Wednesday, September 2, 2015

Tun Dr Mahathir akan dipanggil polis......? Kah! Kah! Kah!.......

Polis akan panggil Dr Mahathir kerana hadir Bersih 4, kata KPN

OLEH DIYANA IBRAHIM

Published: 2 September 2015 10:39 AM
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan, pihak polis membuat keputusan memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan ucapan yang dilakukannya ketika perhimpunan Bersih 4 minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 September, 2015.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil polis dalam waktu terdekat susulan kehadiran beliau dalam himpunan Bersih 4, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua polis negara itu berkata, keputusan memanggil Dr Mahathir berikutan ucapan yang dilakukannya ketika perhimpunan terbabit.

"Kita akan panggil beliau. Beliau membuat tuduhan dalam ucapannya. Kita akan siasat dari mana Dr Mahathir mendapat maklumat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Peringatan Pasukan Polis Marin ke-68, di Pelabuhan Klang, Selangor hari ini.

Bagaimanapun Khalid berkata polis masih belum memastikan sebarang akta bagi penahanan Dr Mahathir kerana ingin menyoal siasat terlebih dulu.

"Kita akan panggil dulu, baru kita akan pastikan di bawah akta apa," katanya.

Beliau berkata siasatan polis terhadap bekas perdana menteri itu akan menumpukan mengenai dakwaan yang dibuat Dr Mahathir ketika perhimpunan Bersih 4 seperti ketua bahagian Umno yang menerima rasuah.

"Kita hendak tahu lebih lanjut maksud (ucapan) dan maklumat yang diperoleh contohnya beliau menyatakan ketua bahagian Umno dirasuah jadi kita nak tahu lebih lanjut," katanya.

Bekas perdana menteri yang begitu lantang mendesak peletakan jawatan Najib membuat kejutan dengan hadir di perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Menulis di laman blog popularnya beliau menjelaskan sebab memutuskan untuk menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu lepas.

Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian untuk mencari penyelesaian kepada kemelut negara.

Pada masa sama, Khalid turut menegaskan polis akan memanggil penganjur dan pemimpin ternama yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 4.

Beliau turut menamakan pemimpin ternama yang akan dipanggil polis dalam waktu terdekat ialah Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

"Kita akan panggil semua yang terlibat dalam Bersih dan akan siasat sudah pasti akan beri penumpuan kepada penganjur dan pemimpin ternama menyertai Bersih," katanya.

Perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung selama 36 jam mencipta sejarah yang tersendiri kerana walaupun diumumkan sebagai perhimpunan haram namun dihadiri kira-kira 300,000 peserta demonstrasi.

Perhimpunan yang berlangsung secara aman itu menuntut peletakan jawatan Najib termasuk penjelasan mengenai isu kontroversi yang terpalit sepanjang pentadbiran Najib seperti kes syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 2 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/polis-akan-panggil-dr-mahathir-kerana-hadir-bersih-4-kata-kpn#sthash.uTxEM6gi.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-