Saturday, October 17, 2015

Tol: Rakyat tanggung derita, syarikat konsesi untung luar biasa

KUALA LUMPUR 17 OKT: Keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar tol menimbulkan persoalan berikutan kebanyakan syarikat konsesi mencatat keuntungan luar biasa sedangkan rakyat terus terbeban.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata keuntungan itu hanya menguntungkan kroni Barisan Nasional (BN), sebaliknya rakyat terpaksa menanggung tambahan kos kehidupan seharian.

Sekadar contoh, Ahli Parlimen Taiping itu berkata, kos pembinaan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ialah RM6.4 bilion manakala jumlah kutipan tol sudah mencapai RM52 bilion.

Sekalipun tempoh kutipan tol sepatutnya berakhir pada 2018, beliau pada kenyataan media bersama pimpinan DAP Perak, baru-baru ini berkata kerajaan BN sebaliknya melanjutkan tempoh kutipan tol sehingga 2038.

“Syarikat untung ratusan juta tiap tahun tapi kerajaan BN tidak peduli derita rakyat, malah menaikkan kadar tol. Ia menambah beban hidup rakyat, selain memungkiri janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13,” katanya.

Manifesto BN pada PRU 13 berjanji menurunkan kadar tol secara berperingkat-peringkat, selain memberi jaminan menurunkan harga kereta sebanyak 30 peratus yang turut dimungkiri mereka.

“Apakah logiknya (lanjut tempoh kutipan tol) menguntungkan rakyat?” katanya.

Menyifatkan kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya antara 20 hingga ke 220 peratus sebagai tidak masuk akal, beliau juga mencadangkan Cukai Windfall dikena ke atas syarikat konsesi tertentu.

Cukai Windfall ialah cukai yang dikenakan terhadap syarikat terpilih dalam industri tertentu yang mendapat manfaat kerajaan dan mencatat keuntungan melebihi purata.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-