Wednesday, January 20, 2016

Pertukaran Mukhriz lebih kusutkan UMNO

OLEH HAMDAN OTHMAN

Apapun alasan 14 Ketua UMNO Bahagian Kedah yang mengadakan mesyuarat tertutup untuk menolak Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar, satu dunia kini melabelkan UMNO sedang berperang dengan pemimpinnya sendiri dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Bijak atau tidak tindakan semua ketua bahagian yang datang penuh semangat ke mesyuarat di Grand Alora Hotel, Alor Setar petang tadi, rakyat kini boleh menilai betapa tidak harmoninya dalaman UMNO ketika parti itu sedang dihimpit pelbagai kemelut yang masih belum diselesaikan.

Bukan hendak mengajar tetapi kecelaruan rakyat terhadap parti Melayu ini semakin kusut hasil tindakan ‘bijak’ semua pemimpin UMNO di negeri jelapang padi ini.

Memang tidak dinafikan pergolakan di negeri ini telah bermula sejak awal tahun lalu lagi apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin mengkritik Mukhriz kerana kerana mengaitkan sokongannya terhadap Najib dengan penyiasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang.

Kata Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Hanipah yang mempengerusikan mesyuarat tertutup itu, semua 14 UMNO Bahagian di Kedah sepakat menolak Mukhriz berikutan kelemahan serta ketidakupayaan Mukhriz yang dilihat gagal menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat.

Alasan lain diberikan, katanya termasuk tiada sebarang perancangan strategik parti dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), serta kegagalan Mukhriz dalam mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan negeri.

Pendek cerita, Mukhriz tidak layak menjadi Menteri Besar kerana gagal mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan.

Kalau bukan Mukhriz, siapa? Apakah masa yang tinggal tidak sampai dua tahun lagi untuk menghadapi pilihan raya umum ke 14 nanti cukup untuk membaikpulih negeri dan parti di negeri itu? UMNO sudah jelas berada diambang yang tidak ‘selamat’.

Semua ahlinya tahu kedudukan UMNO tetapi dalam tempoh yang agak singkat ini, masih ada pemimpinnya yang mahu berperang sesama sendiri.

Sepatutnya, hal sebegini diselesaikan secara dalaman dan tidak perlu dihebahkan yang lebih kepada membuka pekung di dalam kain sendiri.

Mungkin ada sebab terbaik kenapa semua UMNO Bahagian Kedah menolak Mukhriz tetapi apabila melihat kedudukan UMNO hari ini yang bukan lagi berada di zon selesa, rasanya tindakan yang diambil tidaklah kena pada masanya.

Fikirlah sendiri semasak-masaknya sama ada pertukaran ini akan memberi manfaat atau Kedah akan kembali ke tangan pembangkang pada PRU-14 nanti. Sudahnya siapa yang melopong?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-