Sunday, August 30, 2015

LANGSUNG: Dr Mahathir lawat perhimpunan Bersih 4 sekali lagi

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melambai kepada orang ramai ketika melawat perhimpunan Bersih 4 di Pasar Seni, Kuala Lumpur, jam 4.30 petang tadi.Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 30 Ogos, 2015.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat persinggahan mengejut di perhimpunan Bersih 4 malam tadi, melakukan satu lagi lawatan petang ini.

Bekas perdana menteri itu tiba di Pasar Seni, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.30 petang tadi dan dikerumuni orang ramai yang ingin bersalaman serta mencium tangannya.

Dr Mahathir berkata beliau tidak peduli mengenai tuntutan penganjur Bersih 4 tetapi berada di perhimpunan itu untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kunjungan hari ini, sama seperti malam tadi, ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim turut kelihatan ketika lawatan Dr Mahathir sebentar tadi.

Sementara itu, perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, melepasi 24 jam, sokongan untuk perhimpunan tersebut kekal kuat denga penganjur mengatakan kira-kira 300,000 peserta hadir hari ini.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata lebih ramai dijangka datang malam ini untuk saat akhir perhimpunan.

Maria yang dilihat bercakap dengan polis sebelum ini berkata penganjur dimaklumkan yang perayaan malam ini sempena Hari Kebangsaan dipindahkan ke Bukit Jalil sementara sambutan esok akan diteruskan seperti dirancangkan di Dataran Merdeka.

"Kami berbincang dengan Ketua Polis Daerah tentang sambutan Hari Merdeka malam ini yang akan berpindah ke Bukit Jalil. Sambutan esok akan kekal di Dataran Merdeka. Bersih akan berada di sini sehingga tengah malam. Saya rasa ia masuk akal kami sedang adakan perhimpunan ini. Polis tidak membincangkan Bersih. Mereka sangat bekerjasama dan kami akan teruskan program.

Maria berkata pihak penganjur tidak tahu Tun Dr Mahathir Mohamad akan datang ke Dataran Merdeka untuk melawat seketika semalam.

"Kami sedang bersembahyang pada waktu itu. Jika beliau datang hari ini, kami akan mengalu-alukannya sebagai peserta seperti yang lain." katanya.
Peserta perhimpuna di hadapan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 30 Ogos, 2015.

Meskipun dengan panas terik, ramai peserta kekal di Dataran Merdeka dan kawasan berdekatan, nekad untuk bersedia bagi pelbagai program di pengakhiran malam ini.

Perhimpunan Bersih 4 di Kuching, Sarawak berakhir awal pagi ini selepas pihak penganjur mendapati peraturan perhimpunan tidak diikuti.

Pengerusi Anjuran Bersih Kuching Nicholas Mujah berkata kehadiran 'terlalu ramai' kanak-kanak di perhimpunan semalam memaksa penganjur menghentikan perarakan lebih awal. Ia sepatutnya berakhir tengah malam ini.

Mujah juga mengatakan kehilangan sistem alamat awam merupakan sebagai sebab untuk pembatalan tersebut, menambah yang keputusan tersebut dibuat pada tengah malam semalam.

Selepas bermalam dengan aman di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi, peserta Bersih 4 hari ini mula berkumpul semula untuk meneruskan hari mereka sebelum perhimpunan 34 jam itu berakhir tengah malam ini.

Bagaimanapun, di Kota Kinabalu, Sabah, mereka yang berkhemah di tepi pantai di Taman Teluk Likas Dua, berurusan dengan pihak polis pagi ini yang datang untuk menghentikan rancangan jalan kaki demokrasi 6km mereka.
Perarakan Bersih 4 Sabah dari Taman Teluk Likas di Kota Kinabalu, Sabah. Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 30 Ogos, 2015.

Situasi di Kuala Lumpur terus aman setakat ini, dengan polis tidak langsung bertindak terhadap peserta perhimpunan yang berkumpul di sekitar Dataran Merdeka yang bersejarah, yang akan menjadi tapak sambutan Hari Merdeka esok.

Semalam, menurut penganjur, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), seramai 200,000 orang dianggarkan berkumpul ketika kemuncak perhimpunan itu kira-kira jam 4 petang walaupun pihak polis mengesahkan bilangan mereka hanya 29,000 orang.

