Showing posts with label pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Show all posts
Showing posts with label pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Show all posts

Saturday, December 17, 2016

20 NGO disiasat berhubung penerimaan dana asing - Nur Jazlan

JOHOR BAHRU: Kira-kira 20 daripada 50,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah disiasat sejak November kerana disyaki menerima dana yang meragui daripada individu serta organisasi luar negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata jumlah NGO yang disiasat berhubung perkara itu mungkin bertambah pada masa hadapan memandangkan polis tidak merancang untuk menghentikan skop penyiasatan sehingga kini.

"Siasatan perlu dilakukan untuk memastikan NGO-NGO ini tidak menjadi muka depan kepada pihak tertentu yang berniat menggugat demokrasi negara, kerana banyak negara di Barat dan juga mungkin di Asia telah digulingkan melalui cara NGO digunakan oleh pihak luar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pencarian Ikon Muslimah Johor 2016 di sini pada Jumaat.

Nur Jazlan berkata demikian ketika mengulas perkembangan siasatan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang dipercayai melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen dengan menggunakan dana yang diterima daripada Open Society Foundation (OSF).

Menurut laporan berita, OSF yang dipengerusikan George Soros itu, bukan sahaja menyalurkan dana kepada Bersih tetapi dipercayai turut membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya dan disyaki bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Nur Jazlan berkata biarpun perkara mengenai wang atau dana asing yang masuk ke dalam negara adalah di bawah tanggungjawab Bank Negara, namun polis perlu memastikan bahawa dana itu tidak digunakan bagi tujuan menggugat kestabilan dan demokrasi negara.

Malah, semalam, tambahnya, beliau menghadiri satu forum bersama Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan di Kuala Lumpur bagi membincangkan cara-cara terbaik untuk mengawal selia dana yang diterima daripada pihak tempatan dan antarabangsa.

Berhubung dakwaan kononnya terdapat NGO ditindas oleh polis dalam soal melakukan penyiasatan itu, Nur Jazlan berkata isu itu tidak timbul sama sekali.

"Kalau ada penindasan, kita siasat semua mereka tetapi ini kita hanya siasat NGO yang menerima dana tersebut dan menggunakannya untuk aktiviti selain daripada yang termaktub dalam perlembagaan mereka," katanya

Berhubung gesaan supaya kerajaan menutup pusat-pusat pemulihan dadah berikutan kadar penahanan penagih berulang masih tinggi, beliau berkata desakan itu tidak adil.
Ini memandangkan kebanyakan penagih yang dirawat di situ merupakan mereka yang mempunyai tahap ketagihan yang tinggi berbanding penagih yang mendapatkan rawatan di pusat-pusat sukarela.

"Apabila ketagihan berbeza, bermakna kaedah untuk merawatnya juga berlainan," katanya.

- Bernama

Monday, November 28, 2016

Tangani cubaan halang pindaan Akta 355

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 NOVEMBER 2016
Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Himpunan 355 anjuran Pas akan melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ia bagi mencetuskan kesedaran tinggi dalam kalangan umat Islam dan memberi pemahaman kepada masyarakat bukan Islam agar memberi sokongan ke arah memartabatkan mahkamah syariah.

“Sokongan umat Islam tanpa mengira latar belakang parti politik, NGO, pendidikan, kaum, bangsa dan bahasa lidah. Demikian juga bukan Islam yang memahami bahawa ini adalah hak yang mesti dipulangkan kepada umat Islam.

“Adalah suatu yang sangat penting untuk berdepan dengan provokasi, ugutan dan ancaman melampau.

"Ia (cabaran) datang dari pihak tertentu yang mahu menggagalkan hasrat pindaan Akta 355 dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang jahat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Baru-baru ini. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, satu himpunan umat Islam besar-besaran secara tertib dan aman diadakan sebelum Mac tahun hadapan.

Perhimpunan bertujuan menjelaskan sebab pindaan Akta 355 dilakukan dan sekali gus meraih sokongan umat Islam terhadap pindaan tersebut.

Nasrudin berkata, Pas akan menubuhkan Sekretariat Himpunan 355 ini pada minggu hadapan yang mewakili parti politik, NGO, aktivis masyarakat dan tokoh individu.

"Sekretariat ini akan mengadakan sidang media khas sebaik sahaja ia ditubuhkan kelak bagi menjelaskan perkara yang perlu kepada umum.

"Sekretariat ini akan menetapkan tarikh dan tempat Himpunan 355 tersebut serta menggariskan objektif dan pelan bertindak bagi memastikan ia berjaya dilangsungkan dengan cemerlang kelak," katanya.

Monday, August 24, 2015

Bersih 4.0: Pas tak kerah ahli atau penyokong sertai perhimpunan

Pendirian Pas untuk tidak mengerahkan ahli dan penyokong menyertai Himpunan Bersih 4.0 disebabkan tarikh penganjuran yang berselang sehari dengan sambutan Hari Kemerdekaan selain bertembung dengan program parti itu. Foto fail TRP

KUALA LUMPUR, 24 Ogos:

PAS tidak akan mengerahkan ahli-ahli dan penyokong ke Himpunan Bersih 4.0 yang dijadual pada 29 dan 30 Ogos ini, sekalipun bercadang menghantar wakil sebagai menyokong tuntutan Bersih dalam aspek pilihan raya telus dan adil.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pendirian untuk mengerahkan ahli serta penyokong berikutan beberapa program yang sedang dirancang parti politik itu.

Sekalipun, mengakui perhimpunan secara aman di mana rakyat dapat menyuarakan pandangan secara bebas dan tidak provokatif adalah amalan demokrasi yang tidak sewajarnya dihalang.

Namun, pada masa sama, tegasnya, ketenteraman awam dan kestabilan negara mesti dijaga dan menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Tarikh Himpunan Bersih 4.0 yang berselang sehari dengan tarikh sambutan Hari Merdeka 31 Ogos adalah dirasakan tidak sesuai,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Selain itu, kata Takiyuddin, tarikh penganjuran Himpunan Bersih 4.0 juga bertembung dengan Siri Jelajah Munaqasyah ucapan dasar presiden dan Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak) yang berlangsung di negeri-negeri pada setiap Sabtu dan Ahad, berakhir 3 Oktober depan.

Malah, pendirian Pas juga berdasarkan pertimbangan untuk mengadakan Kongres Rakyat pada 12 September depan, yang membabitkan ahli serta pimpinan Pas pelbagai peringkat di seluruh negara.

Turut dijangka terbabit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan orang awam, bagi membincangkan pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama dan penyelesaiannya konstruktif.

Sehubungan itu, beliau beranggapan, seluruh komitmen sumber dan organisasi parti wajar digerakkan secara menyeluruh bagi Kongres Rakyat.

Pada masa sama, katanya, Pas turut giat menganjurkan Himpunan 60,000 pada 17 Oktober depan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/24/bersih-4-0-pas-tak-kerah-ahli-atau-penyokong-sertai-perhimpunan/#ixzz3jk2rjma8

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-