Tuesday, February 16, 2016

Ini dia 3D: Dayus, defensif, dangkal

Sheikh Omar Ali Hari ini, 10:57 pagi Hari ini, 11:41 pagi
ULASAN Cabaran Datuk Seri Zahid Hamidi kepada anak muda Malaysia agar bekerja dalam sektor yang dirty, difficult and dangerous (3D) hakikatnya mencerminkan sikap beliau yang 'dayus, defensif dan dangkal'.

Zahid dayus apabila beliau lari dari permasalahan sebenar seperti menyediakan peluang pekerjaan dengan penetapan gaji minimum yang setimpal.

Beliau juga bersikap defensif semasa ucapannya di hadapan belia di Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor ke-32 di Shah Alam tempoh hari dengan terus mencabar anak muda.

Kononnya beliau boleh mengacah-acah anak muda untuk membenarkan tindakannya yang ingin membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Timbalan perdana menteri juga dangkal apabila dengan mudahnya memperlekehkan anak muda sebagai seolah-olah malas bekerja, tidak ada jati diri dan tidak berani untuk berusaha keras bagi mencari sesuap nasi untuk hidup.

Ibarat menuding jari ke arah orang lain, Zahid tidak perasan empat jari menghala kepada dirinya sendiri. Pada saya, persoalan utama bukanlah tentang kesediaan anak muda untuk menceburi bidang pekerjaan di sektor 3D.

Keselamatan pekerja

Sehingga kini pun jumlah anak muda yang melakukan kerja dalam sektor 3D telah mencecah puluhan ribu. Namun persoalannya, apakah usaha yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah?
Adakah mereka boleh digajikan pada kadar setimpal dan sesuai untuk meneruskan survival hidup seharian?

Sebagai contoh, berapakah syarikat yang didakwa dan didenda oleh Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan kerana tidak menyediakan tempat pekerjaan yang menepati syarat keselamatan?

Isunya ialah aspek keselamatan pekerja dalam sektor 3D.

Kita ambil pula contoh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sejak 2012, MPSP telah menjalankan dasar pengambilan pekerja separa mahir dan tidak mahir untuk kerja-kerja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan. Gaji yang ditamatkan adalah pada kadar minimum RM1,500.

Negara semua warga

Ia tidaklah satu angka yang lumayan, tetapi cukup untuk menarik minat lebih kurang 2000 pekerja tempatan. Pokoknya, kadar gaji yang berpatutan memainkan peranan besar.

Sekiranya, kerajaan menjalankan dasar yang sama, lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk orang tempatan khususnya anak muda dapat dijana.

Malaysia adalah negara untuk semua warganya tanpa mengira sama ada mereka berkelulusan ijazah atau yang mahir berniaga sahaja.

Selagi rakyat kita mahu bekerja dan memiliki kemahiran tertentu, merekalah kelompok yang akan menerima kesan besar atas dasar pengambilan tenaga kerja asing ini.

Namun persoalan ini hanya dapat dijawab sekiranya kerajaan amanah dan menguruskan kewangan negara dengan adil, tidak boros dan tidak tiris.

Walaupun begitu, saya berasa tidak pelik sama sekali dalam keadaan pelbagai skandal melibatkan pimpinan negara hari ini, kerajaan dengan mudah mengambil jalan pintas dengan membawa masuk tenaga pekerja asing.

Ini bukan jalan penyelesaian yang tuntas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-