Masih belum dapat dipastikan sama ada perhimpunan tersebut, yang diadakan untuk menuntut pembaharuan institusi, kerajaan yang bersih, hak untuk memproses dan langkah menyelamatkan ekonomi, akan menyaksikan lebih ramai peserta hari ini berbanding semalam.
Peserta perhimpunan mulai bergerak di kawasan Dataran Merdeka, kelihatan tulisan kapur berwarna di atas jalan raya. Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 30 Ogos, 2015.

IKUTI LINTAS LANGSUNG LAPORAN TERKINI DI SINI:

Ahad, 7.41pm: Pengerusi Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu mengimamkan solat Maghrib di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

7.30pm: Jumlah peserta terus bertambah, terutama di kawasan berhampiran stesen LRT Masjid Jamek. Semua bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

7.00pm: Naib Presiden PAS Idris Ahmad dilihat berpakaian kemeja T rasmi Perak PAS berwarna kuning berhampiran Dataran Merdeka. Dia ditemani beberapa rakan dan enggan beri komen ketika didekati media.

7.00pm: Momentum himpunan Bersih 4 semakin hebat apabila koc LRT kelihatan menurunkan penumpang yang sebahagian besarnya dilihat memakai kemeja T berwarna kuning.

Gerai menjual makanan seperti burger dan jagung dalam cawan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Gerai ini tidak kelihatan semalam namun pada masa sama, gerai menjual botol air mineral kurang rancak berniaga. Ini kerana sebahagian sukarelawan Bersih 4 kelihatan sentiasa mengagihkan air minuman dalam botol percuma.

6.56pm: Peserta di Dataran Merdeka menghiburkan diri dengan vuvuzela sementara menanti program berikutnya, yang termasuk ucapan pemimpin dan aktivis yang dijangka disambung semula pada 9 malam.

6.55pm: Polis berkata konsert Hari Kebangsaan diadakan di Bukit Jalil sudah diputuskan lebih awal dan bukan kerana perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka.

6.02pm: Persembahan tarian naga menuju ke Masjid Jamek sambil orang ramai menyorak "Bersih, Bersih".

4.30pm: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Pasar Seni, Kuala Lumpur bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas menteri umno, Datuk Zaid Ibrahim.

4.12pm: Hujan di kawasan pentas utama di Dataran Merdeka mula reda dan khalayak menyanyi bersama BangsArt.

4.09pm: Khalayak di stesen LRT Masjid Jamek LRT terus melaungkan "Bersih" dan meniup vuvuzela.

4.05pm: Ramai peserta berada di pentas utama untuk menyaksikan persembahan kumpulan muzik BangsArt.

4.04pm: Peserta meredah hujan dan berjalan ke arah pentas utama Bersih di Dataran Merdeka.

3.53pm: Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka sampai ke stesen LRT Masjid Jamek pada 4.30pm.

3.39pm: Ucapan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dihentikan sementara peserta perhimpunan mencari teduh dari hujan di gerai-gerai Jalan Masjid India dan di Jalan Melayu.

3.37pm: Walaupun hujan, peserta perhimpunan mula menyanyi "Terima Kasih Rakyat Malaysia."

3.34pm: Peserta perhimpunan mencari teduh dari hujan yang mula turun di Dataran Merdeka dan kawasan berhampiran.

3.30pm: Angin kuat dan awam mendung di Dataran Merdeka.

3.28pm: Himpunan menunjukkan sokongan kepada Sultan Johor dengan melaungkan "Daulat Tuanku", dipimpin Adun Seri Delima, R.S.N. Rayer.

3.10pm: Peguam dan peguam bela hak asasi manusia Datuk Ambiga Sreenevasan berkata: "Saya selalu percaya rakyat Malaysia tidak akan gagal mementingkan semangat kenegaraan. Yang patriotik akan turun padang mempertahankan hak rakyat. Jika terdapat elemen negatif, kami tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan negara. Inilah platform yang sewajarnya untuk meluahkan ketidakpuastian dengan korupsi. Sekiranya orang ramai tidak puas hati, kita mesti luahkan. Ini tanggungjawab kita kepada masa hadapan dan generasi baru."

3.08pm: Himpunan orang ramai semakin besar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, serta Masjid Jamek dan Dataran Merdeka, di mana satu lagi lori sebagai pentas sementara disediakan.

