Showing posts with label ubi kayu. Show all posts
Showing posts with label ubi kayu. Show all posts

Saturday, April 6, 2024

Makan ubi kayu ganti beras tunggu isu BPT selesai, cadang Johari

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-06 Apr 2024, 04:30 PM

Ubi kayu dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sebagai sumber karbohidrat, kata speaker Dewan Rakyat itu.
Johari Abdul berkata, langkah menggantikan beras dengan ubi kayu boleh menyelamatkan rakyat daripada terbelenggu dengan isu beras yang melanda negara ini.

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mencadangkan rakyat menggantikan nasi dengan sumber karbohidrat lain seperti ubi kayu, sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Beliau berkata, ubi kayu dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sebagai sumber karbohidrat disebabkan khasiatnya yang lebih tinggi berbanding beras.

“Kalau beras menjadi isu, apa tujuan kita makan beras…untuk dapatkan karbohidrat. Saya rasa ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras, iaitu makan ubi kayu.

“Saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, di negeri itu (Sarawak) tanam ubi kayu yang digunakan sebagai makanan tambahan, sebab khasiat ubi kayu hebat dibandingkan gula yang ada dalam beras,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana, Sungai Petani, bersama Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Katanya, langkah itu boleh menyelamatkan rakyat daripada terbelenggu dengan isu beras melanda negara.

Rakyat di negara ini, tambahnya, mempunyai potensi sangat besar untuk menghasilkan sumber makanan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada bekalan makanan import.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan peluang kepada rakyat untuk mengusahakan tanah terbiar bagi menanam pelbagai sumber makanan.

“Kadang-kadang kebergantungan kita kepada makanan dari luar negara ini amat hebat, kira-kira setahun lalu kita import dalam bajet hampir RM60 bilion…ini satu jumlah besar, tetapi baru-baru ini di Perak, terbukti kita boleh tanam bawang,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa BPT masih tidak tersedia di pasaran, walaupun setelah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkannya diedar ke seluruh negara.

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, dalam tinjauannya ketiga pasar raya di Kota Kemuning, Shah Alam sebelum ini, didapati hanya beras putih import (BPI) yang dijual.

Saturday, November 25, 2023

Banjir: Buah import tak laku, ramai cari ubi kayu

kosmo.com.my
Oleh ROHANA MOHD. NAWI
25 November 2023, 8:35 am

MOHD. NASRUIRZAN menunjukkan ubi kayu untuk dijual di Kampung Padang Kala, Peringat, Kota Bharu, semalam.ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Seorang peniaga buah-buahan membuat pesanan satu tan ubi kayu untuk dijual di musim tengkujuh yang bermula Ahad lalu.

Mohd. Nasruirzan Mohd. Yaakob, 30, berkata, dia membuat pesanan beberapa hari lalu dan bekalan sampai malam tadi daripada seorang penduduk di Kampung Beris, Bachok.

Menurutnya, jualan ubi kayu dan keledek sangat laris apabila tibanya musim tengkujuh berbanding dengan buah-buahan import.

“Saya membuat pesanan satu tan ubi kayu selain ubi keledek, ubi keling dan ubi itiķ. Saya jual ubi kayu dengan harga RM4
sekilogram dan keledek juga dijual dengan harga RM4 juga.

“Orang ramai mula membeli ubi kayu di kedai saya sebaik bekalan sampai,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Kala, Peringat di sini, semalam.

Mohd.Nasruirzan berkata, buat masa ini, jual buahan-buahan import kurang mendapat sambutan dan jualannya juga merosot menyebabkan dia beralih kepada menjual ubi.

“Saya mengambil peluang di musim tengkujuh ini dengan menjual ubi kayu dan keledek kerana kebanyakan penduduk memang gemar makan ubi kayu rebus selain membuat kuih muih.

“Jualan ubi kayu tidak akan rugi kerana tahan lama, tidak mudah buruk seperti buah-buahan. Kalau musim banjir orang di Kelantan lebih suka makan ubi,” katanya.

Sunday, October 8, 2023

Orang Asli dakwa beras dijual mahal di pedalaman

freemalaysiatoday.com
08 Oct 2023


Orang Asli Gua Musang berkata ubi kayu juga sudah tiada kerana kawasan kebun sudah menjadi ladang Musang King.
Orang Asli suku kaum Temiar, Anglah Angah, 41 mendakwa beras 10kg dijual lebih RM50, berbanding beras berat sama, RM39, jika di bandar Gua Musang.

GUA MUSANG:
Penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini mendakwa terpaksa membeli beras pada harga tinggi seperti ditetapkan oleh peruncit.

Orang Asli suku kaum Temiar Anglah Angah, 41, yang tinggal di Kampung Kelaik, Pos Blau berkata beliau antara penduduk terkesan dengan harga barangan mahal dikenakan kepada pembeli di kawasan pedalaman.

Anglah berkata, disebabkan tidak tahan dengan harga tinggi, adakalanya beliau terpaksa keluar ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan asas.

“Di kampung harga 10kg beras mencecah sehingga RM50 lebih, beras 5kg dijual dengan harga mencecah RM20, manakala sepeket gula pula dijual pada harga RM5.

“Ahli keluarga saya seramai lapan orang jadi 10kg beras hanya boleh tahan untuk seminggu sahaja. Hari ini saya menempuh perjalanan hampir 100km dengan motosikal untuk datang ke bandar Gua Musang mendapatkan beras yang lebih murah hanya RM39 untuk 10 kg,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru.

Menurut seorang lagi penduduk, Along Uda, 30, penduduk yang majoriti bekerja kampung dan mencari hasil hutan semakin tertekan dengan harga barangan yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

“Kebanyakan penduduk di kampung ini menjual buluh di Blue Valley, Tanah Tinggi Cameron (Pahang) dengan harga RM0.50 sebatang. Harga buluh semakin murah tetapi harga beras dan makanan lain semakin naik.

“Kita memang terhimpit dengan keadaan sekarang kerana kami bergantung makanan asas dengan beras kerana ubi kayu sudah tiada sebab kawasan kebun sekarang sudah menjadi ladang Musang King,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang, Zamzani Harun berkata pihaknya telah mendapat aduan secara lisan dari penduduk Orang Asli yang rata-ratanya tinggal di kawasan pedalaman mengenai harga barangan tinggi di penempatan mereka.

“Mereka mengadu harga beras naik mendadak dan penduduk yang tinggal di pedalaman ini meminta Gerakan Pengguna supaya memantau harga di kawasan terbabit.

“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya melakukan lawatan dan penyiasatan.

“Saya harap kenaikan harga makanan asas ini tidak berpanjangan dan kerajaan dapat menangani isu ini untuk membolehkan pihak pemborong dan peruncit memberi harga berpatutan kepada pengguna,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-