Saturday, September 26, 2015

'Parti pembangkang masih kalut, dalam keadaan BN semakin lemah'

Mohammad Agus berkata, untuk melenyapkan PAS dalam arus politik negara adalah mustahil, kerana PAS adalah parti yang mempunyai asas ideologi perjuangan kukuh. PAS juga mempunyai cukup pengalaman dalam arus politik negara, sejak 1951 lagi. - Foto Facebook Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR, 26 September:

“PAS tanpa Pakatan, bagaimana politik negara ke depan? Itulah debat utama perbincangan bagi mereka yang prihatin dengan politik negara,” kata Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Menurutnya, ada yang berpendapat, PAS akan bertambah kuat, kerana boleh terus memperjuangkan agendanya tanpa halangan daripada rakan di Pakatan Harapan, tidak kurang pula yang berpandangan, PAS akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


“Tetapi bagi saya, untuk melenyapkan PAS dalam arus politik negara adalah mustahil, kerana PAS adalah parti yang mempunyai asas ideologi perjuangan kukuh. PAS juga mempunyai cukup pengalaman dalam arus politik negara, sejak 1951 lagi.

“Cumanya, bolehkah PAS menang sebanyak mana kerusi yang dimenanginya dalam PRU lalu tanpa Pakatan? Jawapan saya, susah untuk PAS mengekalkan kemenangannya, kerana komposisi pengundi negara memerlukan PAS turut mendapat sokongan pengundi bukan Melayu, sesuatu yang sukar untuk PAS memperolehinya tanpa Pakatan,” katanya yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.

Dalam pada itu, Mohammad Agus menjangkakan, Pakatan Harapan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu konservatif.

“Parti Amanah Negara (Amanah), parti baru yang ditubuhkan tetap boleh mendapat sokongan pengundi Melayu progresif, tetapi tidak banyak sekiranya Amanah kekal dalam PAS.

“Apatah lagi, jika PAS bekerjasama dengan Umno, maka Pakatan akan kehilangan sokongan pengundi Melayu yang banyak,” katanya.

Beliau juga berpendapat, Pakatan Harapan terlalu tergesa-gesa membentuk gabungan baru.

“Sepatutnya Pakatan Harapan lebih berjiwa besar, dengan merundingi terlebih dahulu kemasukan gabungan parti-parti baru dari Sabah dan Sarawak serta juga tidak meninggalkan PSM (Parti Sosialis Malaysia). Bagaimana pula politik kita ke depan?

“Saya mengharapkan parti-parti politik melupakan perbezaan masing-masing dan bekerja ke arah mewujudkan satu kerjasama yang holistik.

“Fungsi pembangkang bukan sekadar untuk menentang kerajaan semata-mata, tetapi untuk menggubal satu dasar bersama, demi kebaikan negara. Inilah yang mahu dilihat oleh rakyat Malaysia untuk kebaikan dan masa depan negara.

“Persoalannya, bolehkah Pakatan memberikan harapan itu tanpa parti-parti dari Sabah dan Sarawak dan PSM? Nampaknya, parti pembangkang juga masih kalut dalam keadaan Barisan Nasional (BN) juga sudah semakin lemah,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/26/parti-pembangkang-masih-kalut-dalam-keadaan-bn-semakin-lemah/#ixzz3moGdeEY8

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-