3.05pm: Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berucap kepada perhimpunan di pentas utama, mengatakan: "Kami sudah pun melepasi 24-jam perarakan, saya bangga yang sekurang-kurangnya 300,000 hingga 400,000 datang menunjukkan sokongan dan ketidakpuashatian mereka kepada kerajaan kini. 1MDB kini menjadi kata yang tidak boleh kita sebut. Anda boleh tipu orang kadangkala, tetapi anda tidak boleh selalu tipu orang.

2.43pm: Hujan renyai-renyai di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

2.27pm: Program di pentas di Jalan Tuanku Abdul Rahman juga bersambung.

2.20pm: Program disambung di pentas utama Bersih dengan wakil dari Ikram berucap kepada perhimpunan.

2.15pm: Maria Chin dan seorang wakil dari Suhakam dilihat bercakap kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi polis.

"Kami berbincang dengan Ketua Polis Daerah tentang sambutan Hari Merdeka malam ini yang akan berpindah ke Bukit Jalil. Sambutan esok akan kekal di Dataran Merdeka. Bersih akan berada di sini sehingga tengah malam. Saya rasa ia masuk akal kami sedang adakan perhimpunan ini. Polis tidak membincangkan Bersih. Mereka sangat bekerjasama dan kami akan teruskan program. Hari ini, kira-kira 300,000 peserta menghadiri perhimpunan. Mungkin ada lebih banyak malam ini. Saya tidak tahu Tun Dr Mahathir Mohamad akan datang semalam. Kami sedang bersembahyang pada waktu itu. Jika beliau datang hari ini, kami akan mengalu-alukannya sebagai peserta seperti yang lain." kata Maria.

2.05pm: Perhimpunan Bersih sudah pun melepasi 24-jam. Ramai peserta yang berada di Dataran Merdeka sejak semalam selepas berehat selepas solat Zohor nampak nekad untuk kekal di perhimpunan sehingga tengah malam, apabila perhimpunan berakhir secara rasminya.

12.57pm: Tempat makan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur menikmati perniagaan baik dari peserta perhimpunan yang makan tengahari.

12.48pm: Di Medan Pasar di Kuala Lumpur, terdapat suasana pesta dengan badut berjalan atas galah antara mereka yang menyebarkan mesej Bersih. Satu organisasi NGO juga mengumpul tandatangan untuk protes terhadap persempadanan semula.

12.35pm: Terdapat sekurang-kurangnya 40,000 peserta di Jalan Tun Perak kini, dengan lebih ramai lagi memenuhi kawasan. Banjir kuning di Masjid Jamek sementara mereka melaungkan "Jalan, jalan," untuk menggalakkan peserta bergerak. Dua lori dijadikan pentas sementara bagi pemimpin memberi ucapan.

12.06pm: Peserta Bersih 4 berehat sehingga 2 petang di Dataran Merdeka. Peserta Muslim akan menunaikan solat Zohor di hadapan pentas Bersih. Penganjur mengingatkan perhimpunan supaya jangan membunyikan vuvuzela semasa waktu solat sebagai tanda hormat.

11.59am: Pengerusi Bersih Sabah Jannie Lasimbang menyatakan perhimpunan adalah berjaya walaupun perarakan demokrasi tidak dibenarkan berterusan.
Anggota polis menyekat jalan ke pusat bandar Kota Kinabalu untuk peserta perhimpunan Bersih 4.Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 30 Ogos, 2015.

11.58am: Sabah Bersih mengumumkan perarakan demokrasi tamat selepas tidak dibenarkan memasuki pusat bandar. Penganjur memberi satu ucapan terakhir sebelum meminta peserta bersurai.

11.48am: Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli berkata kagum dengan orang muda seperti aktivis Adam Adli dan Shukri Razab. "Kami rakyat Malaysia, kami menderita. Kami di sini sudah dua hari. Tidak pernah dalam sejarah negara kami berkumpul untuk sesuatu lebih dari 5 jam. Saya tabik semua di sini. Jika kita berjaya hari ini kita boleh lakukan perkara sama pada masa depan," katanya kepada peserta perhimpunan.

11.45am: Sekumpulan peserta Orang Asal menuju ke kawasan berhampiran Sogo di Kuala Lumpur.

