan undang-undang untuk membenarkan ikat jamin terhadap kesalahan sedemikian.

Konsulat jeneral China mengadu kejadian sama pernah berlaku beberapa kali.

Daily Express melaporkan 4 warga China termasuk seorang wanita mengandung ditahan di pusat tahanan Menggatal atas kesalahan sama pada Disember tahun lalu.

Akhbar itu melaporkan 4 wanita dalam kejadian terbaru ini ditahan lebih lama kerana tiada hakim yang boleh mendengar kes mereka disebabkan cuti perayaan.

Seramai 3.879 juta pelancong melawat Sabah pada 2018 dan menyumbang RM8.342 bilion kepada pendapatan negeri itu dengan pelancong China paling ramai, iaitu 593,623 orang.

Sunday, December 29, 2019

Isu visa: Bermulalah Melayu merempat di bumi sendiri

Bimbang akan timbulkan masalah, jadi beban kepada negara
29/12/2019


BANGI, 2 Jamadilawal 1441H, Ahad – Majoriti rakyat di negara ini tidak bersetuju dengan pelaksanaan pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong China dan India sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Rata-rata mereka melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan kerana bertindak acuh tidak acuh kepada keselamatan negara.

Malahan, ada juga berasa tindakan sedemikian memberi galakan kepada pelancong untuk terus berada di negara ini.

Seperti pengguna media sosial Facebook, Zurida Darus yang menyifatkan, pengecualian visa akan membebankan lagi nasib rakyat, bahkan akan menimbulkan permasalahan.

“Saya tidak setuju orang China dan India masuk ke negara Malaysia tanpa visa. Nanti akan ada banyak masalah dan akan membebankan kita esok,” katanya.

“Tak tahu nak cakap apa dah, makin menjadi-jadi dah kerajaan sekarang ini. 1 demi 1 kejutan. Bukan nak menyelamatkan negara, tapi merosakkan negara adalah,” dakwa Ieda Dinieda.

“Kalau diamal perkara macam ini, alamat Malaysia akan dipenuhi pendatang asing. Dapat kad pengenalan, jadi pengundi. Tidak hairan satu hari nanti, imigran akan jadi Perdana Menteri,” kesal Muhd Ajmail.

“Benda ini akan memudahkan rakyat asing untuk terus menetap di Malaysia, terutama China dan India. Maka, agenda DAP akan bermula, dia akan perbanyakkan bangsa China di Malaysia. Maka strategi untuk pilihan raya akan datang lebih mudah.

“Sekiranya penguatkuasaan tidak lulus, maka bermulalah Melayu merempat di bumi sendiri,” dakwa Mohd Nordin Mohd Isa.

Semalam, kerajaan telah mewartakan dua perintah memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong dari China dan India dari 1 Januari ke 31 Disember 2020.

Ia bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan.

Menurut warta bertarikh 26 Disember semalam, pelancong itu hendaklah berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik yang disediakan.

Apabila selesai mendaftar, pelancong berkenaan perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan.

Friday, July 26, 2019

Nazri: Ramai netizen bodoh, cuma tahu merungut

Anne Muhammad 
Diterbitkan Hari ini 8:49 pagi 


Bekas menteri BN, Mohamed Nazri Aziz, hari ini tampil membela kerajaan PH dalam isu logo mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio itu wajar mengabaikan saja kritikan yang dibuat pengguna media sosial, sebaliknya menumpukan perhatian meningkatkan promosi untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini pada tahun depan.

Bahkan, kata Nazri, logo hanya memainkan peranan kecil saja untuk menarik pelancong berbanding langkah yang diambil melalui kaedah promosi lain.

“Tak usah peduli apa netizen cakap. Netizen bukan cerdik pun, buat apa semua tak kena.

"Netizen ni bodoh… buat apa semua tak kena, semua cuma tahu nak merungut," katanya kepada Malaysiakini.

Justeru Nazri yang sebelum ini ditugaskan mengepalai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berharap kerajaan melakukan tugas yang sepatutnya bagi membawa pelancong asing mengunjungi Malaysia.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan pengguna media sosial terhadap logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang baru dilancarkan perdana menteri pada 22 Julai lalu.

Itu tanda setia

Ia adalah gantian kepada logo terdahulu yang turut mendapat kecaman ramai kerana dianggap tidak memiliki nilai seni yang sepatutnya dan tidak berkualiti.

Logo itu ciptaan Alfred Phua Hong Fook, 23, yang dituduh menciplak idea orang lain, serta mempunyai kesilapan tata bahasa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi, pula berkata logo tersebut dihasilkan oleh pereka berkelulusan memiliki ijazah seni reka grafik kelas pertama dari institusi pengajian tinggi.

Baca Logo baru Tahun Melawat Malaysia 2020 diumum Mei

“Graduan ijazah kelas pertama tidak akan melakukan perbuatan tiru-meniru kerana dia tidak berminat memalukan dirinya sendiri.

“Hanya orang yang tidak pandai lukis akan meniru,” katanya.

Mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam logo berkenaan, Mohamaddin berkata, ia sudah betul dan hanya dianggap salah jika seseorang tidak mendalami bahasa Inggeris.

Nazri berkata tidak timbul isu beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan walaupun statusnya ketika ini seorang anggota parlimen pembangkang.

Sebaliknya kata pemimpin Umno yang terkenal dengan sikap suka berterus-terang itu, ia dibuat sebagai menyatakan kesetiaannya kepada negara.

“Pendapat ini sebagai tanda kesetiaan saya kepada Malaysia,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-