Tuesday, January 27, 2015

Bila kerajaan nak gubal Akta Pengabaian Ibu Bapa?

KUALA LUMPUR 27 JAN- Ketika kerajaan bercadang mentakrifkan perbuatan merotan anak sebagai kesalahan jenayah, Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Mohd Izad Buqhary Mohd Kamil pula tampil dengan soalan sinis:

‘Bagaimana pula dengan kes anak yang mengabaikan ibu bapa mereka?’


Katanya, Akta Pengabaian Ibu bapa lebih perlu dilaksanakan memandangkan tiada peruntukan undang-undang khusus di negara ini bagi menghukum anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.

“Saban tahun berlaku peningkatan bilangan warga emas yang ditinggalkan di hospital mahupun di rumah-rumah jagaan warga tua.

“Sudah sampai masanya kerajaan menyusun undang-undang yang lebih ke depan dan bukannya memfokuskan kepada satu golongan sasar atau apabila timbul isu yang viral sahaja,” katanya dalam kenyataan media.

Justeru beliau menggesa kerajaan menggubal Akta Penjagaan dan Kebajikan Ibu Bapa (Maintenance and Welfare of Parents Act) seperti dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, India dan termasuk negara jiran Singapura.

“Sebagai contoh Akta Penjagaan Ibu Bapa Singapura, memperuntukkan bahawa setiap warganegara yang berusia 60 tahun ke atas dan tidak berupaya menyara kehidupan, berhak menuntut nafkah daripada anak-anak mereka.

“Selain itu saudara-mara terdekat boleh memohon tindakan mahkamah bagi pihak ibu bapa yang teraniaya tersebut,” ujarnya.

Menurut Izad, langkah kerajaan untuk menghukum ibu bapa yang merotan anak amat tidak praktikal dengan budaya majoriti masyarakat Malaysia, khususnya yang beragama Islam.

Katanya lagi, peruntukan sedia dalam Akta Kanak-Kanak 2001 juga secara tersirat merangkumi perbuatan merotan yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 dan penjara sehingga 10 tahun.

“Apakah rasional memasukkan juga perkataan merotan ini di dalam peruntukan undang-undang? Tidakkah dilihat implikasi besar yang bakal menimpa ibu bapa mahupun guru-guru kelak?” soalnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-