11.44am: Pengerusi Sabah Bersih Jannie Lasimbang meminta polis yang menjaga penghadang supaya membenarkan perarakan terus ke pusat bandar Kota Kinabalu.

11.39am: Pemimpin Bersih Sabah berunding dengan polis untuk dibenarkan berarak ke dalam pusat bandar Kota Kinabalu.

11.38am: Perhimpunan semakin terlalu besar untuk Jalan Tun Perak, penganjur meminta orang ramai ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.

11.35am: Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) meletakkan penghadang untuk menghalang peserta Bersih berarak ke hadapan ke dalam pusat bandar Kota Kinabalu.

11.27am: Di satu lagi pentas berdekatan stesen LRT Masjid Jamek, penganjur membenarkan seorang peserta bercakap kepada perhimpunan.

11.10am: Ramai peserta dilihat mencari teduh daripada terik matahari di bawah bangku yang disediakan untuk sambutan Hari Merdeka.

11.07am: Empat laporan polis dibuat terhadap perhimpunan Bersih 4 di Kuching, kata OCPD ACP Kuching Roslan Bek.

11.05am: Polis masih menjaga penghadang yang menghalang peserta Bersih 4 dari memasuki Dataran Merdeka.

11.02am: Peserta di Dataran Merdeka memenuhi kerusi yang dinaikkan untuk sambutan Hari Merdeka.

10.53am: Penganjur Bersih Kuching secara rasminya membatalkan perhimpunan hari ini. Menurut penganjur, kehilangan sistem alamat awam dan kehadiran "begitu ramai kanak-kanak" yang melanggar peraturan, merupakan sebab bagi pembatalan tersebut.
Perhimpunan Bersih 4 dibatalkan hari ini kerana salah satu peraturannya tidak diikuti. – Gambar The Malaysian Insider, 30 Ogos, 2015.

10.52am: Sabah Bersih berhenti seketika dalam perarakan demokrasi di Taman Teluk Likas I dalam perjalanan ke pusat bandar Kota Kinabalu.

10.33am: Sabah Bersih membuat perhentian pertama di bulatan hadapan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dalam perarakan demokrasi supaya peserta boleh berehat. Mereka juga menyanyi beberapa lagu.

10.27am: Perhimpunan menuju ke pentas utama Bersih seramai 5,000 orang dan lebih lagi menyertai jumlah tersebut dari Masjid Jamek dan kawasan sekitar. Terdapat beberapa persembahan menari dan nyanyian dijalankan.

10.25am: Aktivis pelajar Adam Adli mengambil alih bagi vokalis kumpulan muzik BangsArt yang menghiburkan peserta perhimpunan di Dataran Merdeka kerana vokalis Amir Abd Hadi sakit tekak. Beliau dijangka balik malam ini dengan lagu baru.

10.18am: Lebih 3,000 berarak ke Dataran Merdeka dari Dataran Maybank di Jalan Tun Perak.

10.10am: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata perhimpunan hari ini tidak mengganggu raptai sambutan Hari Kemerdekaan esok.

10.08am: Perarakan demokrasi Bersih Sabah di Kota Kinabalu riuh bermula walaupun kehadiran kurang, dipercayai kerana sekatan jalan.

10.00am: LRT penuh dengan penumpang memakai kuning menuju ke pusat bandar untuk menyertai peserta lain.
Komuter LRT dipenuhi penumpang yang dalam perjalanan ke Dataran Merdeka, berpakaian kuning kemeja-T Bersih 4. Gambar The Malaysian Insider oleh Rahman Koya, 30 Ogos, 2015.

10.01am: Peserta Bersih Sabah berdoa sebelum memulakan perarakan demokrasi.


10.04am: Beratus lagi datang dari Dataran Maybank di Pudu. Trafik seperti biasa di persimpangan Lebuh Ampang dan Jalan Tun Perak. Peserta hanya berkumpul selepas persimpangan yang menuju ke Dataran Merdeka.

9.58am: Peserta Bersih Sabah bersedia untuk perarakan demokrasi ke pusat Kota Kinabalu.

9.49am: Perhimpunan di Dataran Merdeka semakin ramai sementara peserta dari Dataran Maybank di Pudu menuju ke dataran tersebut. Kebanyakan berjalan kaki, ada juga yang menaiki LRT.

