Showing posts with label racun. Show all posts
Showing posts with label racun. Show all posts

Sunday, March 17, 2024

KKM larang jual produk coklat jenama Slymchoco atau Slymochoco

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 16, 2024 
Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan dan penggunaan produk coklat jenama Slymchoco atau Slymochoco yang dikesan mengandungi racun berjadual Sibutramine iaitu sejenis sebatian kimia yang bertindak sebagai pemendam rasa lapar atau selera makan.

KKM dalam kenyataan hari ini mengingatkan semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk terbabit diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk berkenaan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan itu.

"Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaan produk terbabit serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan.

"Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang," menurut KKM.

Menurut kenyataan itu, label pada produk berkenaan juga didapati tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama sebutan sebenar produk dalam Bahasa Malaysia, tiada nama dan alamat pengilang atau pembungkus atau pengedar atau empunya hak untuk mengilang atau pengimport. dan mempunyai akuan "premium", selain turut memaparkan label Skim Pensijilan GMP dan Skim Pensijilan MeSTI KKM palsu.

Sehubungan dengan itu, KKM memberitahu produk terbabit tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Kementerian memaklumkan berdasarkan data daripada satu kajian di peringkat antarabangsa dikenali sebagai "Sibutramine on Cardiovascular Outcome Study (SCOUT)", Sibutramine didapati mempertingkatkan risiko kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok terhadap pesakit obes yang mengambil ubat berkenaan.

"Justeru, KKM memutuskan Sibutramine sebagai bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.

"Antara kesan sampingan Sibutramine yang dilaporkan ialah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju walaupun dalam keadaan rehat.

"Selain kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya," menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, Sibutramine banyak disalah guna dalam produk makanan bagi memberikan kesan penurunan berat badan.

Di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan tiada penjualan produk makanan yang dicampur atau mengandungi bahan terlarang ini, menurut KKM.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan menegaskan bahawa status keselamatan produk-produk makanan di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti Sildenafil, Tadalafil, Sibutramine, Dexamethasone dan Prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq," menurut kenyataan itu.

- Bernama

Wednesday, March 29, 2023

Kenapa ikan buntal beracun, memudaratkan manusia?

bahrian.com.my
Oleh Wartawan BH 
bhnews@bh.com.my
- Mac 29, 2023 @ 11:04am
Ikan Buntal yang juga disebut 'ikan fugu' yang tergolong ke dalam satu jenis racun semulajadi yang paling bahaya dan mematikan di dunia.

KUALA LUMPUR: Jumaat lalu, seorang wanita maut manakala suaminya dimasukkan ke Unit Rawapan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), di Kluang, Johor selepas dikatakan memakan hidangan ikan buntal.

Kenapa ikan buntal beracun dan boleh membawa maut?

Ikan buntal atau pufferfish adalah sejenis ikan yang ramai mengenalinya dari famili Diodontidae dan iaitu dalam order Tetraodontiformes yang sering dijumpai di negara kita.

Ia juga disebut 'ikan fugu' yang tergolong ke dalam satu jenis racun semula jadi yang paling bahaya.

Ikan buntal sering kali digunakan sebagai bahan makanan dalam masakan di Jepun seperti sushi atau sashimi.

Disebabkan oleh kandungan racun tetrodotoksin di dalamnya maka memang tidak semua orang boleh mengolah ikan unik itu menjadi hidangan yang lazat.
Dalam kalangan masyarakat di pinggir laut dan sungai di Malaysia, kebanyakan mereka tahu bagaimana untuk menyiang ikan buntal beracun ini sehingga boleh dimakan.

Adalah memang disyorkan untuk memperhatikan terlebih dahulu fakta ikan buntal yang sangat beracun ini sebelum dimakan.

Dilaporkan di mana jenis racun yang dikenali sebagai tetrodotoksin yang terdapat di dalam ikan buntal adalah racun yang boleh menyerang sistem saraf dan sangat mematikan.

Racun itu didakwa lebih mematikan berbanding racun sianida (cyanide).

Di negara Jepun sendiri pernah dilaporkan di mana ada sekitar lima hingga 10 kes keracunan ikan buntal setiap tahun berlaku. Meskipun begitu, ada kes keracunan akibat ikan buntal yang masih dapat diselamatkan dengan rawatan segera oleh doktor perubatan.

Proses membersihkan ikan buntal perlu berhati-hati kerana racun tetrodotoksin tersimpan di dalam hati, kelenjar kelamin, kulit dan usus ikan buntal.

Cara membuang organ tersebut harus dibuang secara hati-hati dengan teknik khusus supaya daging ikan tidak tercemar dengan racun tersebut.

Selalunya ikan buntal hanya dihidangkan dengan selamat dimakan oleh chef yang pakar membuatnya sahaja.

Racun tetrodotoksin tidak akan hilang walau ikan buntal dimasak atau dibekukan.

Menurut blog Anim Agro Technology, jika tidak diproses dengan betul maka racun dari organ tubuh ikan buntal boleh menyebar dan terserap ke dalam dagingnya.

