Sunday, August 30, 2015

Bersih 4: Jawapan paling mudah dari Dr Mahathir..............

Dr M: Saya sokong rakyat, bukan BERSIH

Zulaikha Zulkifli 
Kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan BERSIH 4 buat kali kedua hari ini, ternyata memberi kejutan banyak pihak.

Mahathir bagaimanapun berkata kehadirannya pada perhimpunan tersebut bukan sebagai tanda menyokong BERSIH 4, sebaliknya untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat.

Jelasnya, beliau menyokong tindakan rakyat berhimpun di Dataran Merdeka untuk menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatannya.
"Saya sokong rakyat bukan BERSIH. BERSIH pun rakyat, mereka pun tak suka Najib.

"Ada orang nak bagi buruk nama saya kononnya saya sokong BERSIH. BERSIH pun rakyat. Bukan semua pakai baju kuning, ada juga yang tak pakai baju kuning.

"Saya hadir sebagai solidariti kepada rakyat," katanya ketika ditanya pemberita berhubung kehadirannya ke perhimpunan itu di sebuah restoran di Pusat Seni hari ini.
Negarawan itu hadir ke Pusat Seni dengan menaiki KTM Komuter dari Salak Selatan dan turun di stesen Kuala Lumpur kemudian berjalan ke Pasar Seni.

Hari ini adalah kali kedua Mahathir itu hadir ke perhimpunan BERSIH 4. Beliau yang hadir ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bagaimanapun tidak memakai baju kuning.

Mahathir dan isterinya ditemani bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Ditanya sama ada beliau menyokong demonstrasi sebagai tindakan menjatuhkan kerajaan, perdana menteri selama 22 tahun itu berpendapat ia merupakan pilihan terakhir yang rakyat perlu lakukan.

Dengan mengambil contoh bekas Presiden Filipina Ferdinand Marcos, Dr Mahathir berkata bekas pemimpin negara itu itu digulingkan oleh rakyat melalui demonstrasi.
"Kalau kerajaan tak peduli undang-undang, kenalah guna demonstrasi. Itu pilihan terakhir. Lihat Marcos bila dia merosakkan negara, mereka terpaksa buang dia," katanya.

Ditanya sama ada Dr Mahathir pernah menyertai mana-mana perhimpunan sebelum ini, beliau dengan ringkas berkata:

"Pertama kali macam ini."

Kehadiran Tun di Pasar Seni turut menjadikan keadaan kecoh tetapi terkawal.

Sidang media yang bermula kira-kira jam 5.00 petang itu berjalan selama kira-kira 20 minit sebelum beliau memberitahu pemberita untuk pulang ke rumah.

Sementara itu, Siti Hasmah pula menasihatkan kepada semua pihak supaya bersatu tanpa mengira parti politik.

Walaupun sebelum ini beliau dilihat kurang bercakap mengenai politik, namun hari ini isteri bekas perdana menteri itu memberi nasihat supaya semua rakyat bersatu.

"Sama seperti semasa kita ingin menuju kemerdekaan, bagaimana kita semua bersatu. Insha Allah.

"Tak kira BERSIH ke, PKR ke, PAS ke, kita orang Malaysia. Kalau kita bersatu padu kita akan capai matlamat kita," katanya.

Malah, dalam menuju ke arah penyatuan itu, beliau turut menasihatkan supaya tidak ada keganasan berlaku.

"Jadi, tolonglah, bila datang keadaan macam ini, tiada keganasan," katanya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-