Tuesday, July 21, 2015

Saya tidak pernah kata letak jawatan dalam PAS, kata Hatta

Bekas pengarah pilihan raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli berkata, Gerakan Harapan Baru (GHB) yang disertainya bersama pemimpin progresif dalam PAS lain yang tersingkir pada pemilihan parti awal bulan lalu, bukan bertaraf parti politik. – Gambar fail The Malaysian Insider.

Bekas pengarah pilihan raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli menafikan meletak jawatan dalam parti Islam itu sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar melalui laman portalnya hari ini.

Katanya, Gerakan Harapan Baru (GHB) yang disertainya bersama pemimpin progresif dalam PAS lain yang tersingkir pada pemilihan parti awal bulan lalu, bukan bertaraf parti politik.

"Benar kami menyertai Gerakan Harapan Baru tetapi tidak ada sebarang keputusan untuk meninggalkan parti lagi," kata Dr Hatta kepada The Malaysian Insider ketika mengulas laporan dalam laman web New Straits Times hari ini.

Portal berita itu melaporkan, Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai meletakkan jawatannya dalam parti untuk menyertai GHB.

"GHB bukan sebuah parti, buat apa saya tinggalkan PAS?" soal Hatta yang turut menyertai majlis jelajah GHB yang diadakan di Kota Baru, Kelantan malam tadi.

Susulan PAS dikuasai sepenuhnya golongan ulama pada pemilihan Jun lalu, GHB dilancarkan secara rasmi pada 13 Julai dengan bekas timbalan presiden Mohamad Sabu dilantik sebagai pengerusi protemnya.

Ia kini sedang menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

Malam tadi, GHB mengadakan jelajahnya yang pertama di Kota Baru dan Kangar dan menerima sambutan hangat orang ramai.

Tekanan dari pimpinan PAS semakin kuat agar anggota yang menyertai kumpulan ini meninggalkan parti itu di samping meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat sama ada ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri.

Ia turut dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat yang lalu namun kepimpinan utamanya menolak cadangan agar tindakan diambil ke atas mereka.

Hatta antara yang mendapat tekanan agar meletak jawatan sebagai ahli Parlimen dan meninggalkan parti itu secara rasmi agar pilihan raya boleh diadakan semula di kerusi berkenaan.

Desakan secara rasmi dibuat melalui ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan Nazman Che Iberahim dalam satu kenyataan bertulis sebelum ini.

Menurut perlembagaan PAS, keahlian anggotanya gugur secara automatik jika menyertai mana-mana parti politik yang lain.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/saya-tidak-pernah-kata-letak-jawatan-dalam-pas-kata-hatta#sthash.guJ0l0B1.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-