Thursday, December 10, 2015

Empat pesanan untuk pembahas PAU

ABDUL JALIL ALI
10 DISEMBER 2015

MESKI telah diberitahu berulang kali, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan perihal dana politik RM2.6 bilion, pasti akan dibangkitkan semula pada Perhimpunan Agung Umno @ PAU kali ini.

Terakhir, dua hari lalu, isu berkenaan dijelaskan sendiri oleh presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada taklimat tertutup yang dihadiri oleh lebih 2,000 pemimpin dan perwakilan.

Seperti yang ditegaskan Najib, isu 1MDB dan derma RM2.6 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau itu tidak menyalahi mana-mana undang-undang. Ditegaskan juga bahawa penderma berkenaan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada sikap pemurahnya itu.

Bukan mudah menyejukkan benda yang panas. Memang, 1MDB tiada kaitan dengan dermawan Timur Tengah – hanya pihak berkenaan yang tahu siapa nama sebenar Pak Arab itu! – yang merelakan wang sebanyak itu.

Bagaikan berpuaka, dua isu ini semakin cuba dijelaskan semakin menambahkan kekeliruan. Semakin banyak yang diterangkan, semakin banyak pula menimbulkan persoalan. Setiap detik ia semakin panas. Apakah ia akan meletup pada PAU kali ini.

Harap-harap perwakilan pada perhimpunan kali ini berani membahaskan isu ini secara jujur dan bukan sekadar hubaya-hubaya untuk publisiti. Harap-harap juga penjelasan yang betul memuaskan dan meyakinkan dapat diberikan.

Dulu, kini dan selamanya PAU memang sentiasa menjadi tumpuan seluruh negara. Baik kawan atau lawan semuanya ingin melihat dan mendengar apa yang terjadi di PWTC apabila seluruh pemimpin parti bersemuka.

Cuma seperti yang diakui persidangan kali ini adalah antara yang terhangat berikutan isu-isu yang telah mengheret parti terbesar Melayu dan tunggak BN itu ke dalam kemelut yang luar biasa.

Tidak siapa dapat menafikan bahawa 1MDB dan akaun peribadi RM2.6 bilion itu adalah antara faktor yang menghakis keyakinan rakyat terhadap parti. Maka para perwakilan perlu sedar bahawa bahtera sedang dilanda gelora, sedang hebat dilambung ombak.

Dalam menghadapi gelora dan ketika sedang diperhatikan oleh semua orang, PAU kali ini sepatutnya tidak lagi mengulangi klise dan hubaya-hubaya yang meloyakan rakyat seperti yang selalu terjadi setiap kali bersidang.

Pertama, sesiapa sahaja yang dipilih sebagai pembahas perlu membuat kerja rumah. Lengkapkan diri dengan data dan fakta terkini, supaya apabila naik ke pentas mereka tidak merapu.

Bercakap biar berfakta. Jangan jadi seperti burung kakak tua, yang boleh bercakap tetapi tidak tahu apa yang dicakapkan. Kita sudah lihat banyak burung kakak tua yang hanya mengarut entah apa-apa dan menghabiskan masa mesyuarat.

Kedua, jangan bercakap hanya dengan fakta untuk mengampu pemimpin. Kerap kita dengar perwakilan berkobar-kobar keterlaluan memuji pemimpin. Perwakilan lain pun bertempik sorak sesama mereka, suka sangat pemimpin disanjung.

Sedarlah, kini bukan lagi zaman membodek mana-mana pemimpin. Bukan juga zaman mengangkat pemimpin secara keterlaluan. Sekarang zaman memperjuangkan rakyat, bukan asyik mengenang jasa pemimpin. Sebaliknya, mesti ada keberanian untuk menegur pemimpin.

Ketiga, elakkan juga berpantun, bersyair dan berseloka. Sesetengah perwakilan naik ke pentas berucap dengan isi kosong. Gagal menarik perhatian sidang dengan ilmu dan isi yang cetek, mereka berpantun dan bersyair memuji-memuji pemimpin.

Cukup-cukuplah bermadah pujangga dan berpantun. Rakyat sekarang dalam kesempitan dan tekanan hidup berikutan kejatuhan RM dan kenaikan harga barang. Mereka loya mendengar pantun dan seloka.

Keempat, paling perlu dielakkan pada PAU kali ini ialah lawak jenaka oleh pelawak-pelawak parti. Apabila seorang berlawak dan mendapat tepuk sorak daripada hadirin, ramai lagi naik pentas untuk berlawak.

Pada ketika parti dilanda musibah, dan rakyat tertekan dengan kos kehidupan, lawak-lawak bodoh seperti itu hendaklah dihentikan. Sejak sekian lama PAU dijadikan gelanggang ‘Maharaja Lawak’. Untuk sekali ini hentikan lawak, berhujahlah secara matang dan serius.

Biar ringkas berucap, tetapi penuh berisi. Apa sahaja yang diluahkan pada sidang terbesar parti itu menjadi tumpuan seluruh rakyat, khasnya orang Melayu yang sejak sekian lama menjadikan parti ini sebagai payung tempat berteduh.

Pada ketika payung itu dilihat semakin goyah dan bocor di sana-sini, kata-kata dan perilaku setiap perwakilan menjadi fokus semua. Hatta gelagat sesetengah perwakilan wanita yang berbelanja sakan di luar dewan perhimpunan pun boleh mencetuskan pelbagai persepsi. Pengundi sedang memerhatikan, insaflah!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-