Showing posts with label Kerajaan Persekutuan. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan Persekutuan. Show all posts

Tuesday, September 17, 2024

K'jaan Persekutuan tekad angkat martabat semua negeri - PM

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 17, 2024 8:30 AM
Kerajaan Persekutuan bertekad untuk mengangkat martabat semua negeri terutama di kawasan pedalaman, terpencil dan miskin bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menzahirkan kepercayaan dan keyakinan bahawa komitmen itu mampu dicapai dengan adanya permuafakatan, perbincangan serta amalan kerja berpasukan antara pemimpin Persekutuan dengan negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata tiada negeri yang tidak mempunyai sebarang masalah namun segala keluhan rakyat perlu didengar bagi memastikan apa sahaja keperluan penduduk berjaya dipenuhi.

“Kalau mahu Malaysia ini berjaya siapa sahaja jadi Perdana Menteri, siapa sahaja jadi Menteri, siapa sahaja jadi pemimpin, mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka di Kota Kinabalu malam tadi.
Sambutan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 selain ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri.
Anwar turut memberi jaminan akan bertungkus lumus menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama rakan pimpinan dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

“Walaupun saya akui ada masalah yang harus kita selesaikan tetapi saya bernasib baik kerana sebaik menjawat Perdana Menteri, dua sahabat saya menaruh keyakinan penuh (iaitu) Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bermuafakat, bicara dengan terang, tegur dengan baik sebagai sahabat.

“(Mereka) mengeluh dan menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk jayakan Malaysia, negara keramat kita. Saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar daripada semangat yang mereka tunjukkan,” katanya.

Anwar turut menyeru seluruh rakyat agar menanam semangat jiwa merdeka dan terus bersatu hati dalam membangunkan Malaysia selain menjauhi sikap perkauman sempit serta kebencian antara satu sama lain.

Beliau mahu tema sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ difahami secara mendalam kerana ia bukan hanya menterjemahkan kebebasan daripada penjajah semata-mata tetapi juga dalam aspek memilih pemimpin yang mampu mentadbir negara dan membela nasib rakyat.

Perdana Menteri berkata semangat meraikan kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa tanpa mengira bangsa, suku kaum dan agama wajar diterapkan dalam diri setiap masyarakat negara ini.

Anwar merujuk kejayaan atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, yang juga anak kelahiran Sarawak, menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 dan atlet 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal) Eddy Bernard dari Beluran, Sabah yang menyumbang pingat gangsa pada temasya sukan berprestij itu.

“Kita tak persoal dari mana dia, apa suku kaum dan agamanya, cuma kita bangga kerana anak Malaysia catat kebanggaan menang pingat di (Sukan Paralimpik) Paris. Inilah semangat yang kita nak. Hidupkan dalam kalangan kita,” katanya.

- Bernama

Sunday, January 1, 2023

Kerajaan PH-BN sekat peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang

agendaily.com
01/01/2023
Data dipetik daripada laporan laman sesawang dapmalaysia.org/peruntukan/

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menghentikan peruntukan kepada ahli Parlimen (MP) pembangkang yang pernah diberikan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Sambil menyifatkan tindakan itu tidak adil kepada rakyat yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional, beliau bagaimanapun berkata MP pembangkang akan memastikan isu berkaitan peruntukan itu dapat diselesaikan.

“Di Parlimen, (kita memang) lain. Walaupun nama Kerajaan Perpaduan, tetapi kami ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional tidak dapat peruntukan, manakala Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan dapat peruntukan.

“Itu sudah ‘sesuatu’, bak kata (Allahyarham) P. Ramlee: ‘ini tidak adil!’ Bagaimanapun kita akan bincang perkara ini berterusan dan dapat manfaatkan semua pihak,” kata Shahidan pada sidang media selepas pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah di Pusat Khidmat Parlimen Arau, Kubang Gajah semalam (31 Disember 2022) menurut Awani.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan diterajui sama ada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional terus memberi peruntukan kepada MP pembangkang untuk projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, amalan itu disekat ketika kali pertama PH memerintah pada 2018 apabila MP pembangkang hanya menerima RM100,000 untuk Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen, berbanding RM500,000 dan RM200,000 diterima MP yang menyokong kerajaan.

