Saturday, November 21, 2015

Negara perlu hormati hak LGBT, perkahwinan sejenis, kata Obama

OLEH JENNIFER GOMEZ
Published: 21 November 2015 10:13 AM
Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menyapa belia dari US Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di sesi 'townhall' semalam di Taylor's University, Kuala Lumpur.Gambar Reuters, 21 November, 2015.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menjelaskan undang-undang perkahwinan sejenis kepada belia dari Asia Tenggara pada sesi “townhall” semalam, mengatakan polisi kerajaan mengenai perkahwinan perlu adil kepada semua rakyat.

Orang dengan orientasi seksual berbeza berhak kepada penghormatan dan maruah diri "seperti lain-lain", katanya apabila menjawab soalan daripada belia biseksual dari Thailand bernama Dara, yang bertanya sekiranya seseorang patut dipenjarakan kerana orientasi seksualnya.

"Jawapan mudah kepada soalan itu adalah tidak," kata Obama disambut tepukan gemuruh hadirin seramai 500 belia yang mewakili 10 negara Asean di bawah US Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) semalam.

Obama berkata walaupun orang ramai mempunyai agama dan tradisi budaya mereka yang tersendiri, tiada siapa patut memaksa seseorang untuk berkelakuan mengikut cara tertentu.

"Sebahagian hujah kita dalam perdebatan ini ialah, jika gereja, masjid atau kuil tidak mengiktiraf perkahwinan sebegini, mereka tidak patut dipaksa untuk mengahwinkan seseorang bertentangan dengan kepercayaan mereka.

"Tetapi perkahwinan sebagai institusi sivil daripada negara sepatutnya adalah untuk semua, bukan hanya sesetengah orang sahaja.

"Jadi kesimpulannya, polisi kerajaan patut melayan semua sama rata di sisi undang-undang," katanya di Taylors University di Petaling Jaya semalam.

Mahkamah Agung AS dalam keputusan 5-4 pada Jun memutuskan perkahwinan sejenis adalah berperlembagaan, menjadikannya sah di seluruh negara.

Obama berkata, masa depan manusia sejagat bergantung kepada rasa hormat orang ramai terhadap perbezaan mereka.

“Saya sangat percaya masa depan kemanusiaaan bergantung kepada kita semua melayan orang dengan hormat dan kemuliaan.

“Dan mengiktiraf apa sahaja latar belakang agama anda, apa sahaja etnik anda, sama ada lelaki atau wanita, anda mempunyai sesuatu yang sama seperti saya – kita semua dijadikan tuhan dan ada sebab mengapa kita diletakkan di sini,” katanya.

Beliau menggesa pemimpin muda untuk menggerakkan idea yang semua orang perlu dilayan sama rata dalam negara mereka, perniagaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sebaik kita hilang visi itu dan melayan orang lain berbeza kerana perbezaan mereka, dan cuba menjadikan diri kita lebih penting, itulah bermulanya perkara tidak baik berlaku dalam setiap masyarakat, itulah kebenaran universalnya."

Di Malaysia, komuniti LGBT sering dianiaya pihak berkuasa, dan undang-undang berkuatkuasa di beberapa negeri mengharamkan lelaki berpakaian wanita.

Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan enakmen mengharamkan lelaki berpakaian wanita adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. – 21 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/negara-perlu-hormati-hak-lgbt-perkahwinan-sejenis-kata-obama#sthash.b85O7k1x.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-