Saturday, September 5, 2015

Orang anggap siasatan atas Najib tak akan bebas, kata menteri

OLEH ANISAH SHUKRY
Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan melawat PPR Wangsa Sari, di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 September, 2015.

Siasatan terhadap dakwaan ke atas Datuk Seri Najib Razak dan derma AS$700 juta dalam akaun bank peribadinya akan sentiasa dianggap tidak bebas, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini ketika timbul gesaan supaya perdana menteri berundur kerana bimbang beliau mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan.

Menteri Umno yang juga pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) itu berkata, sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan, mereka boleh mengundi untuk menukarnya ketika pilihan raya.

"Ramai orang kata, hanya kerana perdana menteri ada di dalamnya, siasatan itu tidak lagi bebas. Organisasi mana yang bebas? Tiada satu pun yang bebas. Semuanya harus menjawab kepada seseorang.

"Dan seseorang itu ada kepentingannya, ada kesukaannya. Beliau mungkin sukakan satu orang tetapi bukan satu orang lagi," kata menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu kepada media di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, walaupun sekiranya pasukan siasatan itu bertanggungjawab kepada Parlimen, ahli Parlimen BN masih memegang majoriti apabila tiba masa untuk mengundi.

"Jadi, pada kesudahannya, demokrasi ialah apa saja terjadi, anda boleh mengundi. Anda boleh mengundi menyokong kami, atau mengundi menolak kami,” katanya.

Beliau menggesa rakyat beralih kepada peti undi jika mereka tidak bersetuju dengan Najib dan kerajaan yang ada sekarang, dan bukannya menekan perdana menteri untuk meletak jawatan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Rahman berkata, beliau percaya sekiranya usul undi tidak percaya terhadap Najib dibentangkan di Parlimen, perdana menteri tetap akan selamat.

"Ahli Parlimen (BN) dari Sabah dan Sarawak semua akan menyokong beliau. Najib masih perdana menteri yang terbaik untuk Sabah dan Sarawak setakat ini.

"Kami berada di belakang beliau," kata ahli Parlimen Kota Belud, Sabah itu.

Semalam, Gabungan Konvensyen Menentang Rasuah Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC) berkata Najib perlu berundur sementara pihak berkuasa menyiasat derma itu, kerana beliau mungkin akan menjejaskan kebebasan siasatan itu.

"Jika anda gunakan prinsip semula jadi undang-undang, apabila seseorang itu sedang disiasat, biasanya orang itu akan berundur bagi memastikan siasatan itu bersih dan bebas," kata Pengerusi UNCAC Manzoor Hasan kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di luar Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) di Putrajaya.

Tetapi Rahman mengingatkan orang ramai hari ini, Najib sendiri mahu siasatan itu dijalankan.

Ini menunjukkan perdana menteri bersikap telus dan tidak lari daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, kata Rahman.

Najib pada awal tahun ini mengarahkan siasatan terhadap dana sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh ketua audit negara dan dapatannya dilaporkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Tetapi, usaha itu terhenti buat sementara waktu selepas 4 ahli PAC dinaikkan pangkat menjadi sebahagian pentadbiran.

Pada masa sama, peguam negara juga digantikan di ketika siasatan sedang berjalan ke atas 1MDB dan juga derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib.

Ini membawa kepada tuduhan yang Najib cuba untuk menutup salah laku rasuah yang didakwa dilakukannya. – 5 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-siasatan-atas-najib-boleh-benar-benar-bebas-kata-menteri#sthash.k9FLL0jM.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-