Showing posts with label Datuk Seri Zahid Hamidi. Show all posts
Showing posts with label Datuk Seri Zahid Hamidi. Show all posts

Saturday, August 5, 2017

PAS tak tahu mengenai undangan kepada Zahid

Minderjeet Kaur

Tuan Ibrahim Tuan Man kata PAS memang mengajak semua orang, termasuk ahli Umno, sertai mereka.
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak tahu mengenai undangan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menyertai mereka 20 tahun dulu.

Beliau berkata parti Islam itu sememangnya mengajak semua ahli Umno dan sesiapa sahaja yang layak menyertai mereka.

“Saya tak tahu siapa yang tawarkan pada dia. Saya pun tahu dia merujuk kepada siapa tetapi memang kita ajak semua orang untuk bersama-sama dengan PAS,” katanya.

“Kita harap semua orang kalau boleh sertai PAS. Kalau Umno boleh join PAS terbaiklah,” katanya kepada FMT hari ini.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, hari ini mendakwa beliau ditawarkan menyertai PAS selepas beliau meletak jawatan ketua pemuda Umno, susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno dan kerajaan pada 1998.

“Saya didekati pemimpin PAS minta saya tinggalkan Umno dan tawarkan diri kepada PAS. Rakan-rakan dari PAS katakan cukuplah waktu saya bersama Umno,” kata pemangku timbalan presiden Umno itu.

Zahid berkata beliau mendapatkan nasihat dari Datuk Dr Haron Din, yang pada ketika itu ketua penerangan PAS, yang meminta beliau kekal dan menyumbang kepada Umno.

Beliau menambah semasa beliau menjadi ketua pemuda Umno pada 1990-an, presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyukainya dan cuba mencari jalan menyingkir beliau dari jawatan itu.

Tuan Ibrahim berkata Malaysia mengamalkan demokrasi di mana semua orang berhak pilih untuk sertai mana-mana parti politik.

“Bagi saya, tindakan Zahid kekal dalam Umno itu pilihan peribadi dia,” katanya.

Friday, August 4, 2017

Jangan marah......pasti ada yang tak syok tengok gambar ini

 BY WARTAWAN AGENDADAILY

Selalu sangat orang guna kata-kata ini : 'A picture is worth a thousand words'.Ini kerana gambar boleh bagi segala macam cerita.

Kita boleh agak dalam senario politik terkini pasti ada puak cukup tidak syok gambar suasana mesra begini.

Tentu ramai yang sedang teropong pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi sekarang.

Ini gambar terbaru...sewaktu mereka bersama-sama menghadiri Majlis Perdana Ulama Umara dan NGO Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsan di Putrajaya pagi Khamis.

Apa tidaknya…bagai guruh berdentum di langit dakyah disebar konon Zahid ada nawaitu nak jatuhkan Najib.

Lebih sensasi beliau didakwa jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sejurus dilantik Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 untuk mohon bantuan bekas Perdana Menteri itu bagi menjayakan cita-citanya.

Jalan cerita itu sendiri tidak ada lojiknya.

Dengar khabar ramai yang tertawa mendengar dongeng terbaru ini.

Namun kilang dakyah puak itu sedang kerja overtime untuk jual cerita mereka di sana sini.

Jangan marah dan hilang akal kalau Zahid dan Najib terus tersenyum.

Wednesday, August 2, 2017

'Bergaduh macam budak-budak, ungkit keturunan' -- Mat Sabu

Posted By: Pentadbir

Tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengungkit keturunan Tun Dr Mahathir Mohamad melambangkan tahap pemikirannya yang disifatkan sebagai kebudak-budakan.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, tindakan mengungkit keturunan sesiapa pun termasuk Tun Mahathir atau Najib Razak, bukan sikap seorang pemimpin yang baik apatah lagi berjawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Saya tidak menyangka sama sekali orang bertaraf Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden Umno boleh mengungkit soal keturunan seseorang.

