Tuesday, September 8, 2015

Umno yang sentiasa mengubah 'kebenaran' mengikut kehendak mereka

oleh Hazlan ZakariaSEKILAS PANDANG: Mereka yang rasional pasti amat sukar memahami Umno. Parti itu seolah-olah wujud dalam situasi yang sentiasa berubah, sering meniti antara kebenaran dan kepalsuan – berpandukan yang mana lebih memberi keuntungan kepadanya.

Ambil sahaja kecenderungannya untuk membuat keputusan besar hanya berdasarkan “perasaan”. Seperti dakwaan setiausaha kerja Umno Ab Rauf Yusoh bahawa gesaan agar presiden parti meletakkan jawatan ekoran dakwaan rasuah telah mengguris hati ahli-ahlinya.

“Ia amat mengguris hati ahli Umno,” kata Ab Rauf seperti dipetik laman The Malaysian Insider ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah tempoh hari.

Jika “perasaan” semata-mata yang diambil kira dan cukup untuk mengabsahkan tindakan atau kecaman, pihak yang mengkritik presiden dan dasar pemerintah juga boleh melakukan perkara yang sama.

Pasti ramai yang terguris hatinya akibat perlu mengikat perut dan dompet yang semakin nipis, sementara ahli Umno seluruh negara disuap dengan janji-janji kontrak kerajaan dan wang rakyat.

Apatah lagi selepas mengkritik gelombang suara rakyat dalam perhimpunan Bersih 4, beliau menggesa pula agar ahli Bahagian untuk “bangkit” dan menyatakan bantahan mereka terhadap platform masyarakat sivil popular itu.

Ab Rauf juga dilaporkan membidas beberapa aksi tertentu yang dikatakan telah dilakukan ketika perhimpunan berlangsung, termasuk tindakan peserta yang memijak gambar presiden Umno.
“Kalau perlu, dakwa saja mereka. Dakwa tanpa perlu beri peluang bela diri,” katanya kepada naib presiden Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir.

Ia bukan sahaja membayangkan parti itu mahu tindakan diambil tanpa menurut prosedur undang-undang, tetapi menunjukkan kejahilannya terhadap tindakan ahlinya sendiri sebelum ini yang juga melibatkan gambar pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil.

Dan seperti biasa, Rauf juga dilaporkan telah melabel peserta Bersih 4 sebagai “pengkhianat” yang mahu “menjajah minda orang Melayu melalui media sosial”, selepas 446 tahun dijajah selepas jatuhnya kota Melaka.

“Jadi, kita menyokong penuh Najib untuk bebaskan kita dari penjajahan ini,” katanya lagi, sama sekali mengabaikan hakikat bahawa kerajaan yang diketuai Umno-lah yang telah meneruskan “penjajahan” selepas British menyerahkan baton kepada tirani tempatan.

Namun Umno sekali lagi seperti cuba mengubah catatan sejarah. Sebelum ni penguasa pernah berkata bahawa negeri-negeri Melayu tidak pernah dijajah British kerana mahu melabel pejuang anti-British sebagai anti-monarki. Kali ini ia sekali lagi cuba diubah agar sesuai dengan mereka.

Dan inilah sebabnya mengapa mereka yang rasional dan berfikiran wajar sukar untuk mengundi Umno.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Umno-yang-sentiasa-mengubah-kebenaran-menurut-kehendak-mereka#sthash.qZOgzriE.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-