9.30am: Nyanyian lagu Negaraku.

9.15am: Upacara sembahyang antara agama diadakan selepas senaman pagi. Seorang sami Buddha bersama 3 lelaki Muslim memimpin upacara mengikut agama masing-masing dari atas lori yang berfungsi sebagai pentas sementara Bersih 4.

9am: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah bertemu wartawan di kawasan protes berdekatan Dataran Merdeka.
Sukarelawan berpakaian kemeja-T Bersih 4 mengasingkan sampah dari beg plastik sampah di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Raja. Gambar The Malaysian Insider, 30 Ogos, 2015.

Beliau berkata tidak benar yang tiada Melayu menyertai Bersih 4, mengulas laporan berita yang peserta perhimpunan kebanyakannya dari kaum lain.

"Kita tidak boleh nafikan yang terdapat lebih bukan Melayu yang menyertai. Tetapi bukannya tiada Melayu yang sertai. Ini merupakan satu perjuangan untuk semua rakyat Malaysia, dan kita tidak boleh melihatnya melalui kaum," katanya.

Sementara itu, helikopter tentera berlegar di ruang udara Dataran.

Selepas Maria habis berucap, wakil Bersih 2.0 Ivy Josiah berdiri di pentas dan memimpin beratus-ratus peserta membuat senaman dan regangan.

Sekumpulan sukarelawan dalam kemeja-T Bersih 4 juga mulai mengasingkan sampah dari beg plastik sampah di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Raja.

8.30am: Di KOTA KINABALU, sukarelawan menyediakan sarapan untuk khemah peserta Bersih 4 di Taman Teluk Likas Dua, sementara polis berpakaian uniform dan biasa tiba dan mengelilingi tapak kem tersebut.
Polis berpakaian vest merekodkan butir-butir IC beberapa peserta Bersih Sabah. Gambar The Malaysian Insider, 30 Ogos, 2015.

Beberapa anggota polis mulai masuk untuk bercakap dengan peserta sebelum perarakan demokrasi mereka yang dijadualkan.

Polis juga mulai merekodkan butir-butir IC beberapa peserta Bersih Sabah.

8.20am: Menjelang pagi, hasil kerja beberapa peserta perhimpunan mulai jelas dilihat, dengan jalan raya di kawasan Dataran Merdeka ditulis dengan kapur berwarna. Peserta menaikkan bendera Malaysia dengan slogan seperti "Kami mahukan perubahan", "Kami mahukan bersih dan adil", "Kamu mahukan keamanan" dan "Hey Malaysia, masa untuk bangun!".
Anggota polis mulai mengambil kedudukan di belakang penghadang di Dataran Merdeka pagi ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 30 Ogos, 2015.

Anggota polis mula mengambil kedudukan di belakang penghadang di kawasan Dataran Merdeka.

7.55am: Sementara peserta di Kuala Lumpur mula bangun daripada malam yang berjalan lancar di jalanan, Bersih 4 KOTA KINABALU tampak bersedia untuk pertembungan dengan polis bagi mereka yang nekad berarak demokrasi 6km di ibu kota.

Jalan Tun Fuad Stephens yang dirancang digunakan untuk perarakan tersebut kosong selepas disekat polis pagi ini.

Walaupun begitu, ditambah dengan amaran polis, peserta masih masuk melalui parkir kereta untuk perarakan.

7.30am: Di KOTA KINABALU, polis menutup semua jalan raya yang menuju ke tapak perkhemahan Bersih 4 di Taman Teluk Likas Dua di Kota Kinabalu sementara menunggu perarakan demokrasi pagi ini. Polis memberi amaran kepada peserta supaya jangan teruskan dengan perarakan 6km itu.

6.50am: Ahli Parlimen Batu Tian Chang yang juga dikenali sebagai Tian Chua, bercakap kepada kumpulan peserta kecil di luar bangunan Sultan Abdul Samad. Turut bersamanya ialah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang menggalakkan peserta supaya kekal dengan demonstrasi 34-jam itu.

"Saya yakin Bersih 4 boleh menarik jumlah yang ramai walaupun masanya amat sukar," kata Khalid.

Peserta yang tidur di jalanan mula bangun dan mengemaskan barang masing-masing.

