Saturday, December 19, 2015

PKR masih di takuk lama - Perjuangan Bebas Anwar

AIDCNEWS



AIDCNews – 19/12/15
Walaupun tiga Perdana Menteri bertukar ganti, dari Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, namun PKR masih di takuk lama memperjuangkan kebebasan Anwar Ibrahim.

Ia dibuktikan lagi melalui Kongres PKR 2015 baru-baru ini, di mana Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih membawa isu yang sama sepertimana yang pernah diucapkan pada penghujung tahun 1998.

“Azizah sendiri dalam ucapannya lebih banyak memperkatakan tentang dua sosok penting yang dekat dengan dirinya sendiri iaitu suaminya Anwar dan anaknya Izzah. Azizah adalah presiden sejak parti alternatif itu ditubuhkan pada 1999 dan adalah sesuatu yang menyedihkan kerana selepas 17 tahun, presiden parti itu masih berucap dengan isu-isu seputar Anwar.

“Berbanding ucapan Azizah yang pegun sejak lebih sedekad lalu, hakikatnya dengan khalayak, latar dan suasana yang telah banyak berubah, penerimaan mesej Azizah kini tidak diterima sepenuhnya sebaliknya ada yang sinis melihat ucapan tersebut sebagai ‘angkat bakul sendiri’.

“Malah Deklarasi Permatang Pauh pada 1998 sudah tidak pasti di mana duduk letaknya,”ulas Faizal Riduan dari laman mysuara.net.

Faizal berpendapat kitaran pemimpin PKR juga masih berada dalam kerangka lama, Anwar, Wan Azizah, Nurul Izzah dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Slogan “Bebas Rakyat, Bebas Anwar” menunjukkan bagaimana Anwar masih cuba dikesampingkan dalam agenda rakyat yang ditawarkan oleh parti yang sinonim dengan nama ‘rakyat’. Jika inilah strategi untuk memastikan Anwar terus diingati rakyat dari sebalik tirai besi maka tidak mustahil akan datang pakatan pembangkang bergelar “Pakatan Harapan Rakyat dan Anwar”.

“Walaupun kongres menunjukkan penyatuan misi untuk membebaskan Anwar, ahli dan pemerhati melihat persaingan antara dua kem iaitu proksi Anwar melalui Azizah dan Izzah dan Azmin yang bakal mencabar tradisi Keadilan sebagai parti legasi dan famili akan terus sengit sehingga Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), dua tahun sahaja lagi.

“Baik Azmin atau Izzah, kedua-duanya peminat Hikayat Tiga Kerajaan Wei, Wu dan Shu serta Seni Perang Sun Tzu akan menjadikan pertarungan politik mereka lebih licik, strategik dan penuh muslihat,”ulasny lagi.
Arffain Mohamed (kanan)
Pengerusi Tetap PKR Cabang Sepang, Arffain Mohamed turut mengkritik partinya sendiri dengan melabel terlalu fokus kepada perjuangan untuk membebaskan Anwar Ibrahim sehingga lari daripada perjuangan untuk rakyat.

Arffain berkata, perjuangan yang dibawa Wan Azizah ketika ini lebih kepada emosi dan peribadi.

“Perjuangan Wan Azizah lari dari hala tuju parti, nampak perjuangannya lebih kepada suami (Anwar), berbanding rakyat. Kita tengok dalam Kongres Nasional PKR baru-baru ini tema yang diguna ialah ‘Bebas Rakyat, Bebas Anwar’. Benda itu sepatutnya tidak boleh dijadikan tajuk utama,” katanya kepada FMT.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Sepang, Nasiruddin Mohamed pula berkata, Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang sepatutnya mengetepikan isu peribadi.

“Sepatutnya Wan Azizah perlu membawa perjuangan bebas semua rakyat, namun Wan Azizah tidak bersalah sebaliknya kepimpinan PKR itu sendiri perlu bangkitkan benda ini,” katanya.

Katanya, Wan Azizah sepatutnya menumpukan usaha memperkukuh pakatan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Wan Azizah kena bincang inilah masa terbaik, sekiranya pembangkang mahu menang dan jalan terbaik beliau perlu betulkan apa yang berlaku dalam pembangkang dan PKR.

“Malah sekiranya kemelut yang berlaku ini tidak dibuat, tidak mustahil kemelut yang berlaku dalam UMNO akan berlaku juga pada PKR,” katanya.

Nasiruddin tanpa berselindung mengaku hanya Azmin Ali paling layak untuk mengambil alih jawatan Presiden PKR jika Wan Azizah bersara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-