Ketika Perikatan Nasional diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih Kerajaan Persekutuan, peruntukan kepada MP pembangkang ditambah. Ini terbukti dengan laporan penggunaan peruntukan setiap MP DAP untuk kepentingan rakyat, terutamanya di kawasan yang mereka berkhidmat.

Menurut laporan dikeluarkan DAP bagi 2021 dan 2022, elaun dan peruntukan sama rata diberikan kepada MP kerajaan dan pembangkang.

Setiap ahli Parlimen diperuntukkan sejumlah tertentu (RM500,000 untuk ‘Outright Grant’ dan RM1 juta untuk Projek Mesra Rakyat) oleh Kerajaan Persekutuan, yang akan dibelanjakan untuk memperbaiki kawasan pilihan raya mereka sendiri, termasuk tujuan pembangunan atau untuk diberikan sebagai geran atau derma kepada NGO atau persatuan lain dalam kawasan mereka.

Antara lain, bagi Projek Mesra Rakyat (PMR), MP DAP telah membelanjakan peruntukan tersebut untuk 324 buah projek. Sejumlah RM11,192,753 dibelanjakan bagi sekolah dan bidang pendidikan, termasuk membaiki/ menaik taraf kemudahan asas, membeli bekalan untuk mengajar dan sebagainya.

Awal Disember lalu, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin menyatakan bahawa kerjasama baik antara kerajaan dan pembangkang boleh dilaksanakan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengutamakan pemberian peruntukan Ahli Parlimen dengan sama rata.

Ahli Parlimen Jerantut itu menerusi satu kenyataan di Facebooknya berkata, perkara berkenaan merupakan antara janji termaktub dalam manifesto PH, yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan.

Sunday, September 12, 2021

PH, kerajaan pimpinan Ismail Sabri tandatangan MOU esok

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 12, 2021 9:48 PM
Dikemaskini: 10:02 PM

Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU) esok (13 Sept).

Dalam satu kenyataan bersama, wakil-wakil kerajaan dan PH berkata akan mendedahkan isi perjanjian tersebut kepada umum.

"Kedua-dua pihak juga berusaha untuk mendedahkan memori yang terbuka persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

"Sesuai dengan semangat dan komitmen untuk menterjemahkannya, maka kedua-dua pihak untuk untuk menandatangani persefahaman ini pada hari esok, 13 September 2021 jam 5 petang bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia," kata kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan itu lagi MOU itu akan disempurnakan Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti Pakatan Harapan, iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Bagi wakil kerajaan kenyataan itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara Pakatan Harapan pula diwakili oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

[Berita penuh menyusul]

Monday, November 20, 2017

Hubungan Kelantan dengan kerajaan persekutuan semakin baik

Bernama 
November 20, 2017

Menurut timbalan menteri besar Kelantan, sejak berlakunya banjir 2014 tersebut, kerajaan persekutuan banyak membantu Kelantan sehingga sekarang ini.
KOTA BHARU:  Kerajaan Kelantan mengakui hubungan dengan kerajaan persekutuan semakin baik terutamanya selepas banjir 2014 dengan banyak kesepakatan dicapai oleh kedua-dua pihak untuk kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sejak berlakunya bencana alam tersebut, kerajaan persekutuan banyak membantu Kelantan sehingga sekarang ini.