6.44am: Peserta dilihat bergerak dari kawasan protes utama di kawasan Dataran Merdeka. Salah seorang dari mereka berkata akan pulang mandi dan datang semula.

Sebelum ini, peserta perhimpunan yang mengedarkan kopi percuma berkata mereka membawa 10 kilogram serbuk kopi untuk menyediakan 2,000 cawan minuman itu.

Poster kuning kumpulan tersebut yang tertera "Tak Mau Duit Kopi" merupakan ayat yang bermaksud penolakan rasuah.

6.10am: Pengerusi Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu mengetuai sekumpulan peserta perhimpunan menunaikan solat subuh berhampiran Dataran Merdeka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dilihat ceria selepas keluar daripada khemahnya.

5.30am: Menjelang subuh, beberapa penyokong Bersih mula menuangkan kopi, sebanyak 2,000 cawan disediakan untuk diagihkan secara percuma kepada peserta perhimpunan yang tidur di sekitar Dataran Merdeka.

Di persimpangan Lebuh Ampang dan Jalan Tun Perak, ahli dan penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan kon trafik untuk menyekat laluan di mana penunjuk perasaan sedang tidur dan menggesa penunggang motosikal termasuk anggota polis tidak memasuki kawasan itu dan mengganggu peserta.

"Semua orang setakat ini sudah memahami apabila kita memberitahu mereka, walaupun pihak polis," kata ahli PSM yang juga ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar.
Perhimpunan dikejutkan dengan kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat lawatan tidak dijangka. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 30 Ogos, 2015.Perhimpunan dikejutkan dengan kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat lawatan tidak dijangka.Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 30 Ogos, 2015.

4.15am: Biarpun kebanyakan peserta sudah berehat dan tidur di atas jalan raya, sebahagian peserta lain membentuk 2 kumpulan menggunakan kapur berwarna menulis di atas sepanduk mereka bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Salah satu lukisan menunjukkan kotak derma dengan tulisan "2.6b" di atasnya yang merujuk kepada sumbangan politik RM2.6 bilion disalurkan ke dalam akaun perdana menteri itu, sebahagian besar dana itu dipindahkan sebelum pilihan raya umum pada Mei 2013.

Najib kini mengalami tekanan berhubung pemindahan deposit itu di tengah-tengah skandal yang didakwa melibatkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd.

3.15am: Biarpun tidur dalam keadaan tidak selesa – beberapa peserta membentang helaian surat khabar di atas jalan raya – tiada siapa yang merungut kelaparan.

Beberapa peserta perhimpunan – dilihat menawarkan makanan percuma seperti nasi lemak, mi hon dan sandwic.

Ketika ditemui, mereka mengatakan makanan itu ditaja oleh "syarikat besar".

Makanan dan minuman juga dijual di gerai sementara, manakala kedai 24 jam di kawasan itu seperti 7-Eleven, tidak putus-putus dipenuhi pelanggan yang berpakaian kuning.

2.50am: Biar sudah larut malam, kanak-kanak masih dilihat berada di kalangan peserta perhimpunan di sekitar Dataran Merdeka, sebahagian daripada mereka menjerit "Bersih!" setiap kali kumpulan peserta perhimpunan lain mula melaungkannya.

Sebuah keluarga dengan anak-anak mereka datang dari Port Dickson berkata mereka teruja untuk menjadi sebahagian daripada peserta perhimpunan selama 34 jam di ibu kota itu.

Forsyn Soh, 41, juga membawa bersama anak perempuannya yang berumur 6 tahun.

"Saya beritahu dia supaya tinggal di rumah, tetapi dia berkeras untuk datang," kata Soh sambil menambah ini merupakan kali pertama dia dan keluarganya mengambil bahagian dalam perhimpunan jalanan ini.
Peserta perhimpunan Bersih 4 berkumpul di kawasan berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sementara menanti program berikutnya.Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 29 Ogos, 2015.

"Saya berasa amat patriotik datang ke perhimpunan ini. Saya datang ke sini hanya satu alasan yang sama seperti orang lain iaitu menuntut keadilan," katanya.

2.30am: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang tidur di dalam sebuah khemah di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Beliau tidur di dalam khemah di atas jalan tar yang terletak dalam zon penampan (buffer zone) antara tempat polis berkawal dan kain pemidang Bersih 4 yang melarang peserta himpunan masuk ke kawasan dataran.

