Saturday, September 26, 2015

Stesen TV Singapura pertahan dokumentari selepas dibidas menteri Umno

Penerbit program Insight yang baru-baru ini menampilkan mengenai Malaysia di bawah tajuk "Sebuah negara retak" mendakwa dokumentari terbitan Channel NewsAsia (CNA) Singapura itu seimbang dan merupakan hasil temuramah mewakili pelbagai spektrum, menangkis dakwaan seorang menteri Umno.

Penerbit Eksekutif Insight, Zainudin Afandi berkata CNA berbangga dengan "pandangan objektif" yang dibawa saluran televisyen itu, yang terhasil dan melabur di rantau ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rancangan yang disiarkan Khamis lalu itu berat sebelah dan hanya menemuramah ahli politik pembangkang.

Program itu adalah yang ke-6 sejak April yang menyentuh perkembangan politik Malaysia.

"Bertentangan dengan laporan Bernama memetik menteri komunikasi dan multimedia itu, Channel NewsAsia tidak menemubual mana-mana parti pembangkang di Malaysia.

"Channel NewsAsia menemuramah penganjur Bersih 4, Maria Chin Abdullah, yang bukan merupakan ahli parti pembangkang.

"Kami percaya pandangan beliau memberikan satu wawasan dan keseimbangan kepada dokumentari itu.

"Program itu juga menemuramah penganjur perhimpunan baju merah, Ketua Umno Bahagian Datuk Jamal Md Yunos. Kami juga menyiarkan pandangan bekas ketua menteri Melaka dan anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Mohad Ali Rustam," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web CNA malam tadi.

Dalam laman blognya, Salleh (gambar, kiri) berkata media Singapura itu sepatutnya lebih seimbang dengan menemuramah ahli parti pemerintah, sambil mendakwa ia hanya menemuramah pemimpin pembangkang.

Dalam kenyataannya kepada Bernama, Salleh berkata laporan itu berat sebelah kerana menggambarkan imej buruk Malaysia berdasarkan temubual hanya dengan sumber pembangkang.
"Laporan ini jelas berat sebelah sebab hanya mengetengahkan perkara negatif tentang Malaysia, CNA hanya menemubual anggota pembangkang.

"Laporan Channel NewsAsia pada Hari Malaysia adalah berat sebelah, tidak adil dan amat dikesali, serta perlu diperbetulkan," katanya pada Jumaat.

Pada Jumaat, mengulas dokumentari itu yang membincangkan kedudukan Datuk Seri Najib Razak dan membandingkan perhimpunan Bersih 4 dengan "baju merah", Salleh menulis, bukan perdana menteri yang memainkan sentimen perkauman tetapi pengkritiknya yang berbuat demikian dalam usaha menjatuhkan beliau.

Tiga pemerhati turut memberi pandangan mereka dalam dokumentari itu: Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, penganalisis Singapura, Dr Ooi Kee Beng dan Ibrahim Suffian dari Merdeka Center.

Mereka berkata, faktor perkauman digunakan kerana ia memberi jaminan kepada Najib yang beliau masih mempunyai sokongan, walaupun perdana menteri dan presiden Umno itu terus berdepan kritikan berhubung isu tadbir urus negara dan dakwaan penyelewengan.

Mempertahankan program itu, Zainudin berkata, ketiga-tiga mereka bercakap dari "sudut pandangan yang objektif dan tidak berat sebelah".

"Bagaimanapun, Channel NewsAsia mengalu-alukan peluang menemubual Salleh mengenai keadaan di Malaysia, yang menjana minat di peringkat antarabangsa," katanya. –TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=336702:stesen-tv-singapura-pertahan-dokumentari-selepas-dibidas-menteri-umno&Itemid=2#ixzz3modNCOeU
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-