“Bagaimanapun dalam beberapa isu kita lihat ia perlu diatasi bagi memenuhi semangat Perlembagaan Persekutuan seperti isu royalti minyak yang kini dalam proses mahkamah,” katanya ketika menjawab soalan daripada Azami Md Nor (PAS-Kadok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd Amar berharap hubungan yang bertambah baik antara kerajaan negeri dan persekutuan itu akan mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek seperti pembinaan hospital di Bachok, tebatan banjir Sungai Golok dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hanifa Ahmad pula berkata proses pengambilan balik tanah untuk projek kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi fasa pertama dari Pasir Puteh-Bachok-Kota Bharu sepanjang 40km boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Bagi fasa kedua dari Tunjong ke Pengkalan Kubor, Tumpat sepanjang 28km masih dalam rundingan, katanya ketika menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) yang bertanyakan perkembangan terkini projek ECRL itu.

Hanifa berkata bagi fasa pertama itu ia akan melibatkan 6,000 pemilik tanah manakala bagi fasa kedua kira-kira 3,000 pemilik tanah.

Menjawab soalan tambahan daripada Abdul Rahman, Hanifa berkata selain ECRL tersebut, kerajaan persekutuan perlu memberi keutamaan dan menyegerakan pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) untuk kemudahan rakyat negeri ini.

Sementara itu, ketika ditemui di luar persidangan tersebut, Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata projek ECRL itu yang menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan akan merancakkan sistem pengangkutan darat serta menarik pelabur ke negeri pantai timur.

Beliau berkata selain mengembangkan ekonomi di negeri-negeri pantai timur, perkhidmatan kereta api tersebut akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat hasil pembangunan yang bakal berlaku.

Namun begitu, beliau berkata kerajaan persekutuan turut mengutamakan pembinaan lebuh raya CSR sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2018 untuk kepentingan rakyat.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut kesal dengan sikap pihak kerajaan negeri yang ”suka berpolitik” dengan saling menyalahkan kerajaan persekutuan sekiranya berlaku kelewatan pelaksanaan sesuatu projek yang dirancang.

Beliau berkata tindakan pihak terbabit tidak adil dan sepatutnya mereka hadapi perkara tersebut dengan penuh kesabaran kerana janji kerajaan persekutuan pasti ditunaikan.

Saturday, July 15, 2017

Kerajaan sedih dituduh zalim

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 JULAI 2017
Najib
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pembangkang berhenti melemparkan tuduhan kepada kerajaan tanpa sebarang bukti.

Beliau berkata, kerajaan sedih pembangkang tidak menceritakan perkara sebenar, malah menuduh kerajaan zalim dan mengabaikan negeri pembangkang.

"Kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk semua negeri setiap tahun, termasuk negeri diperintah pembangkang.

"Dana tersebut diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaraan jalan raya negeri, pemberian tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemberian kerana kekurangan akaun mengurus serta keperluan lain.

“Malah jumlah pemberian ini meningkat setiap tahun. Pada 2015, jumlah pemberian kepada seluruh negeri adalah sebanyak RM6.74 bilion,” katanya menerusi catatan di laman blognya, www.najibrazak.com, semalam.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang sering mengutarakan isu yang dikitar semula termasuk menuduh Kerajaan Pusat mengabaikan negeri pembangkang iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, walaupun kerajaan telah berkali-kali menjawabnya.

“Malah baru-baru ini, bekas Menteri Besar Kedah menuduh kerajaan pusat mengabaikan Kedah sedangkan ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Najib menjelaskan daripada 2011 hingga 2015, Kelantan menerima kira-kira RM1.94 bilion termasuk peruntukan RM378.85 juta disebabkan kekurangan akaun mengurus, diikuti Pulau Pinang yang menerima RM950.44 juta untuk tempoh sama.

Menurutnya, Selangor pula menerima RM3.63 bilion termasuk pemberian khas sebanyak RM25.81 juta setiap tahun.

Najib menjelaskan, jumlah berkenaan tidak termasuk projek kerajaan Persekutuan yang bernilai berbilion-bilion ringgit di negeri-negeri tersebut seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya, rumah mampu milik, projek perumahan rakyat, pejabat polis dan projek lain.