“Sudah tentulah ungkitan soal keturunan ini meletakkan seorang bertaraf Timbalan Perdana Menteri seperti orang kampung, malah tidak keterlaluan saya katakan seperti budak-budak berkelahi dalam bilik darjah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya Ahad lalu mengungkit sejarah Tun Dr Mahathir Mohamad yang berketurunan India dan mendakwa bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.

Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin, Zahid berkata, “Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, jika Zahid mahu pun Pakatan Harapan (PH) ingin menerangkan kesilapan di zaman pemerintahan Tun Mahathir, tidak perlu sehingga menyerang peribadi dan keturunan.

“Kita dedahkan kepada orang ramai isu pengsonglapan wang rakyat seperti skandal 1MDB. Bukan ‘menumbuk di bawah paras pinggang’ seperti dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Apa yang dilakukan beliau ini cukuplah melambangkan tahap pemikiran beliau untuk dinilai oleh rakyat,” katanya.

Beliau juga menambah, kesilapan yang pernah dilakukan seseorang pemimpin boleh diungkit untuk diterang kepada orang ramai jika ia boleh membawa kepada kebaikan bersama tanpa menyentuh soal keturunan.

“Kebiasaannya apabila berbalah dan mengungkit nama bapa dan keturunan ini adalah di kalangan budak-budak ataupun orang biasa. Ada juga kita bangkitkan soal keturunan untuk memuliakan diri kita atau keluarga.

“Namun soal keturunan atau asal usul ini bagi orang Islam, bukanlah boleh menjadi hujah utama menilai seseorang. Kebaikan seseorang di sisi agama terletak kepada nilai taqwa sementara nilai khidmat dan pengorbanan boleh dijadikan sebagai hujah yang boleh ditonjolkan,” katanya.

Friday, July 28, 2017

Secara spontan, Zahid ikrar setia kepada Najib

Aedi Asri
July 28, 2017

Ia selepas seorang peserta program tersilap memanggilnya sebagai perdana menteri.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini berikrar akan setia membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terutama dalam mempromosikan nilai kesederhanaan dalam Islam.

Timbalan perdana menteri itu berkata demikian secara spontan pada majlis penutup Persidangan Ulama Antarabangsa dan Majlis Zikir Perdana Sedunia 2017, apabila seorang peserta tiba-tiba melaungkan “terima kasih perdana menteri” ketika beliau sedang berucap.

“Saya belum menjadi perdana menteri. Saya timbalannya (Najib) dan sangat setia kepadanya.

“Saya akan pastikan nilai kesederhanaan yang dipromosikanya akan diterjemahkan ke dalam sistem di sini. Saya berjanji akan terus membantu sebagai timbalannya,” katanya disambut tepukan hadirin.

Nilai kesederhanaan merupakan “trademark” utama Najib sejak menjadi perdana menteri, antaranya melalui penubuhan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global pada 2010.

Program yang berlangsung dari 26-30 Julai itu mengumpulkan peserta dari latar belakang agama daripada 38 negara, antaranya untuk membincangkan soal sekitar dunia Islam.

Dalam pada itu, Zahid berkata sebuah pusat sedunia akan ditubuhkan di sini pada tahun depan, dengan bertujuan menyatukan pengamal aliran sufi seluruh dunia dan melawan ajaran sesat dan radikal.

Katanya, “seorang dermawan” sudah pun menyumbangkan AS$1 juta (RM4.28 juta) untuk tujuan itu.

Tuesday, February 16, 2016

Ini dia 3D: Dayus, defensif, dangkal

Sheikh Omar Ali Hari ini, 10:57 pagi Hari ini, 11:41 pagi
ULASAN Cabaran Datuk Seri Zahid Hamidi kepada anak muda Malaysia agar bekerja dalam sektor yang dirty, difficult and dangerous (3D) hakikatnya mencerminkan sikap beliau yang 'dayus, defensif dan dangkal'.

