Friday, October 2, 2015

'DAP Sarawak tidak mahu PAS dalam Pakatan Harapan'

Chong (tengah) berkata, DAP dan Amanah di Sarawak mengalu-alukan pembentukan Pakatan Harapan di negeri itu dengan PKR. - Foto TRP/ Dennis Wong

KUCHING, 1 Oktober:

DAP Sarawak mengulangi pendiriannya tidak mahu bekerjasama dengan PAS.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, PAS telah membuktikan parti itu tiada kredibiliti dan telah mengkhianati Pakatan Rakyat, melalui usaha unilateral untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini dan bersekongkol dengan Umno.

“Mereka telah membuktikan untuk tidak menjadi rakan sepasukan. Kami berharap semua pihak jelas mengenai perkara ini dan tidak menyimpan hasrat untuk berkompromi dan mahu bekerjasama dengan mereka,” kata Chong pada sidang media di ibu pejabatnya, hari ini.

Terdahulu, DAP Sarawak dan Parti Amanah Negara (Amanah) negeri itu mengalu-alukan pembentukan Pakatan Harapan di Sarawak dan akan meneruskan perbincangan dengan PKR negeri.

“PAS tidak ada dalam gabungan baru ini dan ada yang berpendapat kita patut membuka pintu (kepada mereka), tetapi seperti apa saya katakan sebelum ini, keputusan DAP Sarawak tetap sama,” katanya.

Tambahnya, penyertaan DAP dalam pembentukan gabungan baru itu berdasarkan syarat tidak patut wujud sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang melanggar prinsip ‘tadbir urus secara konsensus’.

“Bagi kami, apa yang PAS lakukan pada masa lalu tidak boleh diterima langsung. Ia sangat ideal untuk semua parti-parti pembangkang berada di bawah satu payung, tetapi isunya ialah sama ada idealisme itu dapat dicapai atau tidak.

“Ia penting untuk membentuk satu gabungan yang berfungsi dan bersuara dalam satu nada, dengan rangka kerja sama,” Ujar Chong.

Dalam pada itu, Chong mahu Pakatan Harapan di Sarawak menjadi harapan rakyat negeri itu untuk memperjuangkan masa depan lebih baik dan menjadi sebuah gabungan yang mempunyai prinsip-prinsip tadbir urus baik dan bersih.

Turut senada dengan Chong ialah Pengerusi Amanah Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi.

“Ketika pelbagai krisis etnik, ekonomi dan politik melanda negara, kami sedar isu-isu berkaitan ekonomi, pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan, kehakiman, demokrasi dan keadilan sepatutnya menjadi fokus utama dalam gabungan baru.

“Bukan sahaja Malaysia perlu keluar daripada krisis yang dihadapi sekarang, Pakatan Harapan perlu mencari jalan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara, dengan menurunkan kuasa kepada negeri, sejajar semangat demokrasi, khasnya perkara berhubung autonomi negeri.

“Ini adalah isu sebenar mengenai Sarawak dan negara pada hari ini yang perlu diberi perhatian,” kata Mohamad Fidzuan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/01/dap-sarawak-tidak-mahu-pas-dalam-pakatan-harapan/#ixzz3nKYCg8bi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-