"Kita (kerajaan) sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia tidak kira di negeri pembangkang atau negeri yang ditadbir BN,” katanya.

Monday, February 15, 2016

Bawa masuk pekerja asing: Tindakan malas kerajaan atasi masalah

 oleh Syazana Hasanudin
KUALA LUMPUR 15 FEB: Kerajaan Persekutuan patut memperkasa kemahiran belia serta sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri pembuatan tempatan, bukannya membawa masuk 1.5 juta pekerja asing bagi menyelesaikan isu itu.

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Wong Shu Qi berkata Malaysia terlalu lama terperangkap dalam amalan industri berkemahiran dan bergaji rendah, malah tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana sejak 1990 akibat kegagalan dasar perindustrian kerajaan UMNO BN.

“Kerajaan sepatutnya menambah baik industri tempatan dengan meningkatkan R&D, sebaliknya mereka memperkaya kroni mereka di tahap permulaan, iaitu tahap industri paling penting. Contoh terbaik merupakan Perwaja.

“Generasi kini tidak belajar apa-apa kecuali pengklonan produk negara lain. Hari ini, kereta nasional kita tidak mampu bersaing di pasaran global,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mencabar belia di Malaysia bekerja di sektor 3D (Dangerous, Dirty, Difficult) jika mereka tidak mahu pekerja asing dibawa atas alasan tenaga kerja yang ramai diperlukan bagi membangunkan ekonomi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai itu berkata Zahid terlepas pandang fakta betapa industri di negara ini ketinggalan di pasaran global dan menyediakan pekerjaan bergaji dan berkemahiran rendah yang gagal menarik minat graduan tempatan.

“Isu utama bukanlah 1.5 juta pekerja asing tetapi mengapa kita memerlukan mereka? Zahid mendakwa tiada penduduk tempatan berminat dalam pekerjaan 3D. Namun pernahkah beliau meninjau keadaan bekerja dalam industri pembuatan?

“Bagaimana kerajaan boleh menyalahkan generasi tempatan yang berpendidikan tinggi apabila pekerjaan ditawar industri itu tidak sepadan dengan tahap dan pelaburan pendidikan mereka?” katanya.

Beliau berkata, sektor 3D tidak semestinya memerlukan pekerja asing bergaji rendah jika teknologi digunakan dalam industri itu dan gaji ditawarkan setanding dengan negara maju seperti Jepun.

“Kita boleh lihat pekerjaan sektor 3D di negara maju adalah kurang kotor, berbahaya dan dipandang rendah. Contohnya, pemungut sampah di Jepun juga merupakan mekanik profesional yang mengendalikan mesin sampah berteknologi canggih, lalu mereka dipandang tinggi.

“Justeru, membawa masuk pekerja asing merupakan tindakan kerajaan paling malas. Kita perlu mendesak kerajaan agar melabur lebih banyak wang dalam menaik taraf teknologi industri negara bagi menjamin daya saing tinggi dalam pasaran global,” katanya. -Roketkini.com

Saturday, October 17, 2015

Tol: Rakyat tanggung derita, syarikat konsesi untung luar biasa

KUALA LUMPUR 17 OKT: Keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar tol menimbulkan persoalan berikutan kebanyakan syarikat konsesi mencatat keuntungan luar biasa sedangkan rakyat terus terbeban.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata keuntungan itu hanya menguntungkan kroni Barisan Nasional (BN), sebaliknya rakyat terpaksa menanggung tambahan kos kehidupan seharian.

Sekadar contoh, Ahli Parlimen Taiping itu berkata, kos pembinaan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ialah RM6.4 bilion manakala jumlah kutipan tol sudah mencapai RM52 bilion.

Sekalipun tempoh kutipan tol sepatutnya berakhir pada 2018, beliau pada kenyataan media bersama pimpinan DAP Perak, baru-baru ini berkata kerajaan BN sebaliknya melanjutkan tempoh kutipan tol sehingga 2038.