Relawan Bersih bagaimanapun enggan membenarkan wartawan The Malaysian Insider merakam gambar pemimpin veteran DAP itu di dalam khemahnya.

2.17am: Satu bengkel pendidikan sivik sedang berlangsung di luar bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut.

Sekumpulan kira-kira 20 penonton perhimpunan melakukan perbahasan Parlimen seperti sesi Dewan Rakyat terhadap apa yang perlu dilakukan selepas tamat perhimpunan Bersih 4 esok.

2.04am: Presiden Majlis Peguam Steven Thiru mengesahkan kepada The Malaysian Insider mengenai penangkapan beberapa peserta perhimpunan di Melaka mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak kerana memakai t-shirt Bersih 4.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Ginie Lim sudah menulis di Twitter beliau yang 20 orang sudah ditangkap mengikut akta itu kira-kira jam 9.30 malam tadi.

"Di Balai Banda Kaba sekarang," tulis beliau.

Kementerian Dalam Negeri pada petang Jumaat mengharamkan pemakaian t-shirt kuning dan tertera perkataan "Bersih 4" mengikut akta itu.

1.45am: Ketika ini sedang berlangsung “Sidang Rakyat” di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut.

“Sidang Rakyat” ini merupakan seperti perdebatan di Dewan Rakyat namun ia berlangsung di atas jalanraya dan keahliannya terbuka kepada semua peserta perhimpunan yang hadir mendengar sidang, mengundi serta mengajukan usul.

Sekarang, mereka sedang membahaskan langkah seterusnya yang perlu dilakukan selepas himpunan Bersih 4 ini tamat – sama ada wajar atau tidak untuk menyampaikan surat kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat mengenai perjalanan himpunan kali ini.

“Sidang Rakyat” yang sama pernah dianjurkan aktivis Fahmi Reza sewaktu beliau dan sekumpulan aktivis mahasiswa berkampung di Dataran Merdeka pada acara “Occupy Dataran” pada 2012.

1.05am: Pasukan perubatan yang ditempatkan berhampiran Dataran Merdeka berkata mereak sudah merawat 13 kes keracunan makanan kira-kira sejam yang lalu.
Peserta mengangkat tangan ketika berkumpul berhampiran Datarang Merdeka, Kuala Lumpur malam ini dalam perhimpunan Bersih 4 anjuran kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 yang mendesak perubahan dalam institusi kerajaan.Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 29 Ogos, 2015.

Seorang ahli pasukan itu berkata punca kes itu dipercayai daripada paket minuman percuma yang diedarkan untuk peserta perhimpunan.

Enam pesakit sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, ia membabitkan 2 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Mangsa tertua adalah berusia 52 tahun.

12.48am: Beberapa peserta perhimpunan berdekatan penghadang di sekitar Dataran Merdeka sedang bersiap sedia untuk tidur dengan peralatan tidur masing-masing manakala beberapa peserta lain hanya berbaring di atas jalanraya berbantalkan beg galas mereka.

Kain rentang berwarna kuning yang dibuat penganjur, Bersih 2.0 digantung pada penghadang bagi mengingatkan peserta supaya tidak melintasi sempadan Dataran Merdeka.

Sementara itu, tali rafia diikat pada tiang sempadan oleh peserta perhimpunan bagi mengelakkan mereka menyeberang ke kawasan Dataran Merdeka.

12.30am: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo daripada DAP dilihat menurunkan tandatangan pada beberapa helai t-shirt Bersih 4 dan bergambar bersama peserta perhimpunan di Dataran Merdeka.

Terdapat kehadiran beberapa anggota polis dan polis trafik di kawasan itu.

Sebahagian daripada mereka dilihat berada berhampiran kompleks membeli-belah Sogo dan juga berdekatan lampu isyarat berdekatan Swiss Hotel.

12.09am: Peserta perhimpunan mendirikan khemah di hadapan stesen LRT Masjid Jamek.

Ribuan peserta perhimpunan Bersih 4 masih berada di luar bank OCBC di Jalan Tun Perak hingga ke Dataran Merdeka.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/langsung-peserta-bersih-4-bersedia-untuk-hari-ke-2#sthash.f5gpKf3l.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-