Thursday, December 31, 2015

Sedarkah Ahmad Maslan, Meniaga online pun satu kesalahan juga?

by ARIANNA


Dalam mempertahankan hujahnya berkaitan isu #2kerja yang menimbulkan kritikan ramai, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ahmad Maslan berkata, niatnya adalah baik tetapi telah disalahtafsirkan oleh orangramai.

Kata beliau, cadangan asalnya bukanlah berkaitan melakukan dua kerja dalam satu masa, tetapi menyarankan selain melakukan kerja tetap, mereka boleh menjalankan perniagaan atas talian untuk menambah pendapatan dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Tambahnya Ketua Penerangan UMNO itu lagi, perniagaan dalam talian bukan saja mempunyai potensi besar, malah bersesuaian dengan tabiat rakyat sekarang yang mempunyai “kegilaan” terhadap media sosial dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuknya.

“Rakyat Malaysia ini minat media sosial, kadangkala berwhatsapp, bermain FB dan Twitter sampai jauh tengah malam. Tak tahulah apa hasil yang mereka dapat.

“Alangkah eloknya kalau mereka belajar tentang e-dagang. Ada pegawai memaklumkan kepada saya, contoh kejayaan berniaga dalam talian ialah menjual gula Melaka di mana dia dapat jualan sehingga RM4 juta.

“Sebab itu saya gembira untuk menghebahkan mengenai perniagaan dalam talian itu,” jelasnya.

Okay, demikianlah penjelasan terbaru Ahmad Maslan setelah berhari-hari menerima kritikan banyak pihak dan mungkin ramai yang turut setuju dengan cadangannya itu.
Tetapi, tahukah Ahmad Maslan bahawa menjalankan perniagaan dalam talian atau online bagi kakitangan awam juga merupakan suatu kesalahan?

Pekeliling mengenainya sudah diedarkan oleh JPA sejak 2014 lagi dan mereka yang berhasrat berbuat demikian hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatan masing-masing.

Soalnya, adakah semua Ketua Jabatan sedia memberi kebenaran kepada pegawai dan kakitangan bawahannya untuk menjalankan perniagaan online itu?

Bagaimana pula kalau yang memohon meniaga online itu ramai jumlahnya di sesebuah jabatan, iyalah sesuai dengan kos sara hidup yang sudah meningkat dan harga barangan yang kian mahal sekarang, apakah Ketua Jabatan masih sedia memberi kebenarannya?

Penulis buku politik terkenal Shahbudin Husin – Foto theantdaily
Kalau sudah meniaga dan mengejar wang namanya, tentu mustahil pula ia hanya dijalankan di luar waktu pejabat atau ketika sudah berada di rumah sahaja. Ini adalah berkaitan dengan wang dan semua orang akan mengejarnya tanpa mengira masa dan ketika.

Oleh itu, jika kakitangan awam menjalankan perniagaan online, sudah tentu mereka terdedah untuk melakukannya pada waktu pejabat, dalam pejabat, ketika bertugas, malah tidak menghairankan ketika mesyuarat pun ada yang sanggup keluar seketika untuk melayan pelanggan yang menjanjikan wang itu.

Akhirnya, bagaimanakah pretasi kakitangan awam dan jentera kerajaan dalam memberi khidmat kepada rakyat?

Dalam konteks yang sama, biasanya kakitangan swasta juga tidak digalakkan atau mungkin tidak dibenarkan langsung menjalankan perniagaan online iaitu dengan tujuan untuk mengelakkan hilang tumpuan kepada kerja, menimbulkan gangguan serta menjejaskan prestasi syarikat.

Jadi, bagaimana sebenarnya Ahmad Maslan yang ada CGPA 3.85 itu mahu menjadikan idea dan cadangannya itu suatu kenyataan?

Atau mungkinkah selepas ini beliau akan tampil dengan penjelasan lain pula bahawa sebenarnya cadangan itu bukan untuk kakitangan awam mahu pun swasta, sebaliknya hanya untuk pesara, mereka yang menjalankan perniagaan sendiri dan “kaki lepak” yang selalu membuang masa dengan media sosial saja?

Mat oh Mat….


Sumber: http://shahbudindotcom.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-