“Syarikat untung ratusan juta tiap tahun tapi kerajaan BN tidak peduli derita rakyat, malah menaikkan kadar tol. Ia menambah beban hidup rakyat, selain memungkiri janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13,” katanya.

Manifesto BN pada PRU 13 berjanji menurunkan kadar tol secara berperingkat-peringkat, selain memberi jaminan menurunkan harga kereta sebanyak 30 peratus yang turut dimungkiri mereka.

“Apakah logiknya (lanjut tempoh kutipan tol) menguntungkan rakyat?” katanya.

Menyifatkan kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya antara 20 hingga ke 220 peratus sebagai tidak masuk akal, beliau juga mencadangkan Cukai Windfall dikena ke atas syarikat konsesi tertentu.

Cukai Windfall ialah cukai yang dikenakan terhadap syarikat terpilih dalam industri tertentu yang mendapat manfaat kerajaan dan mencatat keuntungan melebihi purata.

Tuesday, October 13, 2015

Tol : Dasar penswastaan BN gagal, kroni untung rakyat rugi

KUALA LUMPUR 13 OKT: Kenaikan kadar tol membuktikan kegagalan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan dasar penswastaan berikutan hanya kroni tertentu mendapat manfaat langsung melalui amalam pemberian projek tanpa tender terbuka.

Menyifatkan ia hanya janji kosong, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata pentadbiran BN berselindung di sebalik kadar tol rendah pada awal projek bagi mendorong pengguna menerima skim konsesi tol.

“Janji Datuk Seri Najib Razak pada manifesto pilihan raya BN 2013 betapa kadar tol akan berkurangan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun hanya janji kosong untuk meraih undi.

“Bahlkan, Kementerian Kerja Raya tidak peduli untuk memberi alasan lebih meyakinkan, selain menyatakan jumlah yang dijimat boleh digunakan untuk melaksanakan projek pembangunan yang memberi kesan berganda kepada ekonomi.

“Alasan itu tidak masuk akan kerana perbelanjaan rakyat terhadap pembelian selain dari bayaran tol juga memberi kesan sama kepada ekonomi,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Pua berkata, kenaikan kadar tol juga membuktikan BN tidak berupaya mengurus ekonomi negara sebaliknya, rasuah, pembaziran, ketidakcekapan dan penyelewengan dana kerajaan, berleluasa.

Di sebalik pertambahan hasil melalui kenaikan harga minyak sejak dua dekad lalu, rakyat bukan sahaja terpaksa membayar mahal untuk menggunakan lebuh raya, bahkan kerajaan menjadi miskin hingga melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katannya.

Monday, May 18, 2015

Jumlah hutang Malaysia setakat akhir Mac RM596.8 bilion

Menurut Chua, sehingga akhir Mac lalu hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan berjumlah RM17.6 bilion, jauh lebih rendah daripada had yang dibenarkan mengikut Akta Pinjaman Luar 1963. - Foto laman web MCA

KUALA LUMPUR, 18 Mei:

Jumlah hutang kerajaan Persekutuan pada akhir Mac lalu adalah sebanyak RM596.8 bilion atau 52.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini, daripada jumlah itu sebanyak 97 peratus atau RM579.2 bilion merupakan hutang domestik, manakala RM17.6 bilion atau tiga peratus lagi membabitkan pinjaman luar pesisir.

“Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” kata Chua ketika menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming dalam sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat di ibu negara, Isnin.

Nga dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan jumlah hutang sebenar negara setakat April 2015 serta langkah kerajaan untuk mengurangkannya.

Chua selanjutnya berkata, kerajaan Persekutuan juga kekal komited dalam memastikan paras hutangnya tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

“Bagi memastikan paras hutang kerajaan kekal rendah dan terurus, langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat,” Chua menjelasskan.

