Saturday, August 1, 2015

Peguam wakili Rosmah sangkal dakwaan John Berthelsen

Published: 1 August 2015 1:13 AM
Tetuan Noorhajran Mohd Noor berkata dakwaan John Berthelsen dalam satu artikelnya dilihat boleh membawa keburukan dan kerosakan terhadap reputasi isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 31 Julai, 2015.

Sebuah firma guaman yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyangkal dakwaan terhadap anak guamnya dalam sebuah artikel tulisan John Berthelsen yang disiarkan semalam bertajuk 'Malaysian PM's Wife Seeks Central Bank Governors's Ouster'.

Tetuan Noorhajran Mohd Noor dalam satu kenyataan akhbar berkata dakwaan itu dilihat boleh membawa keburukan dan kerosakan terhadap reputasi isteri perdana menteri itu.

"Sindiran dan dakwaan itu dibuat dengan niat untuk mencemar nama baik Rosmah atas kedudukan peribadi beliau dan sebagai isteri perdana menteri.

"Perkataan yang digunakan John dalam artikel tersebut adalah boleh membawa mudarat, manakala fakta tidak benar yang digunakannya merupakan sindiran tajam yang membawa konotasi dan boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap Rosmah kerana ia disiarkan dalam domain awam," kata kenyataan itu.

Katanya lagi, perkara itu tergambar melalui perkataan, antaranya "...of Rosmah to drive out and have gone after the Governor of the Central Bank, indeed trying to get Zeti sacked, revenge, demanded, resign, dodgy transfers, Rosmah behind the dramatic move to shuffle disloyal cabinet out of government are malicious lies and fabrication of facts to defame and cause injury to the reputation of Rosmah.

(perbuatan Rosmah mengejar dan mengeluarkan Gabenor Bank Pusat, sebenarnya adalah cubaan untuk memastikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dipecat, dendam, menuntut, meletak jawatan, pemindahan secara berbahaya, Rosmah di belakang langkah memecat anggota kabinet yang tidak setia daripada kerajaan)...adalah pembohongan yang berniat jahat dan mereka-rekakan fakta bagi memfitnah dan menyebabkan kerosakan terhadap reputasi Rosmah).

"Rosmah tidak pernah menuntut agar Zeti mencari siapakah yang membocorkan transaksi dalam tempoh 72 jam atau beliau perlu meletak jawatan, seperti yang ditulis John.

Dalam siaran akhbar pada 10 Julai yang dikeluarkan firma ini bagi pihak Rosmah, perkataan yang digunakan ialah "adalah diharapkan" agar Bank Negara Malaysia (BNM) segera dan/atau dalam tempoh 72 jam, menjalankan siasatan serta mengumumkan dapatannya mengenai perbuatan membuat pendedahan yang bersifat ofensif tanpa kebenaran, bagi pihak bank berkenaan. Tidak terdapat tanda-tanda gabenor itu diburu bagi membalas dendam mengenai kebocoran yang berlaku dan/atau menuntut peletakan jawatan.

"Kenyataan itu sebenar-benarnya adalah tidak betul, berniat jahat dan nakal," kata firma guaman itu.

Kenyataan itu seterusnya berkata permintan yang dibuat oleh Rosmah lahir daripada keprihatinan beliau tentang ketidakwajaran dan perbuatan yang secara terang-terangan mendedahkan secara tidak sah akaun peribadi beliau kepada umum.

Pada pandangan beliau (Rosmah), sekiranya tindakan positif tidak diambil bagi menyiasat pencerobohan terhadap akaunnya, perkara serupa juga boleh berlaku terhadap akaun pengguna perbankan lain dan ini boleh menghakis kepercayaan pelabur serta pengguna institusi kewangan.

"Sehubungan itu, anak guam saya menuntut agar John membuat permohonan maaf tanpa syarat dan secara sukarela kepada Rosmah mengenai semua dakwaan itu dalam masa 48 jam akan datang.

Dalam pemberitaan dan pelaporan secara bertanggungjawab, kesopanan perlu diamalkan, dihayati dan diambil kira agar tidak mengutuk dan menghina hak orang lain," katanya.

"Sejajar dengan amalan kewartawanan yang bertanggungjawab, langkah perlulah diambil untuk mengesahkan sesuatu maklumat sebelum ia disiarkan dan percaya bahawa ia adalah sesuatu yang betul melalui penyiasatan secara bertanggungjawab. Mengikut pengetahuan saya, tiada siasatan dibuat terhadap anak guam saya," kata kenyataan firma itu.

"Jika John mendapati terdapat justifikasi dan asas daripada semua sumber yang berpengetahuan dan mempunyai maklumat sahih yang diperoleh Asia Sentinel daripada ahli akademik dan penganalisis politik (seperti yang disebut beliau dalam artikelnya) adalah benar, maka dia perlu menyerahkan semua maklumat itu kepada pihak berkuasa berkenaan untuk dibuat siasatan dalam tempoh 48 jam akan datang.

Anak guam saya menyokong sebarang penyiasatan yang dijalankan secara sah oleh pihak berkuasa berkenaan tentang perkara ini. Bagaimanapun, janganlah hendaknya berlaku pendakwaan secara berpilih," katanya. – Bernama, 31 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/peguam-wakili-rosmah-sangkal-dakwaan-john-berthelsen#sthash.oYoeXFRS.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-