Saturday, July 25, 2015

Apa dah jadi dengan PAS Selangor.....?

Wakil rakyat PAS Selangor sertai GHB, enggan letak jawatan

OLEH JAMILAH KAMARUDIN
Wakil rakyat PAS yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) berpendapat, tidak ada sebab untuk mereka meletakkan jawatan kerana mereka bukan dipilih daripada kalangan ahli PAS sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.

Wakil rakyat PAS di Selangor yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) menolak desakan beberapa pemimpin PAS yang menggesa supaya meletakkan jawatan atas alasan undi yang diperoleh mereka berdasarkan sokongan Pakatan Rakyat (PR) walaupun bertanding atas tiket parti Islam itu.
Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud (gambar, kanan) berkata, tidak ada sebab beliau berbuat demikian kerana dirinya masih ahli PAS yang sah dan GHB bukan satu entiti parti politik.

Katanya, undi majoriti 29,000 yang diperoleh adalah berdasarkan rakyat yang memilih PR dan bukan hanya terhad daripada ahli PAS sahaja, malah menganggapnya satu pembaziran berjuta ringgit jika memaksa diadakan semula pilihan raya.

"Saya masih ahli PAS. Saya tidak akan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen kerana saya dipilih oleh rakyat. Yang undi saya bukan ahli PAS sahaja.

"Jadi, saya masih berkhidmat untuk rakyat dan akan teruskan khidmat saya," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu mencabar ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor yang lain meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana mereka juga menang disebabkan tiket PR.

Katanya, PAS bukan lagi sebahagian kerajaan PR di Selangor selepas pendirian rasmi Dewan Ulama PAS Pusat membatalkan hubungan dengan DAP pada 11 Julai lalu.

"Adun PAS perlu letak jawatan sebab mereka menang atas sokongan PR bukan hanya undi PAS. Kena faham situasi di Selangor tak sama macam di Kelantan," katanya.

Ditanya kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din mengenai wakil rakyat yang menyertai GHB diharamkan menikmati gaji dan elaun, Dr Mariah menegaskan wang itu bukan untuk tujuan peribadi tetapi untuk rakyat.

"Selama ini saya bukan goyang kaki dan saya dibayar oleh kerajaan untuk rakyat, bukan untuk PAS atau hanya untuk isu PAS sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, desakan supaya meletakkan jawatan kerana menyertai GHB itu tidak logik kerana bukan undi ahli PAS sahaja yang membawa kemenangan semasa pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, PAS Pusat perlu bermesyuarat, keluarkan satu kenyataan rasmi dan menghantar surat rasmi kepada mereka yang terlibat bagi melenyapkan kekeliruan pandangan peribadi yang berbeza mengenai status mereka.

"Ada yang kata belum langgar peraturan, ada yang kata sudah langgar.

"Sepatutnya pendirian datang bukan melalui media tetapi melalui surat mengenai pendirian rasmi yang diputuskan PAS Pusat selepas mendengar penjelasan kedua-dua pihak," katanya yang masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Seperti Dr Siti Mariah, beliau juga menganggap kenyataan Haron sebagai satu pandangan peribadi.

"Itu pandangan dia, kita pun ada hujah sendiri," katanya yang menjangkakan PAS Pusat bermesyuarat pada 8 Ogos ini.

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman semalam dilaporkan berkata, Adun dan ahli Parlimen PAS yang berhasrat menyertai GHB perlu mengosongkan kerusi mereka kerana ia ditandingi dan dimenangi atas tiket PAS.

"Mengapa terlalu lama untuk isytiharkan diri keluar PAS? Kenapa perlu berselindung?" soalnya dalam satu kenyataan, mengulas laporan sebuah akhbar mengenai tiga wakil rakyat Selangor dikatakan menjadi sebahagian daripada GHB.

Selain Dr Siti Mariah, 2 lagi adalah Adun Morib Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Klang Saari Sungib, kedua-duanya sebelum ini digantung keahlian kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/wakil-rakyat-pas-selangor-sertai-ghb-enggan-letak-jawatan#sthash.Q3Z2JksU.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-