Ada empat tahap gejala keracunan ikan buntal iaitu tahap 1 kawasan sekitar mulut terasa kebas atau mati rasa, gangguan pencernaan, seperti mual, muntah, sakit perut, yang biasanya muncul 10 hingga 45 minit selepas memakan ikan itu.

Gejala tahap 2 ialah mati rasa di wajah, sukar berbicara, kehilangan keseimbangan, dan tubuh terasa lemah dan sukar bergerak manakala gejala tahap 3 pula keracunan ikan buntal akan membuat tubuh menjadi lumpuh atau tidak mampu bergerak dan pupil mata membesar.

Gejala tahan 4 pula menyebabkan pesakit gagal bernafas, kadar oksigen di dalam tubuh berkurangan (hipoksia), jantung berdetak lebih lambat dari biasanya (bradikardia), penurunan tekanan darah (hipotensi), gangguan degupan jantung, dan penurunan kesedaran.

Gejala keracunan ikan buntal biasanya muncul dalam hitungan 20 minit hingga 3 jam setelah racun ikan buntal masuk ke dalam tubuh.

Pada Jun 2021, empat maut di Desa Hoder di Sika, Nusa Tenggara Timur, Indonesia kerana memakan ikan buntal beracun manakala 13 lagi orang dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit perut yang serius.

Tuesday, December 10, 2019

Suntikan steroid sintetik, antibiotik dan hormon bagi tumbesaran pantas ayam?

By Kasthuri Jeevendran
- 10 December 2019


KUALA LUMPUR – Adakah benar dakwaan wujudnya segelintir pihak yang tamak haloba untuk mengaut keuntungan apabila bertindak luar batasan dengan menyuntik antibiotik bagi mempercepatkan tumbesaran ayam?

Apa yang mengemparkan ialah ayam-ayam itu dipercayai bukan sahaja disuntik antibiotik haram malah sebanyak tiga dos steroid sintetik dan hormon tumbesaran disalurkan ke dalam badan ayam-ayam ini.

Perkara tersebut didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George yang mendapat maklum balas dan kebimbangan pengguna tentang tahap keselamatan pengambilan ayam dari ladang-ladang.

Kata beliau, setelah disuntik dengan steroid, antibiotik dan hormon, ayam-ayam itu perlu dijual dalam tempoh antara 30 hingga 40 hari sahaja.

“Seandainya gagal menjual ayam-ayam ini, ada dakwaan ayam-ayam ini akan mati secara sendiri atau dibunuh dengan menyuntik racun ke atas mereka.

“Persoalan kini yang sedang berlegar dalam CASSA, adakah dakwaan ini benar?

“Sekiranya tuduhan itu benar akibatnya kepada pengguna bukan sahaja membimbangkan tetapi memudaratkan. Ada juga tuduhan mengatakan pemilik ladang, keluarga serta pekerja mereka tidak pula makan ayam-ayam kerana sedia maklum dengan bahaya ini.

“Pendek kata, adakah pengambilan ayam-ayam ini bermakna kita berdepan dengan bahaya penyakit seperti kanser?,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Datuk Jacob George
Jacob menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan ayam-ayam dari ladang selamat untuk dimakan.

“Saya benar-benar mohon kepada pihak berkuasa supaya tidak sesekali memandang sebelah mata dengan dakwaan ini apatah lagi ia membabitkan nyawa manusia.

“Adalah amat penting supaya semua hasil dari ladang melalui ujian terlebih dahulu selain penyeliaan dan penguatkuasaan yang serius. Jangan buat main perkara seperti ini.

“Kebimbangan kita ada asas apatah ayam adalah antara makanan asas yang dimakan oleh masyarakat kita.

“Penting sekali supaya pihak berkaitan, pemerhati bebas, agensi anti rasuah mengawasi pelaksanaan kajian serta siasatan diambil dengan kadar segera supaya kebenaran dapat diketahui oleh umum.

“CASSA juga tidak akan sesekali berkompromi dengan isu-isu seperti ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Jacob berkata, sumber memberitahu antara lokasi yang terlibat dengan aktiviti itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.

“Sumber pengguna saya juga ada memberitahu perkara menyuntik ayam seperti ini banyak dilaporkan di Indonesia sebelum ini, ada kemungkinan pekerja asing dalam kalangan mereka yang bekerja di sini membantu penternak kita di sini dengan memberikan ‘idea’ seperti ini.

“Saya ingin tegaskan di sini, ini adalah dakwaan serius dan pihak berkuasa terutamanya dua kementerian ini menyiasat secara menyeluruh, andainya ini tidak benar, baguslah. Tolong jangan ambil mudah, itu sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini terdapat laporan tentang segelintir penternak menggunakan antibiotik ke atas ternakan mereka terutama ayam bagi menggalakkan tumbesaran dan meningkatkan daya tahan terhadap penyakit yang memberi kesanbahaya kepada pengguna. 

MalaysiaGazette

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-