Zahid dayus apabila beliau lari dari permasalahan sebenar seperti menyediakan peluang pekerjaan dengan penetapan gaji minimum yang setimpal.

Beliau juga bersikap defensif semasa ucapannya di hadapan belia di Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor ke-32 di Shah Alam tempoh hari dengan terus mencabar anak muda.

Kononnya beliau boleh mengacah-acah anak muda untuk membenarkan tindakannya yang ingin membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Timbalan perdana menteri juga dangkal apabila dengan mudahnya memperlekehkan anak muda sebagai seolah-olah malas bekerja, tidak ada jati diri dan tidak berani untuk berusaha keras bagi mencari sesuap nasi untuk hidup.

Ibarat menuding jari ke arah orang lain, Zahid tidak perasan empat jari menghala kepada dirinya sendiri. Pada saya, persoalan utama bukanlah tentang kesediaan anak muda untuk menceburi bidang pekerjaan di sektor 3D.

Keselamatan pekerja

Sehingga kini pun jumlah anak muda yang melakukan kerja dalam sektor 3D telah mencecah puluhan ribu. Namun persoalannya, apakah usaha yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah?
Adakah mereka boleh digajikan pada kadar setimpal dan sesuai untuk meneruskan survival hidup seharian?

Sebagai contoh, berapakah syarikat yang didakwa dan didenda oleh Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan kerana tidak menyediakan tempat pekerjaan yang menepati syarat keselamatan?

Isunya ialah aspek keselamatan pekerja dalam sektor 3D.

Kita ambil pula contoh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sejak 2012, MPSP telah menjalankan dasar pengambilan pekerja separa mahir dan tidak mahir untuk kerja-kerja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan. Gaji yang ditamatkan adalah pada kadar minimum RM1,500.

Negara semua warga

Ia tidaklah satu angka yang lumayan, tetapi cukup untuk menarik minat lebih kurang 2000 pekerja tempatan. Pokoknya, kadar gaji yang berpatutan memainkan peranan besar.

Sekiranya, kerajaan menjalankan dasar yang sama, lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk orang tempatan khususnya anak muda dapat dijana.

Malaysia adalah negara untuk semua warganya tanpa mengira sama ada mereka berkelulusan ijazah atau yang mahir berniaga sahaja.

Selagi rakyat kita mahu bekerja dan memiliki kemahiran tertentu, merekalah kelompok yang akan menerima kesan besar atas dasar pengambilan tenaga kerja asing ini.

Namun persoalan ini hanya dapat dijawab sekiranya kerajaan amanah dan menguruskan kewangan negara dengan adil, tidak boros dan tidak tiris.

Walaupun begitu, saya berasa tidak pelik sama sekali dalam keadaan pelbagai skandal melibatkan pimpinan negara hari ini, kerajaan dengan mudah mengambil jalan pintas dengan membawa masuk tenaga pekerja asing.

Ini bukan jalan penyelesaian yang tuntas.

Saturday, February 6, 2016

Zahid: Bekas pemimpin Umno perlu sokong kepimpinan sekarang

Bekas kepimpinan Umno perlu menyokong kepimpinan sekarang sebagaimana mereka memerlukan sokongan ketika memiliki jawatan dahulu, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menerusi laman Facebooknya yang menempelak Tan Sri Rafidah Aziz yang didakwa menyimpang daripada nasihat yang selalu diberi.

Menerusi laman Facebooknya, Shahrizat berkata kenyataan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu tidak mengikut nasihat yang selalu diberi sebelum ini, iaitu sentiasa taat dan patuh kepada pemimpin.

Ahmad Zahid berkata apabila tidak lagi berada dalam arus perdana kepimpinan kerajaan dan parti, tidak semestinya wujud perbezaan pendapat sehingga melontar kritikan, ibarat 'menepuk air dalam dulang yang akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Biarpun zaman kita (bekas pemimpin) telah berlalu, kekuatan kita ketika memegang tampuk kepimpinan parti dan kerajaan adalah disebabkan dukungan daripada pemimpin peringkat bawahan dan pertengahan.

"Jadi apabila mereka berada di peringkat teras kepimpinan kerajaan dan parti, maka orang lama-lama harus mendukung biarpun berbeza pendapat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Karnival Sambutan Jubli Intan 64 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun di Bagan Datoh hari ini.

- Bernama

Wednesday, August 12, 2015

Keluarkan syarikat adik Zahid Hamidi urus 1.5 juta pekerja Bangladesh, kata DAP

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan Real Time Networking Sdn Bhd yang merupakan milik adik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi adalah antara syarikat tempatan yang membida projek menguruskan kemasukan 1.5 juta Bangladesh. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Ogos, 2015.

Syarikat adik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi perlu dikeluarkan daripada senarai syarikat yang membida untuk menguruskan kemasukan 1.5 juta pekerja warga Bangladesh secara sistem atas talian, kata Zairil Khir Johari.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, Real Time Networking Sdn Bhd merupakan antara syarikat tempatan yang membida projek itu seperti disahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Demi kepentingan tanggungjawab awam, menteri dalam negeri perlu segera membatalkan kelayakan bidaan Real Time Networking. Zahid Hamidi perlu jelaskan peranannya menyokong syarikat adiknya kepada KDN serta pihak berkuasa Bangladesh.

"Jika beliau didapati melanggar batas etika, beliau perlu meletakkan jawatan sebagai menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zairil berkata, Datuk Abdul Hakim Hamidi menawarkan pakej yang membolehkan mereka mengutip ৳60,000 (RM3,000) bagi setiap pekerja masuk ke Malaysia, bertindak sebagai pengantara dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Sumber Manusia.

Katanya, penjelasan KDN mengatakan nota Zahid kepada ketua setiausaha KDN bersifat umum itu tidak dapat diterima, seolah-olah cuba menipu rakyat dengan memberi jaminan syarikat yang mempunyai konflik kepentingan akan dinilai dengan adil dan objektif.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, kenyataan Hakim juga bersifat angkuh dan menggugat tanggungjawab awam apabila mengatakan beliau bebas berniaga walaupun abangnya seorang menteri Kabinet.

"Hakim boleh berniaga apa saja asalkan ia tidak melibatkan agensi kerajaan yang ada kepentingan langsung dengan mana-mana ahli keluarga.

"Tetapi memandangkan abangnya adalah menteri dalam negeri dan berkuasa meluluskan kebenaran masuk pekerja ke Malaysia, tidak dapat dinafikan wujudnya unsur konflik kepentingan," katanya.

Katanya, Zahid perlu belajar daripada dasar Pulau Pinang yang melarang mana-mana ahli keluarga wakil rakyat mengendalikan urusan perniagaan dengan kerajaan negeri sejak 2008.

KDN dalam kenyataan semalam berkata, nota Zahid itu bukan satu bentuk arahan atau kelulusan dan masih belum melantik atau memberi kelulusan kepada mana-mana syarikat bagi menyediakan sistem menguruskan kemasukan secara atas talian pekerja Bangladesh ke Malaysia seperti didakwa.

Menurut KDN sehingga kini, beberapa syarikat termasuk Realtime Networking mengemukakan cadangan kepada kementerian untuk menyediakan sistem pengurusan pekerja asing namun kementerian belum membuat sebarang keputusan.

"Semua cadangan daripada syarikat berkaitan sistem akan diteliti dan dipertimbangkan oleh jawatankuasa di kementerian terlebih dahulu, mengikut prosedur sedia ada," katanya. – 12 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/keluarkan-syarikat-adik-zahid-hamidi-urus-1.5-juta-pekerja-bangladesh-kata#sthash.yvJJjEMN.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-