Saturday, October 31, 2015

Perkasa Cadang Tubuh MUIN Satukan UMNO, PAS

KUALA TERENGGANU 31 Okt. – Demi memelihara kepentingan Islam dan institusi diraja daripada diganggu gugat, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mencadangkan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara (MUIN) yang dianggotai UMNO dan Pas.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, selain disertai dua parti politik Melayu itu, MUIN juga perlu dianggotai pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) lain yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Beliau memberitahu, sudah tiba masa bagi UMNO dan Pas duduk semeja bagi membincangkan segala hal berkaitan kepentingan Islam selain memelihara hak eksklusif institusi diraja.

Jelasnya, beliau mengakui telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Pas dalam pertemuan beliau dengan kepemimpinan parti berkenaan yang diketuai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di ibu negara tempoh hari.

“Dalam pertemuan itu saya telah kemukakan cadangan berkenaan kepada Pas termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan sebagai reaksinya, mereka bersedia untuk meneliti cadangan tersebut.

“Inilah antara perkara yang diperjuangkan oleh Perkasa dan buat masa ini kita belum kemukakan cadangan penubuhan MUIN ini secara rasmi kepada UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bicara Minda Bersama Presiden Perkasa Bersempena Persidangan Agung Khas Perkasa Parlimen Terengganu di sini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Perkasa Negeri Terengganu, Datuk Ismail Saamah dan timbalannya, Datuk Ir. Mohd. Johari Awang.

Ibrahim seterusnya berkata, gandingan serta kerjasama UMNO dan Pas dalam MUIN amat penting demi satu matlamat iaitu menjaga kepentingan bangsa Melayu, agama Islam serta institusi diraja.

Ditanya kemungkinan berlaku penggabungan UMNO dengan Pas, beliau mengharapkan kedua-dua parti berteraskan Melayu dan Islam itu dapat bergabung di Parlimen selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya tak jangka UMNO dan Pas bergabung sekarang tetapi yang penting selepas sahaja PRU-14, mesti ada usaha untuk menyelamatkan undi dan kedudukan Melayu dengan cara bergabung dalam Parlimen,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-