Selain langkah penjimatan seperti memastikan peruntukan dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan, kerajaan juga menetapkan pinjaman yang dibuat harus mampu memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata, kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal serta pengurusan hutang yang baik, terus diberikan penekanan bagi memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi terus kukuh serta dapat menampan sebarang krisis.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan hutang luar negara sentiasa berada di paras kurang daripada RM35 bilion.

Sehingga akhir Mac lepas, hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan berjumlah RM17.6 bilion, jauh lebih rendah daripada had yang dibenarkan mengikut Akta Pinjaman Luar 1963.

Thursday, May 14, 2015

Sokongan Hadi bukan petanda kerjasama PAS - UMNO -- penganalisis politik

Abdul Hadi hanya mengutarakan pandangan demokratiknya secara jujur atau sebaliknya menunjukkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan untuk bantuan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS, semasa banjir pada awal tahun ini.

KUALA LUMPUR, 14 Mei:

Ulama PAS akan terus menjadi teras kepada parti Islam itu, walaupun cita-citanya dihalang pelbagai parti lain.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Samsu Adabi Mamat berkata, sokongan yang dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan kepada kerajaan perpaduan PAS-UMNO.

“Sejak awal penubuhan PAS, struktur teras kepimpinan parti tetap tidak berubah, di mana parti memiliki Mursyidul Am PAS, Presiden parti dan Majlis Syura Ulama.

“Ketika parti melalui banyak fasa, termasuk fasa pendek kerajaan perpaduan dengan UMNO, pada akhir 70-an, melibatkan ulama dan liberal, namun tiga teras itu tetap ada dan ia tetap diteruskan, walaupun selepas keputusan pilihan raya parti bulan depan,” katanya.


Mengulas lanjut, Samsu Adabi berkata, bentuk kerjasama yang dibuat PAS dengan pihak lain, memberi kelebihan dalam perjuangan asal parti, iaitu hudud dan Islam dalam jangka masa panjang dan pakatan sementara yang bertujuan meluaskan jarak perjalanan politiknya.

“Buat masa ini, kepimpinan PAS teguh dengan perjuangan melaksanakan hudud, walaupun terpaksa mengorbankan tempat dalam Pakatan Rakyat (PKR), saya percaya mereka akan teruskan.

“Persoalan mengenai kerjasama dengan UMNO tidak akan timbul, melainkan undi UMNO cenderung kepada sokongan terhadap pelaksanaan hudud di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kenyataan Abdul Hadi bukanlah cubaan untuk berbaik dengan UMNO atau Najib.

“Beliau hanya mengutarakan pandangan demokratiknya secara jujur atau sebaliknya menunjukkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan untuk bantuan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS, semasa banjir pada awal tahun ini.

“Terlalu awal untuk membuat spekulasi kerjasama PAS-UMNO melalui kenyataan terbaru Hadi,” katanya.

Sivamurugan berkata, satu-satunya kebarangkalian pemimpin PAS mengadakan jalinan kerjasama dengan pihak lain, adalah melalui ikatan persefahaman dalam sesuatu isu.

“Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan bekerjasama menerusi jawatankuasa bersama bagi membantu dan menyediakan kemudahan kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Hanya dalam isu berkaitan sahaja, kerjasama antara kedua parti dapat dilihat,” tambahnya.

Reaksi ini timbul, selepas Abdul Hadi menyatakan sokongannya kepada Najib untuk terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Memetik laporan The Star, Abdul Hadi berkata, Najib perlu meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, kerana beliau dipilih melalui sistem yang adil.

“Beliau tidak perlu tunduk kepada tekanan dan perlu diberi peluang untuk menyelesaikan isu yang dihadapinya.

“Beliau perlu diberi peluang untuk menghabiskan penggalnya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/05/14/sokongan-hadi-bukan-petanda-kerjasama-pas-umno-penganalisis-politik/#ixzz3a2PZN1eN

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-