Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, September 26, 2015

Dah dapat jawatan Menteri, BODEK sikit-sikit cukuplah Salleh

Oleh Shahbudin Husin
Semua orang sedar satu-satunya sebab Salleh Tun Said Keruak dilantik sebagai menteri ialah kerana kerajinannya membodek Najib Razak dan membelasah Tun Mahathir Mohamad.
Beliau yang sebelum ini merupakan Speaker DUN Sabah pada hakikatnya tiada merit untuk dilantik menganggotai kabinet memandangnya sudah ada wakil daripada Kota Belud dilantik sebagai menteri iaitu Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen kawasan itu.

Berdasarkan rekodnya sebagai pemimpin pula, pencapaiannya hanyalah sekadar "ala-ala" saja. Jika Salleh ada wibawa tulen, pasti Najib sudah melantiknya sejak 2009 atau selepas pilihanraya 2013 lagi dan bukan setelah berlakunya episod perbalahan Najib dengan Tun Mahathir.

Tetapi oleh kerana bodeknya membuatkan Najib terasak hingga ke dinding sambil bingit telinga mendengar bodekan tanpa henti, terutama apabila berkaitan 1MDB dan Tun Mahathir, maka jalan mudah ialah dilantiklah beliau sebagai menteri.

Maknanya, dengan melantiknya sebagai menteri, Najib mahu lebih selesa dan bebas bergerak daripada bodekannya yang melemaskan itu. Malangnya, bodek Salleh berterusan lagi.

Dengan adanya Salleh dan Abdul Rahman sebagai menteri, Kota Belud sekarang ada dua wakil dalam kabinet Najib. Seorang sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Belud yang dilantik Senator dan seorang lagi atas kapasiti Ahli Parlimen Kota Belud.

Apabila dilantik sebagai menteri, harapan ramai tentunya ialah agar beliau lebih terbuka dan melihat dunia ini dengan mata yang lebih luas lagi. Tambahan lagi portfolionya ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dulunya adalah Kementerian Penerangan.

Sayangnya, beliau kelihatan masih terkongkong dan seolah-olah kekal berada dalam kepompong. Tindakannya menyalahkan pengkritik Najib yang bersalah memainkan sentimen perkauman dan bukannya berpunca daripada Perdana Menteri sendiri menunjukkan dirinya masih tidak dapat melihat hakikat yang sebenarnya.

Salleh merujuk sentimen itu dimainkan untuk menjatuhkan Najib dengan antaranya menjadikan laporan khas Channel News Asia, komen penganalisis daripada Singapura, Dr Ooi Kee Beng yang ditampil dalam rancangan itu serta kenyataan Tun Mahathir sebelum ini sebagai sandaran hujahnya.Dalam hal ini, seharusnya Salleh tidak lupa apa reaksi Najib sebaik keputusan pilihanraya 2013 lalu. Bukankah Najib mengatakannya sebagai tsunami Cina?

Tidakkah ini bermakna Najib sendiri yang memulakan dan paling awal memasang sumbu api perkauman hanya semata-mata keputusan yang agak mengecewakannya dalam pilihanraya lalu?Tidak cukup dengan itu, akhbar arus perdana turut menyimbah minyak untuk memarakkan api perkauman dengan pertanyaan, apa lagi Cina mahu?

Tindakan menyalahkan kaum tertentu dalam keputusan pilihanraya bukan saja mengecewakan rakyat pelbagai kaum, malah beberapa pemimpin ketika itu seperti Tun Abdullah Badawi, Khairy Jamaluddin dan Saifuddin Abdullah turut tidak bersetuju dengan kenyataan Najib itu.
Dalam himpunan baju merah pula, Najib secara jelas dan terbuka menyokong serta memuji perhimpunan itu walaupun menyedari ia bercorak perkauman, dengan mengatakan "maruah Melayu tidak mudah dicarik-carik" oleh kaum lain.

Tambahnya lagi, "sekali tampar, kita tak buat apa. Dua kali tampar, tak buat apa...tiga kali tampar, tak buat apa...tapi empat kali tampar sudah melampau batas. Orang Melayu ada hak juga."Tidakkah ucapan Najib ini sepenuhnya berbau perkauman? Adakah beliau Perdana Menteri untuk Malaysia atau untuk Melayu saja?

Adakah Najib sebenarnya faham matlamat dan tujuan perhimpunan Bersih yang sudah diadakan sebanyak empat kali itu? Adakah ianya bertujuan "menampar Melayu" atau untuk kepentingan negara dan berkaitan pilihanraya?

Bolehkah ditunjukkan satu daripada tuntutan Bersih yang bersifat perkauman dan telah "menampar hak-hak Melayu?"

Kepada Salleh, jawatan tertinggi yang boleh dikecapinya hanyalah sebagai menteri dan ia sudah pun menjadi miliknya. Jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri di masa hadapan mungkin agak mustahil mampu digapainya kerana lebih ramai pemimpin yang jauh lebih berwibawa sudah pun berada di depannya ketika ini.

Dengan itu, tidaklah perlu bodek berlebih-lebihan lagi terhadap Najib sebab tiada apa yang boleh diberikannya lagi selepas ini. Berilah peluang kepada orang lain yang belum ada jawatan untuk membodek pula.

Satu-satunya cara untuk membantu imej Najib ialah dengan Salleh menunjukkan sedikit kredibiliti melalui jawatan yang sudah diberi. Bercakaplah sebagai seorang menteri untuk semua kaum dan jika mahu menyanggah sesuatu perkara, tampilkan fakta yang sebenarnya, bukan berpilih-pilih.

Kalau mahu bodek juga, sikit-sikit cukuplah! Memilih-milih fakta itu hanyalah perbuatan macai bertaraf rendah, bukannya yang sudah menjadi menteri.

Sebelum menyalahkan pihak lain dalam isu perkauman ini, Salleh seharusnya kumpulkan maklumat terlebih dahulu. Jika malu meminta bantuan kakitangan kementerian, sekadar rajin mendapatkan bantuan "Mbah Google" sewaktu mahu tidur pun sudah memadai untuk membantunya.-BlogSpot

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=336932:dah-dapat-jawatan-menteri-bodek-sikit-sikit-cukuplah-salleh&Itemid=2#ixzz3mqUUuVOp
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter