Showing posts with label terowong. Show all posts
Showing posts with label terowong. Show all posts

Monday, March 4, 2024

Saksi mengaku tak beritahu SPRM pada 2018 duit RM2 juta untuk Guan Eng

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Mar 4, 2024 2:37 PM
Seorang saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulai Pinang mengaku tidak pernah memberitahu SPRM pada 2018 bahawa rasuah RM2 juta ditujukan untuk bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberi keterangan demikian semasa prosiding pencabaran terhadapnya berhubung kredibilitinya sebagai saksi dalam perbicaraan kes rasuah itu.

Perbicaraan dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu diadakan selepas peguam Lim dibenarkan mengakses 31 muka surat daripada 108 muka surat keterangan yang diberikan Zarul kepada SPRM, daripada keterangan yang direkodkan agensi itu pada Januari dan September 2018.

Pasukan pembelaan, yang diketuai oleh Haijan Omar, berhujah antara lain Zarul tidak mempunyai kredibiliti sebagai saksi, berikutan kenyataan SPRM yang tidak menyebut bahawa RM2 juta itu adalah untuk Lim.

Haijan: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa kedua-dua keterangan ini (kepada SPRM pada 2019), anda tidak menyebut bahawa cek RM2 juta dan baucar bayaran adalah untuk Lim Guan Eng?

Zarul: Masa tu ya.

Semasa pemeriksaan balas hari ini yang bertukar panas berkali-kali semasa perbicaraan, Zarul juga tidak bersetuju bahawa bayaran RM2 juta berasingan - yang bertujuan untuk membolehkan saksi mendekati perdana menteri ketika it, Najib Razak - adalah sama dengan RM2 juta yang diberikan untuk Lim.

Tahun lepas, saksi pendakwaan dalam perbicaraan ini memberi keterangan bahawa RM2 juta telah dibayar kepada ahli perniagaan, G Gnanaraja pada 2017 untuk membolehkan Zarul mendekati Najib Razak.

Prosiding pendakwaan di hadapan hakim Azura Alwi disambung pada Rabu.

Perbicaraan rasuah utama di hadapan Azura ditangguhkan sehingga selesai prosiding pemecatan.
Lim dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah membabitkan rancangan pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri pada masa itu untuk menerima suapan wang bernilai RM3.3 juta sebagai dorongan untuk melantik syarikat Zarul melaksanakan projek berkenaan yang bernilai RM6,341,383,702.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Dia turut berdepan dua pertuduhan penyelewengan dalam melupuskan dua petak tanah milik kerajaan Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM208 juta kepada pemaju projek terowong tersebut.

Monday, December 21, 2020

Akhirnya, Kes Rasuah Guan Eng Dibicara Jua, Hakim Tetapkan Perbicaraan Mulai Jun 2021

mykmu.net
December 21, 2020


Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 31 hari bermula Jun tahun depan bagi perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang memohon agar kesemua kes yang dihadapi Lim, 58, dibicarakan bersama.

“Terdapat satu kes dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang. Saya mohon untuk dipindahkan ke mahkamah di sini untuk dibicarakan bersama-sama kes di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya membuat permohonan untuk kesemua kes dibicarakan bersama selaras dengan Seksyen 61 Akta SPRM kerana ia melibatkan tertuduh sama,” katanya pada prosiding sebutan kes tersebut hari ini.

Azura menetapkan tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 Sept, 20 hingga 24 Sept dan 13 hingga 17 Dis, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 29 Mac depan.

Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 80 hingga 90 orang saksi termasuk saksi formal dalam perbicaraan tersebut.

“Pihak kami juga telah menyerahkan lapan jilid dokumen kepada pihak pembelaan untuk diteliti sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

Pihak pembelaan yang diwakili peguam Gobind Singh Deo mengesahkan perkara itu dan memohon tarikh sebutan kes seterusnya ditetapkan pada bulan Mac tahun depan.
“Pihak kami memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen yang diberikan. Yang Berhormat (Lim) juga menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Butterworth dan kemungkinan akan ada tarikh lain ditetapkan nanti,” katanya.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pembelaan yang memohon kehadiran tertuduh dikecualikan pada tarikh pengurusan kes akan datang.

Terdahulu, Lim mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan bagi kes di bawah Seksyen 16(A)(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM yang dibacakan semula jurubahasa terhadapnya hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu ketua menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley Cit, di Kuala Lumpur pada Mac 2011, antara 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Lim dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar di Pulau Pinang, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

– Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-