Friday, March 6, 2015

Berebut Kek Lapis Sarawak



KUCHING: Kejadian yang memalukan dan tidak diduga telah berlaku di acara yang hebat digembar-gemburkan dan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di sini beberapa hari lalu. Ia adalah majlis untuk menyambut Tahun Baru Cina dan meraikan lawatan rasmi Najib, dan dihoskan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk James Chan.

Malang bagi penganjur, apabila segalanya yang berlaku telah dirakam dalam video berdurasi 1 minit 47 saat oleh seorang hadirin melalui telefon pintarnya.

Seorang pakar “spin” yang bagus akan dapat menjelaskan kejadian malang ini dengan mudah dan bersahaja kepada wartawan keesokan harinya.

Sebaliknya, Datuk Bandar memilih untuk membuat kenyataan dengan menyalahkan tetamu sepenuhnya. Langsung tidak disebut tentang kakitangan Rela yang dibayar untuk menjaga keselamatan.

Daripada apa yang saya lihat dalam video itu, serta berdasarkan cerita saksi mata, sejumlah hadirin yang besar, iaitu kira-kira 4,000-5,000 warga tempatan telah dengan penuh sabar menunggu program itu berakhir. Kesemuanya mula hadir lebih awal, kira-kira jam 6 mengharapkan makanan dan minuman percuma yang dijanjikan penganjur.

Acara bermula kira-kira jam 7 petang dan hanya berakhir pada jam 9 malam. Ketika itu, hadirin yang sudah tidak senang duduk dan lapar dilihat menolak pengawal-pengawal Rela yang membentuk benteng manusia bagi mengawal meja panjang yang penuh dengan makanan yang tersusun tinggi. Tentunya meja plywood lipat dengan kaki yang tidk kukuh sukar menampung makanan yang menimbun tinggi.

Seolah-olah menunggu pistol pemula ditembak, hadirin dilihat menyerbu ke arah meja dan seseorang (boleh jadi pengawal Rela atau tetamu) telah terlanggar bahagian meja yang tidak kukuh itu. Meja itu pun runtuh, menjatuhkan ratusan pek makanan di atasnya.

Ia kemudian menjadi “siapa cepat dia dapat”, dan semua berebut mengambil apa sahaja yang termampu untuk diri sendiri. Sebahagiannya dengan penuh gembira mengambil 5-6 pek, setakat mana yang mereka boleh bawa. Pengawal Rela yang lain dilihat membaling pek makanan itu secara rawak – satu keajaiban apabila ia tidak terkena kanak-kanak atau bayi yang turut ada dalam kerumunan itu.

Dan pada keesokannya, Chan sebagai pengerusi penganjur, terus mengecam individu yang memuatnaik video tersebut di media sosial, kemudian kerumunan di sekitar meja (tanpa menyedari mereka adalah tetamu!) dan akhir sekali mengalihkan kesalahan kepada “seseorang yang terjatuh dan menyebabkan meja runtuh.”

Sambungnya lagi, “klip visual itu telah menyebabkan warga Kuching dilihat sebagai orang yang tidak beradab. Saya tidak fikir mereka ingin berkelakuan sedemikian. Sebagai warga Kuching, anda tidak sepatutnya merosakkan imej bandar anda dengan tunjukkan perkara seperti itu.”

Mereka juga memberi asalan, tujuan makanan tidak diedarkan sehingga jam 9 malam, walaupun ramai yang hadir menjangka akan dapat makan pada jam 6, adalah untuk memastikan hadirin kekal di sana untuk mendengar ucapan tetamu-tetamu kehormat. Nampaknya ia bagi menunjukkan sokongan pengundi tempatan terhadap BN.

Insiden itu juga menunjukkan kegagalan dan kekurangan latihan pengawal Rela yang sepatutnya menjaga keselamatan dan mengedarkan pek-pek makanan secara teratur.

Pengawal-pengawal ini juga mendapat bayaran yang agak baik – pasti ada yang tertanya-tanya sama ada mereka ada menerima latihan atau tidak. Tindakan mengambil makanan yang jatuh ke tanah dan membalingkan secara rawak kepada tetamu juga adalah satu penghinaan yang besar!

Pada masa akan datang, penganjur bagi majlis seumpama ini di mana orang ramai dijemput hadir – terutama apabila ia turut dihadiri tokoh seperti Perdana Menteri dan Ketua Menteri – perlu memastikan bahawa keselamatan dijadikan keutamaan paling atas. Selain itu, atur cara majlis juga haruslah dirancang dengan memikirkan hadirin, bukannya membiarkan insiden malang seperti ini berlaku tahun demi tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-