Tuesday, July 21, 2015

Najib akan kekal berkuasa kerana sokongan Umno, kata Kadir Jasin

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kelab penyokong eksklusifnya di Umno mungkin tidak akan memenangi pertempuran dalam pendapat awam tetapi mereka ada kuasa politik, kata seorang bekas ketua pengarang. – Gambar fail The Malaysian Insider.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan kekal berkuasa kerana mendapat sokongan daripada panglima perang dan penyokong parti Umno walaupun majoriti rakyat mendesaknya supaya berundur, kata Datuk A. Kadir Jasin hari ini.

Bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times itu berkata, Najib yang kini diserang dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan desakan supaya meletakkan jawatan, mungkin tidak memenangi suara rakyat tetapi akan terus memerintah negara melainkan ada pemberontakan dalaman Umno.

"Najib dan kelab penyokong eksklusifnya mungkin tidak akan memenangi pertempuran dalam pendapat awam tetapi mereka ada kuasa politik, sekurang-kurangnya bertahan sehingga pilihan raya akan datang.

"Beliau tidak perlukan sokongan yang mencurah-curah. Beliau hanya perlukan menteri, ketua bahagian Umno, media arus perdana dan penyokong yang setia kepadanya," katanya dalam blog sempena tulisan artikelnya ke-1,000, hari ini.

Kadir berkata, walaupun pelbagai kritikan terhadap Najib, termasuk kelantangan pendahulunya Tun Dr Mahathir Mohamad dibuat secara berterusan, perdana menteri itu akan terus kekal.

"Dr Mahathir, penulis blog, Sarawak Report, pembangkang, kumpulan perbualan melalui WhatsApp, pengguna Instagram dan Facebook boleh mengkritik dan bercakap, malah boleh menganggap mereka berjaya tetapi Najib akan kekal.

"Melainkan ada pemberontakan Umno seperti peristiwa Bestille oleh rakyat Perancis pada 1789 yang menyaksikan Raja Louis XVI dan isterinya yang tidak bertimbang rasa, Marie Antoinette dikenakan hukuman pancung, Najib akan terus kekal.

"Dengan kuasa yang ada padanya melalui 48% sokongan undi Barisan Nasional semasa pilihan raya umum 2013, beliau boleh terus memerintah, walau apa pun yang terjadi, sehingga pilihan raya akan datang. Ini realitinya sekarang," katanya.

Beliau juga merujuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong setia parti kerana berkhidmat untuk perdana menteri menyekat akses Malaysia kepada laman web pemberi maklumat Sarawak Report.

"Beliau mungkin lemah dan tidak berjaya, tetapi masih ada lagi orang - yang terbaru Shabery, yang satu ketika dulu seorang yang bijak - menjalankan khidmat kepadanya demi kuasa dan wang. Wang, menurut Najib, adalah raja," katanya.

Beliau turut mempertikaikan keturunan Najib yang mendakwa berdarah pahlawan Bugis, bercanggah dengan dasar pelaksanaannya dan slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

"Slogan 1Malaysia 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan' kini dipandang sepi ekoran tekanan ekonomi dan beban cukai barangan dan perkhidmatan.

"Sekarang ini nampak lebih kepada 'Najib didahulukan rakyat kemudian'," katanya.

Najib enggan berundur daripada jawatannya atas alasan dipilih secara demokratik, malah menyalahkan Dr Mahathir sebagai punca segalanya kerana beliau enggan tunduk kepada permintaan peribadi.

Beliau pada Jun lalu juga membuat keputusan menangguhkan pemilihan Umno 2016 selama 18 bulan, sekali gus memberi peluang kepadanya untuk kekal berkuasa lebih lama.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-akan-kekal-berkuasa-kerana-sokongan-umno-kata-kadir-jasin#sthash.jeeTJSdR.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-